Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA suka inta minta BERJAYA MENCAPAI 308 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI SAHIH MUSLIM
( tabiat tiada dalam koleksi )

1  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0998.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Yang dinamakan orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang sesuap dua suap, atau sebutir dua butir kurma." Tanya para sahabat, "Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?" Jawab beliau, "Orang miskin sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutup keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini."

2  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0999.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw, bersabda: "Yang disebut orang miskin itu bukanlah orang peminta-minta yang diberi orang satu atau dua biji kurma, atau sesuap dua suap makanan. Tetapi orang miskin sesungguhnya, ialah orang yang tahu menjaga diri (dari meminta-minta). Jika kamu mahu, bacalah firman Allah swt.: "...mereka tidak meminta-minta kepada orang ramai dengan nyinyir " (Al Baqarah : 273)

3  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1000.
Dari Hamzah bin 'Abdullah bin 'Umar r.a., dari bapanya, katanya Nabi saw. bersabda: "Seorang peminta-minta, kelak di hari kiamat dia akan datang menemui Allah dengan muka tanpa daging."

4  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1697.
Dari Mugbirah bin Syu'bah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla mengharamkan atasmu: (1) mendurhakai ibu; (2) mengubur anak perempuan hidup-hidup; (3) tidak suka memberi, tetapi suka meminta. Dan Allah membenci bagi mu tiga perkara : (1) suka desas-desus;(2) banyak bertanya (pertanyaan-pertanyaan yang tidak berisi bahkan bersifat mencemuh): (3) menyia-nyiakan harta (membelanjakannya tidak menurut kehendak syarak, dan pemboros)."

5  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2377.
Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: "Biasanya apabila Rasulullah saw. hendak melakukan suatu perjalanan jauh, beliau mengadakan undian di antara para isteri beliau. Siapa yang menang undiannya dialah yang berhak ikut mendampingi Rasulullah saw. dalam perjalanan itu. Pada suatu ketika Rasulullah saw. mengundi kami untuk ikut mendampingi beliau dalam suatu peperangan yang dipimpin beliau sendiri. Aku beruntung, kerana undian ku lah yang keluar sebagai pemenang. Kerana itu akulah yang berhak pergi bersama beliau. Peristiwa ini terjadi sesudah turunnya Ayat Hijab (lihat surat Ahzab, 33:53-59). Lalu aku dinaikkan ke dalam sebuah sekedup dan diturunkan dalam setiap perhentian (tanpa aku keluar tetapi sekedupnya yang diturun naikkan). Setelah selesai perang, Rasulullah saw. serta rombongan pulang kembali ke Madinah (membawa kemenangan). Hampir sampai ke Madinah, beliau memberi izin seluruh pasukan istirehat malam. Ketika istirehat itu, aku keluar dari sekedup dan berjalan menjauhi pasukan untuk buang hajat. Setelah selesai buang hajat aku segera kembali ke pasukan. Ketika aku menyentuh dada ku terasa kalung ku yang terbuat dari permata zhafar buatan Yaman telah putus. Kerana itu aku kembali mencari kalung ku sehingga aku terlambat kembali ke pasukan. Sedangkan para pengawal yang bertugas menjaga ku selama dalam perjalanan telah mengangkat sekedup ku dan menaikkannya ke punggung unta yang ku kenderai (tanpa memeriksa lebih dahulu apakah aku ada di dalam atau tidak) lalu mereka berangkat. Mereka menyangka bahawa aku berada dalam sekedup. Ketika itu berat badan ku sangat ringan. Sehingga kalaupun aku berada dalam sekedup, para pengawal tidak akan merasa lebih berat bila mereka mengangkat sekedup itu. Dan ketika itu aku masih merupakan wanita muda usia. Mereka terus berjalan menggiring unta ku (tanpa aku). Aku mendapatkan kalung ku kembali setelah pasukan berjalan agak jauh. Ketika aku sampai di tempat peristirahatan, ku dapati di sana telah sepi. Aku memutuskan untuk tetap menunggu di tempat ku semula. Kerana aku berpendapat, bila rombongan tidak menemukan ku tentu mereka akan kembali mencari ku. Ketika aku duduk menunggu mereka di tempat itu, aku mengantuk dan tertidur. Kebetulan Shafwan bin Mu'aththal As Sulami ketinggalan pula oleh rombongan kerana dia tertidur. Ketika terbangun dia segera menyusul mereka dan lewat di dekat tempat ku menunggu. Ketika dia terlihat sesusuk tubuh sedang tidur, dia menghampiri dan mengenali ku, dia memang sudah pernah melihat ku sebelum ayat hijab turun. Aku terbangun ketika dia dengan terkejut mengucapkan kalimah istirja' (inna lillaahi wa inna ilaihi raji'un) setelah dia mengenali ku. Dan aku segera menutup muka ku dengan jilbab (kain penutup muka). Demi Allah! Dia tidak pernah mengucapkan sepatah kalimat pun kepada ku selain kalimah istirja' yang menyebabkan aku terbangun. Dia segera menyuruh untanya menunduk, dan aku disilakannya menaiki kenderaan itu. Sedangkan dia sendiri berjalan kaki menuntun unta sampai induk pasukan tersusul oleh kami sesudah mereka berhenti berehat dari terik panas tengah hari. Tetapi sungguh celakalah orang yang sengaja membuat fitnah terhadap diri ku mengenai peristiwa itu, yang diikhtiarkan oleh pemimpin mereka 'Abdullah bin Ubay bin Salul. Setelah kami sampai di Madinah aku jatuh sakit sebulan lamanya. Sementara itu dalam masyarakat telah meluas khabar bohong mengenai diri ku. Sedangkan aku tidak tahu berita itu telah meluas sedemikian rupa kerana aku sedang sakit. Tetapi ada suatu hal yang membimbangkan ku, ialah sikap Rasulullah saw. yang tidak memperlihatkan kasih sayang seperti biasanya kalau aku sedang sakit. Beliau pernah datang menengok ku sekali, setelah memberi salam beliau bertanya, "Bagaimana keadaan mu?" Itulah yang membimbangkan ku. Aku tidak mengetahui sama sekali heboh mengenai diri ku, sampai pada suatu hari setelah aku agak sembuh, aku pergi bersama Ummu Misthah ke lapangan di pinggir kota untuk buang hajat. Kerana memang di sanalah tempat kami buang hajat. Dan kami tidak pergi ke sana kecuali hanya pada malam hari saja. Yang demikian itu ialah sebelum kami membuat tempat tertutup di sekitar rumah kami. Memang sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada masa dahulu, kalau buang hajat pergi ke lapangan di pinggir kota. Kerana mereka merasa jijik membuat tempat tertutup di sekitar rumah mereka. Ummu Misthah (nama aslinya Salma), ialah anak perempuan Abu Ruhma bin Muththalib bin Abdu Manaf. Sedangkan ibunya ialah anak perempuan Shakhar bin Amir bibi Abu Bakar Siddiq. Anak lelakinya ialah Misthah Ibnu Utsatsah bin Abbad bin Muththalib. Ketika kami pulang setelah selesai buang hajat, Ummu Misthah tersandung sandalnya lalu dia menyumpah: "Celaka si Misthah." katanya. Maka ku tegur dia, "Tidak baik berkata begitu. Bukanlah engkau memaki orang yang ikut dalam peperangan Badar?" Jawab Ummu Misthah, "Alangkah bodohnya engkau! Apakah engkau tidak mendengar apa yang dikatakannya?" Tanya ku, "Apa yang dikatakannya?" Dia menghabarkan kepada ku omongan tukang-tukang fitnah (yang memburuk-burukkan diri mu)." Semenjak aku mendengar berita Ummu Misthah itu, sakit ku semakin menjadi-jadi. Ketika Rasulullah saw. datang ke rumah ku, beliau memberi salam, lalu dia bertanya, "Bagaimana keadaan sakit mu?" Lalu aku bertanya kepada beliau, "Sudikah Tuan mengizinkan aku pulang ke rumah orang tua ku?" Kata 'Aisyah, "Sebenarnya aku ingin hendak menanyakan kepada orang tua ku kebenaran berita yang disampaikan Ummu Misthah kepada ku." Ternyata Rasulullah saw. mengizinkan ku, lalu aku pulang ke rumah orang tua ku dah bertanya kepada ibu ku, "Wahai ibu! Benarkah ada berita buruk yang dipercakapkan orang mengenai diri ku?" Jawab ibu, "Wahai anak ku sayang! Jangan engkau hiraukan. Demi Allah, jarang sekali wanita cantik yang disayangi suaminya, padahal dia mempunyai banyak madu yang tidak diomongi orang." "Subhanallah!" kata ku. "Kalau begitu, memang benarlah kiranya orang banyak mempercakapkan ku." Malam itu aku menangis semalam-malaman sampai Subuh. Air mata ku mengalir tak dapat ditahan dan aku tak dapat tidur kerananya. Sementara itu Rasulullah saw. memanggil Ali bin Abi Thalib dan Usamah bin Zaid untuk bermusyawarah dengan mereka - kerana waktu itu wahyu terhenti - Beliau bermusyawarah dengan keduanya apakah beliau harus menceraikan ku atau tidak. Usamah bin Zaid menyatakan pendapatnya, bahawa dia tahu benar para isteri Rasulullah saw. semuanya suci (setia) dan dia tahu benar mereka semuanya mencintai Rasulullah saw. Katanya, "Mereka adalah para isteri Anda. Aku yakin benar bahawa semuanya adalah para isteri yang setia." Adapun 'Ali bin Thalib berkata, "Allah Ta'ala tidak akan mempersulit Anda. Masih banyak wanita selain dia ('Aisyah). Tika Anda menghendaki seorang gadis, tidak seorang pun yang akan menolak Anda." Kemudian beliau panggil pula Barirah (pembantu rumah tangga 'Aisyah), lalu beliau bertanya, "Hai Barirah! Adakah engkau melihat sesuatu yang mencurigakan mengenai diri 'Aisyah?" Jawab Barirah, "Demi Allah yang mengutus Anda dengan agama yang benar. Sungguh, aku tidak melihat sedikit pun yang mencemarkan dirinya, selain hanya dia itu seorang wanita muda yang manja, yang pergi tidur meninggalkan adonan kuih, lalu datang haiwan peliharaan (kucing atau kambing) memakan adonan itu." Kemudian Rasulullah saw. berpidato di mimbar, menyatakan keberatannya atas tuduhan yang diprarasai Abdullah bin Ubay bin Salul." Sabda beliau di mimbar, "Hai kaum muslimin! Siapakah di antara tuan-tuan yang setuju dengan penolakan ku atas tuduhan yang telah mencemarkan nama baik keluarga ku? Demi Allah, aku yakin keluarga ku bersih dari tuduhan kotor yang tidak benar itu. Mereka juga telah menyebut-nyebut seorang lelaki (Shafwan bin Mu'aththai As Sulami) yang aku yakin bahawa dia itu orang baik. Dia tidak pernah masuk ke rumah ku kecuali bersama ku." Maka berdirilah Sa'ad bin Mu'adz Al Anshari, lalu dia berkata, "Aku membela Anda dalam masalah ini, ya Rasulullah! Jika tuduhan itu datang dari suku Aus, kami penggal lehernya. Dan jika datangnya dari saudara-saudara kami suku Khazraj, kami menunggu perintah Anda. Apa yang Anda perintahkan segera kami laksanakan." Maka berdiri pula Sa'ad bin Ubadah, pemimpin suku Khazraj dan seorang yang soleh tetapi diperdayakan oleh rasa kesukuan. Lalu dia berkata kepada Sa'ad bin Mu'adz, "Engkau bohong! Demi Allah, engkau tidak boleh membunuhnya dan memang engkau tidak sanggup melakukannya." Maka bangun pula Usaid bin Hudhair, anak pakcik Sa'ad bin Mu'adz. Katanya kepada Sa'ad bin Ubadah, "Engkaulah yang bohong! Demi Allah! Bila saja dan di mana saja kami sanggup membunuhnya! Engkau munafik, kerana engkau membela orang-orang munafik!" Pertengkaran antara suku Aus dan Khazraj itu menjadi hangat, sehingga hampir terjadi perkelahian antara mereka. Tetapi Rasulullah saw. yang masih berdiri di mimbar dapat menenangkan mereka sehingga mereka diam. Kata Aisyah selanjutnya, "Sehari-harian kerja ku hanya menangis dan menangis siang malam. Sehingga kedua orang tua ku cemas, kalau-kalau jantung ku pecah kerana menangis. Selama aku menangis, kedua orang tua ku selalu berada di samping ku. Tiba-tiba seorang perempuan Ansar minta izin hendak bertemu dengan ku, lalu ku izinkan dia masuk. Setelah dia masuk, dia pun menangisi ku (menambah kesedihan ku). Sementara itu Rasulullah saw. pun datang. Beliau memberi salam, lalu duduk di samping ku. Sejak berita bohong itu tersiar, beliau tidak pernah duduk di samping ku. Dan sudah sebulan wahyu tidak turun kepada beliau. Iaitu semenjak peristiwa ku ini. Ketika beliau duduk di samping ku, mula-mula beliau membaca tasyahhud. Kemudian beliau bersabda: "Hai 'Aisyah! Telah sampai kepada ku berita mengenai diri mu begini dan begitu. Jika engkau bersih dari tuduhan itu maka Allah Ta'ala akan membebaskanmu. Jika engkau memang berdosa, Minta ampunlah kepada Allah Ta'ala dan taubatlah kepadaNya. Kerana apabila seorang hamba sadar bahawa dia telah berdosa, kemudian dia taubat, nescaya Allah menerima taubatnya." Setelah ucapan beliau itu selesai diucapkannya, air mata ku mengambang dan tak tertahankan oleh ku dia jatuh berderai. Aku berkata kepada bapa ku. "Pak, tolonglah aku menjawab sabda Rasulullah." Jawab bapa ku, "Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus ku ucapkan kepada Rasulullah." Kemudian ku minta ibu ku, "Ibu, tolonglah aku menjawab sabda Rasulullah sebentar ini." Jawab ibu ku, "Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus ku katakan kepada Rasulullah." Maka terpaksalah aku sendiri yang harus menjawabnya. Kata ku, "Aku ini adalah seorang wanita muda usia yang belum banyak mengetahui isi Al Quran. Demi Allah! Sekarang aku telah tahu bahawa Anda telah mendengar berita mengenai tuduhan terhadap diri ku, sehingga tuduhan itu tertanam dalam diri Anda dan nampaknya Anda seperti membenarkan berita itu. Walaupun aku mengatakan kepada Anda aku bersih dari tuduhan itu - demi Allah, hanya Allah sajalah yang maha tahu bahawa aku memang bersih Anda tentu tidak akan mempercayai ku juga. Dan seandainya aku mengatakan bahawa aku telah bersalah dan berbuat dosa, - demi Allah, Dia jugalah yang Maha Tahu bahawa aku bersih lentil Anda akan mempercayainya. Demi Allah! Aku tidak memperoleh sebuah contoh pun yang paling tepat mengenai peristiwa ini, selain ucapan yang diucapkan Nabi Ya'qub, bapa Nabi Yusuf, katanya : Sabar jualah yang paling indah, dan hanya Allah sajalah tempat minta tolong atas segala tuduhan yang dituduhkan mereka." Kemudian aku berpaling dan berbaring di tempat tidur ku. Kata 'Aisyah selanjutnya, "Demi Allah! Aku benar-benar bersih dari tuduhan itu, dan aku yakin bahawa Allah Ta'ala akan membersihkan nama baik ku dari tuduhan itu. Namun sejauh itu demi Allah, aku tidak menduga sama sekali bahawa Allah akan menurunkan wahyu dalam kaitannya dengan kes yang sedang ku hadapi ini. Sehingga akhirnya wahyu itu selalu kita baca. Kerana kes itu sangat cemar terasa oleh ku dibanding dengan keagungan firman Allah Ta'ala yang selalu kita baca. Tetapi aku berharap semoga Rasulullah saw. dapat melihat dalam mimpi beliau, di mana Allah Ta'ala memperlihatkan kepada beliau bahawa aku sungguh-sungguh bersih. Maka demi Allah, belum lagi Rasulullah saw. meninggalkan tempat duduknya, dan belum seorang jua pun yang keluar dari rumah kami, Allah Ta'ala menurunkan wahyu kepada Nabinya. Terlihat Nabi saw. seperti orang yang keberatan memikul beban berat, sebagai biasanya bila wahyu sedang diturunkan kepada beliau, sehingga beliau bersimbah peluh. Ketika Wahyu telah selesai turun, Rasulullah saw. tertawa. Kalimat yang mula-mula diucapkannya ialah: "Gembiralah, wahai 'Aisyah! Allah Ta'ala telah mengatakan bahawa engkau sungguh-sungguh bersih dari tuduhan itu." Lalu berkata ibu ku kepada ku, "Bangunlah engkau, nak! Mintalah maaf kepada beliau!" Jawab ku, "Demi Allah! Aku tidak perlu minta maaf kepada beliau. Aku hanya wajib memuji Allah, kerana Dialah yang menurunkan wahyu yang menyatakan bahawa aku memang bersih dari tuduhan kotor itu. Wahyu itu tersebut turun dalam Al Quran, surat An Nur sebanyak sepuluh ayat: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong ini adalah dari golongan kamu juga (lihat An Nur, 24 : 11 20). Kata 'Aisyah selanjutnya, "Selama ini Misthah dibelanjai oleh (bapa ku) Abu 'Bakar Siddiq sebagai keluarga dekat bapa. Semenjak kes itu terjadi, bapa ku bersumpah akan menghentikan bantuannya kepada Misthah untuk selama-lamanya. Maka turun pula wahyu yang melarang penghentian bantuan itu: "Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabatnya....sampai dengan...Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampuni mu?" (An Nur, 24:22). Berkata Hibhan bin Musa, kata Abdullah bin Muharak. "Inilah ayat yang istimewa di dalam kitab Allah." Maka berkata Abu Bakar, "Demi Allah! Aku lebih suka mendapat ampunan Allah Ta'ala." Maka nafkah untuk Misthah diteruskannya kembali. Dan aku tidak pernah menghentikan nafkah untuk Misthah sepeninggal beliau."

6  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2376.
Dari Ka'ab bin Malik r.a.. dia menceritakan tentang dirinya ketika dia tertinggal (tidak ikut berperang) dari Rasulullah saw. dalam peperangan Tabuk. Kata Ka'ab bin Malik. "Aku tidak pernah tertinggal dari Rasulullah saw. dalam setiap peperangan yang dipimpin sendiri oleh beliau, kecuali dalam peperangan Tabuk. Selain dari itu, aku memang tertinggal pula dalam peperangan Badar. Tetapi tidak seorang pun dapat disalahkan bila tertinggal ketika itu, kerana Rasulullah saw. pergi dengan maksud hendak mencegat kafilah Quraisy. Namun Allah Ta'ala telah menghadapkan mereka dengan musuh tanpa diduga lebih dahulu. Dan aku telah baiat bersama Rasulullah saw. pada malam Aqabah di mana kami telah bersumpah setia untuk Islam. Dan aku tidak suka seandainya malam Bai'at Aqabah itu ditukar dengan perang Badar. Sekalipun Badar lebih terkenal dari Aqabah di kalangan orang banyak. Cerita mengenai sebabnya aku tertinggal dari Rasulullah saw. dalam perang Tabuk ialah : "Sesungguhnya aku belum pernah sedikit jua pun merasa diri ku lebih kuat dan lebih senang dan keadaan ku ketika tertinggal dalam peperangan itu. Demi Allah, aku belum pernah menyiapkan dua kenderaan kecuali untuk peperangan itu. Rasulullah saw. merencanakan penyerangan pada musim panas yang terik, menempuh perjalanan jauh serta menghadapi jumlah musuh yang banyak. Kerana itu Rasulullah saw. menjelaskan kepada kaum muslimin tugas berat yang bakal mereka hadapi, agar mereka bersiap-siap dengan sungguh-sungguh menghadapi peperangan tersebut dan Rasulullah memberitahukan sasaran yang dituju. Kaum muslimin di bawah pimpinan Rasulullah saw. ketika itu cukup banyak, tetapi tidak ada suatu daftar yang mencatat nama-nama dan jumlah mereka. Kerana itu, bila sewaktu waktu seseorang ingin menghilang (tidak ikut berperang), hal itu boleh saja terjadi. Kerana dia mengira bahawa Rasulullah saw. tidak akan mengetahuinya, selama tidak ada wahyu memberitahu beliau. Rasulullah saw. mengadakan penyerangan dalam peperangan itu dalam musim buah-buahan dan cuaca berawan. Sebenarnya hati ku lebih condong hendak turut berperang. Rasulullah saw. dan kaum muslimin telah siap-siap hendak berangkat. Aku berencana akan berkemas bersama-sama mereka besok pagi. Setelah aku pulang ternyata aku tidak berbuat apa-apa, sambil berkata dalam hati ku, "Aku sanggup menyelesaikannya sewaktu-waktu." Ternyata hal itu berkelanjutan sedemikian rupa, sedangkan orang banyak sungguh-sungguh telah siap. Besok Subuh Rasulullah dan kaum muslimin berangkat pagi-pagi sekali, sedangkan aku belum berkemas juga. Kerana itu aku segera pulang hendak berkemas, tetapi sampai di rumah aku tidak berbuat apa-apa, sehingga pasukan berangkat seluruhnya menuju medan perang. Aku bermaksud hendak menyusul mereka, tetapi apa boleh buat yang demikian tidak ditakdirkan Allah bagi ku. Ketika aku mulai berkemas dan keluar hendak menyusul Rasulullah saw. alangkah sedihnya hati ku, kerana tidak seorang jua pun teman yang kelihatan oleh ku kecuali orang-orang munafik atau orang-orang lemah yang telah dimaafkan Allah Ta'ala tidak ikut berperang. Rasulullah saw. tidak menyebut-nyebut nama ku hingga sampai di Tabuk. Setelah sampai, ketika beliau duduk di tengah-tengah kaum muslimin, barulah beliau menanyakan, "Apa kerja Ka'ab bin Malik?" Seorang lelaki dari Bani Salamah menjawab, "Ya, Rasulullah! Dia terhalang kerana merasa sayang pada selimutnya." Maka berkata Mu'adz bin Jabal, "Jahat sekali ucapan mu itu! Demi Allah, ya Rasulullah! Setahu kami selama ini dia adalah orang baik." Rasulullah saw. diam saja. Beliau melihat samar-samar bayangan seseorang berpakaian putih lalu hilang ditelan fatamorgana. Maka berkata Rasulullah saw., "Engkau Abu Khaitsamah!" Kiranya dia memang Abu Khitsamah Al Anshari yang pernah bersedekah segantang kurma, lalu diejek oleh orang-orang munafik. Cerita Ka'ab bin Malik selanjutnya: "Tatkala aku mendengar berita bahawa Rasulullah saw. telah berangkat dari Tabuk hendak pulang ke Madinah, timbullah rasa takut ku kerana kesalahan ku tidak turut berperang. Oleh sebab itu aku berusaha mencari jalan agar aku terhindar dari kemarahan beliau. Lalu aku minta pendapat-pendapat keluarga ku. Tetapi tatkala aku mendengar bahawa beliau telah tiba, maka hilanglah dari ingatan ku segala fikiran buruk itu. Aku mengerti benar bahawa aku tidak akan lepas sedikit jua pun dari hukuman, walaupun dengan berbagai alasan. Kerana itu aku bertekad hendak mengaku terus terang atas kesalahan ku. Pagi-pagi waktu Subuh, Rasulullah tiba. Seperti biasa, apabila beliau tiba dari suatu perjalanan, beliau langsung ke masjid lalu solat dua rakaat, kemudian duduk di tengah-tengah orang banyak. Maka ketika itu datanglah orang-orang yang tidak turut berperang mengemukakan alasan-alasan (uzur) mereka kepada beliau dan bersumpah kepadanya. Semuanya berjumlah lebih kurang lapan puluh orang. Rasulullah saw. menerima alasan atau sumpah-sumpah mereka yang nampak nyata dan memohonkan ampun bagi mereka. Sedangkan hal-hal yang tersembunyi atau yang mereka rahsiakan, beliau serahkan kepada Allah Ta'ala. Kini tibalah giliran ku. Ketika aku memberi salam kepada beliau, beliau menyambut salam ku dengan senyum kecut, senyum kemarahan. Lalu beliau berkata, "Kemari!" Aku datang menghampiri lalu duduk di hadapan beliau. Tanya beliau, "Mengapa kamu tidak turut berperang. Bukankah kamu telah membeli kenderaan?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Demi Allah, seandainya aku berhadapan dengan orang selain Anda dari penduduk dunia ini, nescaya aku akan mencari jalan keluar dari kemarahannya dengan berbagai alasan. Tetapi demi Allah! Aku tahu benar, jika aku berdusta kepada Anda sekarang, mungkin Anda menerimanya. Tetapi aku sungguh takut Allah akan sangat murka kepada ku. Dan jika aku berkata benar kepada Anda, tentu Anda akan marah kepada ku. Namun aku masih dapat mengharapkan kemaafan dari Allah Ta'ala. Demi Allah! Aku tidak mempunyai uzur (alasan) suatu apa jua pun. Bahkan aku belum pernah sesihat dan selapang seperti sekarang ini di mana aku tidak turut berperang bersama-sama Anda." Sabda Rasulullah saw., "Betul begitu? Nah, pergilah sampai Allah memutuskan perkara mu." Beberapa orang dari Bani Salamah turut bangkit bersama-sama dengan ku dan mengikuti ku. Kata mereka kepada ku, "Demi Allah! Kami tahu benar bahawa engkau belum pernah salah sekali jua pun sebelum ini. Mengapa engkau tidak minta maaf saja kepada Rasulullah saw. seperti orang-orang lain yang tidak turut berperang itu? Nescaya dosa mu diampun Allah berkat permohonan ampun dari Rasulullah saw. bagi mu." Kata Ka'ab. "Demi Allah! Mereka selalu menyalahkan ku seperti itu sehingga aku berniat hendak kembali kepada Rasulullah saw. dan menarik pengakuan ku semula." Aku bertanya kepada mereka, "Adakah orang lain yang menerima hukuman seperti aku?" Jawab mereka, "Ada! Iaitu dua orang yang mengaku bersalah seperti engkau, lalu keduanya mendapat putusan seperti yang diputuskan kepada mu." Tanya ku, "Siapa mereka?" Jawab mereka, "Murrah bin Rabi'ah Al 'Amid dan Hilal bin Umaiyah Al Waqifi." Mereka mengatakan kepada ku bahawa mereka berdua adalah orang-orang saleh yang turut dalam peperangan Badar, dan orang-orang yang patut dijadikan teladan. Setelah mereka menerangkan hal kedua orang itu, aku pun berlalu. Kata Ka'ab, "Rasulullah saw. melarang kaum muslimin bercakap-cakap dengan kami bertiga yang tidak ikut berperang. Kerana itu orang banyak menjauhi (memboikot) kami. Sikap mereka berubah terhadap kami sehingga aku merasa seperti orang asing di negeri yang ku diami, di mana penduduknya aku kenal selama ini. Hukuman seperti itu ku alami selama lima puluh hari. Kedua orang teman yang senasib dengan ku tetap saja tinggal di rumah mereka dan menangis selalu. Tetapi aku lebih muda dan lebih kuat dari mereka. Aku tetap keluar seperti biasa, menghadiri solat berjemaah dan pergi ke pasar walau tidak seorang jua pun yang mahu berbicara dengan ku. Bahkan aku tetap mendatangi Rasulullah saw. dan memberi salam kepada beliau ketika beliau berada dalam majlis taklim sesudah solat. Aku bertanya dalam hati ku, "Adakah beliau menggerakkan bibir beliau untuk menjawab salam ku, atau tidak?" Aku pun solat berdekatan dengan beliau sambil menjeling kepada beliau. Setelah selesai solat beliau menengok kepada ku, tetapi bila aku menoleh kepadanya beliau membuang muka dari ku. Setelah suasana diboikot kaum muslimin seperti itu berjalan agak lama, pada suatu hari aku pergi ke rumah Abu Qatadah, anak pakcik (saudara sepupu) ku, dan orang yang sangat sayang kepada ku. Aku memberi salam kepadanya. Tetapi demi Allah, dia tidak menjawab salam ku. Lalu aku berkata kepadanya, "Ya, Abu Qatadah! Aku bertanya kepada mu, tidak tahukah kamu bahawa aku tetap mencintai Allah dan Rasul-Nya?" Dia diam saja. Aku tanya lagi, tetapi dia tetap membisu. Lalu ku tanya lagi. Maka jawabnya, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu." Air mata ku mengalir mendengar jawapannya, lalu aku berpaling dan terus pulang. Pada suatu hari ketika aku sedang berjalan di pasar, seorang petani penduduk Syam yang sering menjual makanan di Madinah bertanya, "Siapa yang dapat menunjukkan Ka'ab bin Malik kepada ku?" katanya. Orang banyak menunjuk kepada ku. Petani itu mendatangi ku dan memberikan sepucuk surat berasal dari Raja Ghassan. Aku memang pandai membaca dan menulis. Lalu ku baca surat itu, yang isinya antara lain sebagai berikut : "Amma ba'du. Kami mendengar khabar bahawa Anda diboikot oleh teman-teman Anda. Allah tidak akan membuat Anda terhina dalam negeri dan tidak pula tersia-sia. Temuilah kami, nescaya kami akan membantu Anda dengan segala daya dan yang ada pada kami." Selesai membaca surat itu lalu kata ku, "Ini suatu ujian juga!" Maka ku dekat api lalu ku bakar surat itu. Setelah berlalu empat puluh hari dan wahyu turun kepada Rasulullah saw. maka datanglah seorang utusan beliau kepada ku seraya berkata, "Rasulullah saw. memerintahkan kamu supaya menjauhi isteri mu!" Tanya ku, "Apakah aku harus meceraikannya atau bagaimana?" Jawabnya, "Tidak! Hanya menjauhinya. Kerana itu jangan kamu dekati dia!" Beliau juga mengutus orang kepada kedua teman yang senasib dengan ku, dengan perintah yang sama. Maka ku katakan kepada isteri ku, "Pulanglah kamu ke rumah orang tua mu dan tinggallah bersama mereka sampai Allah memberi keputusan terhadap perkara ku ini." Kata Ka'ab, "Isteri Hilal bin Umaiyah datang kepada Rasulullah saw. memohon keringanan kepada beliau, katanya : Ya Rasulullah! Hilal bin Umaiyah sudah tua. Dia akan tersia-sia tanpa khadam (pelayan). Apakah Anda keberatan kalau aku menjadi pelayannya?" Jawab beliau, "Tidak mengapa, asal dia tidak mendekati mu." Kata isteri Hilal, "Demi Allah! Dia tidak mempunyai keinginan apa-apa. Bahkan demi Allah, dia selalu menangis saja sejak menerima hukuman sampai hari ini." Kerana itu sebahagian keluarga ku menyarankan pula kepada ku, "Seandainya engkau minta izin kepada Rasulullah saw. mengenai isteri mu, mungkin beliau memberi izin kepada mu seperti halnya isteri Hilal bin Umaiyah diberi izin oIeh beliau melayani Hilal." Jawab ku, "Aku tidak akan memintakan izin kepada beliau untuk isteri ku. Aku tidak tahu pasti apakah Rasulullah saw. akan memberi izin atau tidak. Aku masih muda dan sanggup mengurus diri sendiri." Keadaan membujang seperti itu telah berlalu pula sepuluh hari. Jadi sudah lima puluh hari sejak hari pertama kami mulai diboikot. Kemudian, sesudah aku solat Subuh di atas loteng rumah kami, pagi-pagi sesudah malam yang kelima puluh, ketika aku memikirkan nasib kami sesuai dengan apa yang diperingatkan Allah kepada kami, di mana bumi ini terasa amat sempit dengan segala kelapangan yang ada, tiba-tiba terdengar oleh ku suara memanggil dengan sekuat-kuatnya, "Ya, Ka'ab bin Malik! Gembiralah, Aku segera sujud, kerana aku yakin kelapangan telah tiba. Rasulullah saw. telah memberi tahu orang banyak, bahawa Allah swt. telah menerima taubat kami ketika solat Subuh. Kerana itu orang banyak datang mengucapkan selamat kepada ku dan sesudah itu mereka pergi pula kepada kedua orang teman ku. Di antara mereka ada yang berlari dan ada pula yang berkenderaan. Bahkan ada seorang teman dari suku Aslam sengaja menemui ku melalui bukit. Suara-suara mengelu-ngelukan ku lebih cepat sampai ke telinga ku dari kuda mereka. Ketika suara ucapan selamat untuk menggembirakan ku dari orang yang pertama-tama sampai ke telinga ku, dengan spontan ku buka baju ku lalu ku berikan kepadanya kerana sangat gembira. Padahal demi Allah, ketika itu aku tidak mempunyai baju selain baju tersebut, sehingga aku terpaksa meminjam (ketika menghadap Rasulullah saw. Aku pergi menghadap Rasulullah saw. Setiap orang yang bertemu dengan ku mengucapkan selamat kerana taubat ku telah diterima Allah swt. Kata mereka, "Bahagialah Anda kerana taubat Anda telah diterima Allah swt." Aku masuk ke masjid. Ku dapati Rasulullah saw. sedang duduk dikelilingi para sahabat. Thalhah bin 'Ubaidillah segera bangkit dan berlari menyambut ku serta menyalami ku sambil mengucapkan selamat. Demi Allah, tidak ada orang Quraisy yang berdiri selain dia. Kerana itu pula aku tidak melupakan Thalhah. Setelah aku memberi salam kepada Rasulullah saw., maka dengan muka berseri-seri kerana gembira beliau berkata, "Gembiralah kamu dengan kebaikan yang kamu terima hari ini, yang belum pernah kamu terima sejak kamu lahir." Tanya ku, "Apakah kebaikan itu datang dari Anda atau dari Allah Ta'ala?" Jawab beliau, "Bahkan dari Allah Ta'ala!" Biasanya apabila Rasulullah saw. gembira, wajah beliau bersinar-sinar bagaikan bulan. Kami tahu benar akan hal itu. Setelah aku duduk di hadapan beliau, aku berkata kepadanya, "Ya, Rasulullah! Kerana taubat ku diterima Allah, maka aku hendak menyedekahkan harta ku kepada Allah dan Rasul-Nya." Jawab Rasulullah saw., "Tahanlah sebahagian harta mu itu. Itulah yang baik!" Jawab ku, "Aku akan menahan harta yang ku peroleh di Khaibar." Kata ku selanjutnya, "Ya, Rasulullah! Allah telah melepaskan ku kerana berkata benar. Maka untuk kesempurnaan taubat ku, aku tidak akan berkata-kata selamanya melainkan yang benar." Kata Ka'ab selanjutnya, "Aku tidak tahu seorang muslim yang pernah diuji Allah kerana berkata benar, semenjak aku berkata demikian kepada Rasulullah saw. hingga sekarang. Itulah cubaan terbaik yang dilakukan Allah Ta'ala kepada ku. Demi Allah, aku berjanji tidak akan pernah berdusta. Aku berharap kepada Allah semoga Dia memelihara ku sampai akhir hayat ku, Maka turunlah ayat-ayat surat Taubah, 9 :117 - 119, sebagai berikut: "Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin, dan orang-orang Ansar yang mengikut Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka." (9: 117), "Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (permintaan taubat mereka) hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu sebenarnya tetap luas, dan jiwa pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka, agar tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (9:118). "Hai, orang-orang yang beriman, takwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama-sama orang-orang yang benar."(9:119). Cerita Ka'ab selanjutnya, "Demi Allah! Belum pernah aku merasakan nikmat pada diri ku sejak aku masuk Islam yang lebih besar daripada ketika aku berkata benar terhadap Rasulullah saw. Seandainya aku berdusta kepada beliau nescaya celakalah aku seperti orang-orang yang pernah berdusta, sebagai dinyatakan dalam firman Allah Ta'ala: "Kelak mereka akan bersumpah kepada mu dengan nama Allah apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling dari mereka. Maka berpalinglah dari mereka, kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan." (9: 95) "Mereka akan bersumpah kepada mu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, maka sesungguhnya Allah tidak ridha kepada orang-orang yang fasik itu." (9:96). Cerita Ka'ab selanjutnya, "Kami bertiga tertinggal, maksudnya tertinggal bertaubat dari mereka-mereka yang telah diterima taubatnya oleh Rasulullah saw. secara lahir (sedang batinnya terserah kepada Allah swt.), serta dimohonkan ampun oleh beliau kepada Allah Ta'ala. Sedangkan terhadap kami bertiga Rasulullah menangguhkannya hingga datang keputusan Allah swt. Itulah yang dimaksud dengan firman Allah Ta'ala: Dan tiga orang yang tertinggal (9: 118), bukan tertinggal tidak ikut berperang, tetapi penerimaan taubat kami ditangguhkan."

7  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1426.
Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Abu Bakar minta izin hendak masuk ke rumah Nabi saw. Didapatinya di depan pintu telah banyak orang duduk, tetapi tidak seorang jua pun yang diizinkan beliau masuk, kecuali bagi Abu Bakar dan 'Umar. Didapatinya Nabi saw. sedang duduk dikelilingi para isteri beliau dalam keadaan diam kerana marah. Kata Abu Bakar, "Aku sengaja mengatakan sesuatu untuk memancing ketawa beliau. Kata ku, "Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda, isteri ku Binti Kharijah minta belanja kepada ku, lalu ku tampar dia." Rasulullah tertawa mendengarnya dan berkata, "Inilah mereka mengelilingi ku minta wang belanja." Maka berdiri Abu Bakar mendatangi 'Aisyah, lalu dipukulnya tengkuk 'Aisyah. Begitu pula 'Umar, dia berdiri lalu dipukulnya pula tengkuk Hafshah, sambil kedua-duanya berkata: "Berani-beranian kamu meminta sesuatu yang tidak dipunyai Rasulullah." Jawab mereka, "Demi Allah! Kami tidak pernah meminta kepada Rasulullah saw. apa yang tidak ada pada beliau." Sesudah kejadian itu Rasulullah saw. mengasingkan diri dari para isteri beliau sebulan lamanya. Sesudah itu turun ayat: "Wahai, Nabi! Katakanlah kepada para isterimu...dst." (Al Ahzab: 28 - 29). Kata Jabir, Rasulullah saw. memulai pertanyaannya dengan 'Aisyah. Sabda beliau, "Aku hendak mengatakan sesuatu yang penting kepada mu, kerana itu aku lebih suka engkau jangan terbur u-buru menjawabnya sebelum engkau musyawarahkan dengan kedua orang tua mu." Tanya 'Aisyah, "Masalah apa itu, ya Rasulullah?" Lalu beliau bacakan ayat tersebut di atas (surah Al Ahzab : 28 - 29). Tanya 'Aisyah, "Apakah mengenai masalah rumah tangga Anda aku harus musyawarah juga dengan kedua orang tua ku? Sudah tentu aku memilih Allah dan RasulNya serta hari akhirat. Ku mohon kepada anda supaya tidak mengkhabarkan putusan ku ini kepada para isteri anda yang lain." Jawab beliau, "Tidak satu pun yang ditanyakan mereka kepada ku, yang tidak ku jawab. Sesungguhnya Allah mengutus ku, bukanlah untuk mencari-cari kesulitan, tetapi Allah mengutus ku untuk mengajar dan memudahkan. "

8  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0749.
Dari Anas r.a., katanya Abu Sakar, memerintahkannya pergi ke Bahrain (untuk mengumpulkan zakat).Beliau menulis surat untuk menyusul keberangkatan nya itu, sebagai berikut: "Bismillahirrahmanirrahim. Inilah perintah zakat yang diwajibkan Rasulullah kepada seluruh umat Islam sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah kepada Rasul-Nya itu. kerana itu, siapa saja di antara kaum Muslimin yang diminta zakatnya sesuai dengan ketentuannya, hendaklah diberikannya, dan siapa yang diminta lebih dari mestinya, janganlah diberikannya. Dari lima sampai dua puluh empat ekor unta, zakatnya seekor Syaatun (biri-biri) untuk setiap lima unta. Dua puluh lima sampai dengan tiga puluh lima ekor, zakatnya seekor Bintu Makhadh. Dari tiga puluh enam sampai dengan empat puluh lima ekor unta, zakatnya seekor Bintu Labun. Dan empat puluh enam sampai dengan enam puluh ekor unta, zakatnya seekor Hiqqah Tharuqatul Jamal. Dan enam puluh satu sampai dengan tujuh puluh lima ekor unta, zakatnya seekor Jaz'ah. Dari tujuh puluh enam sampai sembilan puluh ekor, zakatnya dua ekor Bintu Labun. Dan sembilan puluh satu sampai dengan seratus dua puluh ekor, zakatnya dua ekor hiqqah tharuqatul jamal. Dan seratus dua puluh sampai seterusnya, tiap-tiap empat puluh ekor, zakatnya seekor Bintu Labun. Dan tiap-tiap lima puluh ekor, zakatnya seekor Hiqqah. Siapa yang mempunyai empat ekor unta, ia tidak wajib zakat kecuali kalau ia suka mengelurkannya. Tetapi apabila ia mempunyai lima ekor, ia wajib zakat seekor biri-biri. Zakat ghanam (kambing/biri-biri) ialah ghanam yang lepas. Mulai dari empat puluh sampai dengan seratus dua puluh ekor, zakatnya seekor Syaatun. Dari seratus dua puluh sampai dengan dua ratus, dua ekor Syaatun. Dari dua ratus sampai dengan tiga ratus, zakatnya tiga ekor Syaatun. Dari tiga ratus sampai seterusnya, tiap-tiap seratus, zakatnya seekor Syaatun. Dan siapa yang mempunyai ghanam kurang dari empat puluh ekor, biarpun hanya kurang seekor, tidak wajib zakat baginya, kecuali kalau ia suka membayarnya. Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu. Tetapi kalau harganya cuma seratus sembilan puluh, tidak wajib zakatnya, kecuali kalau yang punya ingin mengeluarkannya.

9  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1427.
Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya: "Ketika Nabi saw. mengasingkan diri dari para isteri beliau, aku masuk ke masjid dan ku lihat orang sedang memain-mainkan kerikil. Mereka semua sama berkata, "Rasulullah saw. menceraikan para isteri beliau." Kata 'Umar, "Aku ingin tahu kepastiannya sekarang juga." Lalu aku masuk ke rumah 'Aisyah dan berkata kepadanya, "Hai puteri Abu Bakar! Belum puas jugakah hati mu menyakiti hati Rasulullah saw"?" 'Aisyah menjawab dengan marah, "Aku tidak ada urusan dengan anda, hai anak Khaththab. Uruslah puteri anda sendiri!" Lalu aku masuk ke rumah Hafshah binti 'Umar, seraya berkata : "Hai, Hafshah! Belum puas jugakah hati mu menyakiti hati Rasulullah saw.? Engkaukan tahu, sesungguhnya Rasulullah saw. tidak mencintai mu. Kalau bukanlah kerana aku engkau telah diceraikan oleh beliau." Kerana itu Hafshah menangis sejadi-jadinya, lalu ku tanya dia, "Dimana Rasulullah?" "Beliau di gudang." jawab Hafshah. Lalu aku pergi ke gudang. Kebetulan aku bertemu dengan Rabah, pelayan Rasulullah saw. sedang duduk di pintu gudang melunjurkan kakinya ke sebuah kayu yang dijadikan tangga tempat Rasulullah saw. naik turun Ku panggil dia, "Hai Rabah! Mintakanlah aku izin untuk bertemu dengan Rasulullah saw.!" Rabah menengok ke dalam dan kemudian kepada ku tanpa mengatakan sesuatu. Lalu ku panggil lagi dia, "Hai Rabah! Mintakanlah aku izin untuk bertemu dengan Rasulullah saw." Rabah menengok ke dalam kemudian kepada ku tanpa berkata apa-apa. Kemudian ku keraskan suaraku memanggil Rabah, "Hai Rabah! Mintakan aku izin untuk bertemu dengan Rasulullah saw.!" Aku telah menduga, tentu Rasulullah saw. telah tahu bahawa kedatanganku ialah kerana Hafshah. "Demi Allah! Seandainya Rasulullah saw. menyuruh ku supaya memenggal leher Hafshah, nescaya kupenggal dia." Perkataan itu ku ucapkan dengan suara keras. Lalu Rabah memberi isyarat supaya aku naik. Aku langsung masuk menemui Rasulullah saw. Beliau sedang berbaring di tikar lalu aku duduk dekat beliau. Selagi beliau membetulkan sarungnya, aku melihat bekas tikar berkesan di rusuk beliau. Ku perhatikan sekeliling gudang itu. aku tidak melihat berisi apa-apa, kecuali selonggok gandum kira-kira segantang dan qarazh sebanyak itu pula terletak di sudut dinding dan sehelai kulit sedang tergantung. Itulah hanya isi gudang simpanan beliau. Melihat keadaan seperti itu, air mata ku mengalir bercucuran. lalu beliaU bertanya: "Kenapa anda menangis hai anak Khaththab?" Jawab ku. "Ya, Nabiyallah! Aku menangis kerana melihat tikar ini membekas di rusuk anda. Dan gudang ini tidak ada apa-apa yang tersimpan di dalamnya. Padahal gudang Kaisar Rumawi dan Kisra Persia berlimpah-limpah dengan buah-buahan dan serba cukup adanya. Sedangkan anda adalah Rasulullah dan pilihan Nya. Beginilah hanya keadaan gudang simpanan anda." Sabda Nabi saW., "Hai anak Khaththab! Tidak sukakah engkau, akhirat untuk kita dan dunia untuk mereka?" Jawab ku, "Aku suka, ya Rasulullah!" Ketika aku baru masuk, kelihatan di wajah beliau bahawa beliau sedang marah. Lalu aku bertanya, "Ya, Rasulullah ! Apakah yang menyulitkan Anda perihal para isteri Anda? Jika anda menceraikan mereka, Allah dan sekalian malaikat-Nya, Jibril, Mikail, aku sendiri dan Abu Bakar, serta sekalian orang yang beriman, akan tetap bersama Anda." Belum pernah aku berkata begitu kepada beliau, sambil memuji Allah dengan ucapan-ucapan, kecuali aku berharap semoga Allah membenarkan segala ucapanku itu. Maka turunlah ayat takhyir (pilihan) berikut ini: dan jika kamu berdua bantu membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah pelindungnya, begitu pula Jibril dan orang-orang mukmin yang soleh serta segala malaikat adalah penolongnya pula. Jika Nabi menceraikan kamu, mungkin Tuhannya akan mengganti baginya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu semua. (At Tahrim : 4-5). 'Aisyah binti Abu Bakar dan Hafshah binti 'Umar, justru bekerjasama menentang para isteri Nabi yang lain-lain. Lalu kataku, "Ya, Rasulullah! Apakah Anda akan menceraikan mereka berdua?" Jawab beliau, "Tidak!" Kataku, "Ya, Rasulullah! Aku baru masuk ke masjid, ku lihat kaum muslimin mempermainkan kerikil, sambil mereka berkata, "Rasulullah menceraikan para isterinya. Apakah aku harus turun menjelaskan kepada mereka bahawa Anda tidak menceraikan mereka?" Jawab Rasulullah saw., "Silakan, jika engkau mau!" Aku sentiasa berbicara dengan beliau, sehingga hilang kesan marah dari wajahnya, berganti dengan senyuman. Dan beliau mempunyai deretan gigi yang sangat bagus sehingga menambah indah senyumannya. Kemudian Nabi saw. turun, dan aku pun turun berpegangan melalui tangga pohon kurma. Sedangkan beliau turun seperti berjalan di bumi saja layaknya tanpa berpegangan. Aku berujar kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Anda mengasingkan diri di kamar gudang itu telah dua puluh sembilan hari." Jawab beliau, "Memang bulan ini hanya 29 hari." Sesudah itu aku berdiri di pintu masjid menyiarkan pengumuman sekeras-kerasnya, bahawa Rasulullah saw. tidak pernah menceraikan para isteri beliau. Maka turunlah ayat sebagai berikut : "Dan apabila datang kepada mereka suatu berita yang menyenangkan dan menakutkan, mereka langsung menyiarkannya. Padahal bila mereka menyerahkan kepada Allah dan pegawai-pegawai yang berkuasa di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin suatu kepastian tentang kebenarannya akan mengetahuinya dari mereka (An Nisa' : 83). Justru akulah yang mencek kepastian berita itu. Kemudian Allah menurunkan pula ayat takhyir (Al Ahzab : 28-29).

10  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1115.
Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Tidak ada yang ku ingat mengenai kedua orang tua ku, melainkan mereka telah memeluk agama (Islam). Dan tidak ada hari yang berlalu bagi kami, melainkan setiap hari itu Rasulullah saw. datang ke rumah kami pada kedua tepi siang, pagi dan petang. Ketika kaum muslimin ditimpa musibah, Abu Bakar ikut hijrah ke Habsyah. Sesampainya di Birkal Ghimad, ia berpapasan dengan Ibnu Daghinah, seorang penghulu kampung. Katanya, "Hendak ke mana engkau, hai, Abu Bakar?" Jawab Abu Bakar, "Aku diusir oleh kaum ku. Kerana itu aku hendak mengembara di bumi ini untuk menyembah Tuhan ku." Kata Ibnu Daghinah, "Sesungguhnya orang seperti engkau ini tidak boleh pergi dan tidak boleh diusir. Kerana engkau mengusahakan yang tidak ada, menghubungkan kasih sayang (silatur rahim), membantu orang yang sengsara, memuliakan tetamu dan menolong orang yang ditimpa bahaya dalam menegakkan kebenaran. Dan aku adalah tetanggamu. Kembalilah! Dan tetaplah menyembah Tuhan mu di negerimu." Ibnu Daghinah berjalan bersama-sama dengan Abu Bakar. Lalu ditemuinya pemuka-pemuka kaum Quraisy. Katanya kepada mereka,"Sesungguhnya orang seperti Abu Bakar tidak boleh diusir. Mengapa kalian usir dia? Padahal dia mengusahakan yang tidak ada, menghubungkan kasih sayang, membantu orang yang sengsara, memuliakan tetamu dan menolong orang yang ditimpa bencana dalam menegakkan kebenaran." Sesudah itu orang Quraisy membiarkan tetangga Ibnu Daghinah dan memberi keamanan bagi Abu Bakar. Kata mereka kepada Ibnu Daghinah, "Suruhlah Abu Bakar supaya ia menyembah Tuhannya di rumahnya, ia boleh solat dan membaca apa yang dikehendakinya (di sana), tetapi sekali-kali janganlah menyakiti hati kami dengan perbuatannya, dan jangan pula ia pamer dengannya. Sesungguhnya kami khuatir anak-anak dan para wanita kami akan terpengaruh. Ibnu Daghinah menyampaikan pesan mereka itu kepada Abu Bakar. Maka semenjak itu, Abu Bakar sentiasa menyembah Tuhannya di rumahnya saja, tidak kelihatan terang-terangan solat dan membaca (Quran) di luar rumahnya. Kemudian timbul fikiran bagi Abu Bakar. Maka dibuatnya masjid (musalla, atau surau) di halaman rumahnya. Ia solat dan membaca dengan leluasa di masjidnya itu. Para wanita dan anak-anak orang musyrik beramai-ramai mengunjunginya dan mereka hairan melihatnya, kerana Abu Bakar seorang yang mudah menangis. Dia tidak dapat menahan air matanya kalau dia membaca Quran. Keadaan seperti itu sangat mengejutkan pemuka musyrikin Quraisy. Lalu mereka panggil Ibnu Daghinah. Ibnu Daghinah datang menemui mereka. Kata mereka, "Kami membolehkan Abu Bakar menyembah Tuhannya, hanya di rumahnya. Kini dia telah melampaui batas. Dibuatnya masjid di halaman rumahnya, kemudian dengan leluasa dia pamer solat dan membaca. Kami khuatir anak-anak dan para wanita kami akan terpengaruh. Kerana itu pergilah kamu kepadanya. Jika dia mahu menyembah Tuhannya di rumahnya saja, dia boleh melakukannya. Jika dia tidak mhau, bahkan dia akan melakukannya secara terus terang dan leluasa, mintalah kepadanya supaya ia mengembalikan jaminan perlindungan darimu. Kami sendiri tidak suka merosakkan perjanjian denganmu. Kami tidak menyetujui Abu Bakar bersikap leluasa dan terus terang seperti itu." Kata 'Aisyah, Ibnu Daghinah datang kepada Abu Bakar, lalu ia berkata: "Engkau memaklumi apa yang ku janjikan kepada engkau. Dapatkah engkau menepati janji itu, ataukah engkau akan mengembalikan janji perlindungan dari ku tidak ingin mendengarkan orang Arab mengatakan, bahawa aku merosak janji yang telah ku janjikan kepada seseorang." Kata Abu Bakar, "Aku kembalikan kepada mu janji setetangga denganmu. Dan aku lebih suka setetangga dengan Allah." Waktu itu Rasulullah saw. sedang berada di Mekah. Beliau bersabda, "Sesungguhnya telah diperlihatkan (Allah) kepada ku tempat hijrahmu. Aku lihat pada pasir ditumbuhi pohon kurma di antara dua bukit, yakni dua tempat yang berbatu-batu." Tidak lama kemudian, maka hijrahlah orang ke Madinah. Yaitu sesudah Rasulullah saw. mengatakan demikian itu. Dan hijrah pula ke Madinah orang-orang yang tadinya telah hijrah ke Habsyah. Abu Bakar pun bersiap-siap pula hendak hijrah. Tetapi Rasulullah saw. bersabda kepadanya, "Perlahan-lahan! Sesungguhnya aku mengharap pula keizinan bagi ku sendiri." Kata Abu Bakar, "Apakah Tuan sedang mengharapkan yang demikian itu? Ku tebus engkau dengan Bapa ku." Jawab beliau, "Ya!" Abu Bakar menunggu Rasulullah saw. untuk menemani beliau. Sementara itu diberinya makan dua ekor kenderaan miliknya sendiri dengan daun samar selama empat bulan."