Hadis Sahih Muslim No. 2492 Jilid 4 Topik adalah Zuhud 2492. Dari 'Amru bin 'Auf r.a., seorang kepercayaan Bani 'Amir bin Lu-ai yang ikut perang Badar bersama-sama Rasulullah saw. menceritakan bahawa Rasulullah saw. mengutus Abu 'Ubaidah bin Jarrah ke Bahrain untuk memungut pajak. Rasulullah saw telah mengadakan perjanjian damai dengan penduduk Bahrain dan mengangkat Al 'Ala bin Al Hadhrami sebagai kepala pemerintahan mereka. Abu 'Ubaidah datang membawa harta dari Bahrain, dan orang-orang Ansar mendengar tentang kedatangan Abu 'Ubaidah tersebut. Lalu mereka ramai-ramai mendatangi solat Subuh bersama-sama Rasulullah saw. Setelah selesai solat beliau berpaling ke belakang lalu mereka pergi ke hadapan beliau. Rasulullah tersenyum melihat mereka, kemudian beliau bersabda, "Aku menduga tentu kamu sekalian telah mendengar bahawa Abu 'Ubaidah telah datang dari Bahrain membawa sesuatu."Jawab mereka, "Benar, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Bergembiralah dan renungkanlah apa sesungguhnya yang menggembirakan kamu. Demi Allah! Aku tidak mengkhuatirkan kemelaratan menimpa kamu. Tetapi yang aku khuatirkan ialah bila kemewahan dunia menimpamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu ditimpa kemewahan dunia. Lalu kamu berlumba-lumba (dengan kemewahan) dan kamu binasa seperti mereka." |