Hadis Sahih Muslim No. 2395 Jilid 4 Topik adalah Kiamat 2395. Dari Masruq r.a. katanya: "Ketika kami duduk-duduk di rumah Abdullah, dia sendiri duduk berbaring di antara kami. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata, "Ya Abu 'Abdurrahman! Seorang pembawa berita yang berada di pintu Kindah mengatakan bahawa ayat Dukhan (ayat kabut) turun menyesakkan nafas orang-orang kafir dan menyeksa orang-orang mukmin seperti terkena selsema. Maka duduklah 'Abdullah dan dengan marah dia berkata, "Hai, manusia! Taqwalah kepada Allah! Siapa-siapa di antara kamu yang mengetahui sesuatu, katakanlah apa yang kamu ketahui, dan siapa yang tidak tahu, katakanlah Allah Yang Maha Tahu. Kerana sesungguhnya Allahlah Yang Maha Tahu apa-apa yang tidak kamu ketahui. Allah 'Azza wa Jalla telah berfirman kepada Nabinya: "Katakanlah, hai Muhammad! Aku tidak meminta upah kepada mu atas dakwah ku, dan aku tidak pula termasuk orang yang mengada-ada." (Shaad, 38:86). Ketika Rasulullah saw. melihat orang-orang membelakanginya, beliau berdoa: "Wahai Allah! Cubailah mereka dengan cubaan seperti yang Engkau timpakan kepada umat Nabi Yusuf a.s. (iaitu masa kelaparan)." Maka ditimpakan Allah kepada mereka tahun kelaparan, sehingga mereka terpaksa memakan kulit dan bangkai kerana kelaparan. Seseorang menengok ke langit lalu dia melihat sesuatu seperti kabut. Maka datanglah Abu Sufyan kepada Nabi saw. katanya, "Ya, Muhammad! Anda datang menyuruh orang taat kepada Allah dan menghubungkan silaturrahim. Kaum Anda sedang ditimpa celaka. Kerana itu doakanlah kepada Allah agar mereka beroleh kebaikan. Firman Allah Ta'ala, "Maka tunggulah suatu hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang menyelubungi manusia. Inilah seksa yang pedih sampai dengan sesungguhnya kamu akan kembali (engkar) (Ad Dukhan, 44 : 10 - 15). |