Hadis Sahih Muslim No. 2298 Jilid 4 Topik adalah Ilmu 2298. Dari Jarir bin Abdullah r.a. katanya: "Serombongan orang Arab dusun datang kepada Nabi saw. berpakaian bulu kibasy (berpakaian buruk). Setelah melihat keadaan mereka yang menyedihkan itu, Rasulullah maklum bahawa mereka ditimpa musibah dan memerlukan bantuan. Lalu beliau menganjurkan agar orang banyak memberi sedekah kepada mereka. Tetapi anjuran beliau itu agak lambat mendapat tanggapan, sehingga kelihatan di wajah beliau bahawa beliau agak kecewa. Kemudian datang seorang lelaki Ansar memberikan wang pundi-pundi. Kemudian datang pula yang lain, yang lain, dan seterusnya, sehingga wajah beliau berubah jadi gembira kembali. Maka bersabda Rasulullah saW., "Siapa memberi contoh (mengajak) melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu diikuti orang, maka dia mendapat pahala sebanyak pahala orang-orang yang mengikutinya, tidak kurang sedikit jua pun. Begitu pula siapa yang mengajak melakukan kejahatan, kemudian dikerjakan orang pula kerana mengikuti dia, maka dituliskan dosanya sebanyak dosa orang-orang yang mengikutinya tidak kurang sedikit jua pun." |