Hadis Sahih Muslim No. 2274 Jilid 4 Topik adalah Takdir 2274. Dari Ali r.a. katanya: "Pada suatu hari kami mengantarkan jenazah ke pekuburan Baqi' Al Gharqad. Rasulullah saw. mendatangi kami, lalu beliau duduk. Maka kami pun duduk pula di keliling beliau. Beliau memegang sepotong ranting, menunduk, dan menggaris-garis pasir dengan ranting itu. Kemudian beliau bersabda: "Tidak seorang jua pun di antara kamu melainkan tempatnya telah ditentukan Allah Ta'ala di syurga atau di neraka. Telah ditetapkan Allah apakah dia celaka atau bahagia. Maka bertanya seorang sahabat. "Ya. Rasulullah! Kalau begitu apakah tidak lebih baik kita diam saja menunggu suratan taqdir nasib kita tanpa beramal?" Jawab beliau, "Orang yang telah ditetapkan Allah menjadi orang yang bahagia, adalah kerana dia beramal dengan amalan orang yang bahagia, dan orang yang telah ditetapkan Allah menjadi orang celaka adalah kerana dia beramal dengan amalan orang celaka. Kerana itu beramallah! Semua saranan telah disiapkan. Adapun orang-orang bahagia, mereka dimudahkan untuk mengamalkan amalan-amalan orang-orang bahagia. Dan orang-orang celaka, mereka dimudahkan untuk beramal dengan amal orang-orang celaka." Kemudian beliau membaca ayat: "Adapun orang-orang yang suka memberi dan bertaqwa maka Kami siapkan baginya jalan yang mudah. Dan adapun orang-orang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka akan Kami siapkan baginya jalan yang sukar. " (Al Lail, 92:510). |