Hadis Sahih Muslim No. 2173 Jilid 4 Topik adalah Rasul 2173. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Ketika matahari telah tergelincir, Rasulullah saw. pergi mengimami solat Zohor. Setelah selesai solat, beliau naik ke mimbar lalu mengingatkan jemaah perihal hari kiamat dan mengingatkan pula bahawa sebelumnya akan terjadi beberapa peristiwa besar. Kemudian beliau bersabda: "Siapa yang ingin bertanya kepada ku mengenai sesuatu, tanyakanlah. Demi Allah, jika ada pertanyaan yang tuan-tuan tanyakan kepada ku, nescaya akan ku jawab selama aku masih berdiri di tempatku ini." Kata Anas bin Malik, "Maka banyaklah orang menangis mendengar ucapan Rasulullah saw. tersebut. Kemudian beliau mengulang-ulang ucapannya itu, "Bertanyalah kepadaku!" Maka berdirilah Abdullah bin Hudzafah lalu dia bertanya: "Siapa bapaku, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw., "Bapamu Hudzafah!" Maka tatkala Rasulullah saw. mengulang ucapannya, "Bertanyalah kepadaku!" Umar menyela. Katanya: "Kami rela Allah menjadi Tuhan kami, Islam menjadi agama kami, dan Muhammad menjadi Rasulullah." Kata Anas, "Setelah Umar mengucapkan kata-katanya itu, Nabi saw. diam seketika, kemudian beliau bersabda: "Perhatikanlah! Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sebentar ini diperlihatkan Allah kepada ku syurga dan neraka, tepat di sisi dinding ini. Suatu pemandangan yang belum pernah ku lihat seperti hari ini mengenai kebaikan dan kejahatan." Kata Ibnu Syihab, "Ubaidullah bin Abdullah bin 'Utbah mengatakan, bahawa Ummu 'Abdullah bin Hudzafah berkata kepada anaknya, Abdullah bin Hudzafah, "Aku tidak pernah mendengar seorang jua pun anak yang lebih sial daripadamu. Percayakah engkau bahawa ibumu telah melacur seperti halnya wanita-wanita jahiliyah, lalu aibnya terbuka di kalangan orang ramai?" Kata Abdullah bin Hudzafah, "Demi Allah, seandainya aku dibangsakan kepada budak hitam sekalipun, maulah aku rasanya." |