Hadis Sahih Muslim No. 2125 Jilid 4 Topik adalah Rasul 2l25.Dari Mu'adz bin Jabal r.a. katanya: "Kami berpergian bersama-sama dengan Rasulullah saw. pada tahun peperangan Tabuk. Dalam perjalanan itu beliau menjamak solat Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak, sehingga pada suatu hari beliau menjamak takhir. Beliau pergi untuk solat jamak Zohor dengan Asar. Kemudian beliau pulang dan sesudah itu pergi lagi lalu beliau solat jamak Maghrib dengan Isyak. Setelah itu beliau bersabda: "Insya Allah besok kalian akan sampai ke sebuah mata air di Tabuk. Dan kalian belum akan sampai ke sana sebelum tengah hari. Maka siapa yang sampai ke sana lebih dahulu, sekali-kali jangan menyentuh airnya sebelum aku datang. Justru dua orang laki-laki telah mendahului kami, dan didapatinya mata air itu mengeluarkan air sedikit sekali, kira-kira sebesar tali terompah. Kata Muadz, Rasulullah saw. bertanya kepada kedua orang itu. . Apakah kalian telah menyentuh air itu?" Jawab mereka, 'Ya, sudah!" Rasulullah saw. memarahi dan mencela perbuatan mereka. Kemudian para sahabat menceduk air sedikit demi sedikit dari mata air tersebut dengan tangan mereka sehingga terkumpul pada suatu bejana. Rasulullah membasuh muka dan tangannya dengan air itu, kemudian mengembalikannya ke mata air. Maka terpancarlah di sana mata air, menyemburkan air yang berlimpah-limpah sehingga orang banyak dapat minum. Kemudian beliau bersabda, "Hai, Muadz! Tidak lama, jika umurmu panjang, nanti kamu akan melihat tempat ini penuh dengan taman" |