Hadis Sahih Muslim No. 2114 Jilid 4 Topik adalah Mimpi 2114. Dari Ibnu 'Abbas r.a. katanya : "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah saw. lalu dia berkata: "Ya, Rasulullah! Semalam aku bermimpi dalam tidurku melihat setumpuk awan menitiskan minyak samin dan madu. Dan ku lihat orang banyak menadahkan tapak tangan mereka. Ada yang mendapat banyak dan ada yang sedikit. Kemudian ku lihat seutas tali terhulur dari langit ke bumi. Ku lihat Anda berpegang dengan tali itu, lalu Anda naik. Kemudian seorang lelaki memegang tali itu lalu dia naik pula mengikuti Anda. Kemudian seorang lelaki lain naik pula. Kemudian seorang lelaki yang lain lagi, tetapi tali itu putus. Setelah tali disambungkannya maka dia terus naik." Kata Abu Bakar, "Ya, Rasulullah! Ku mohon kepada Anda, berilah aku kesempatan mentabirkan mimpi itu." Jawab Rasulullah saw., "Silakan Anda mentabirnya!" Kata Abu Bakar, "Setumpuk awan ertinya agama Islam. Adapun minyak samin dan madu yang menitis ialah kitab Quran, manis dan lembut. Adapun Al Quran yang ditadah orang, ada yang memperoleh banyak dan ada yang sedikit. Sedangkan tali yang terhulur dari langit ke bumi, itulah kebenaran yang Anda bawa, lalu Anda ditinggikan Allah kerananya. Kemudian tali itu dipegang orang yang sesudah Anda, maka dia ditinggikan Allah pula. Kemudian orang yang sesudah itu. Kemudian oleh orang sesudah itu, sayang tali putus, tetapi dapat disambungnya kembali dan dia pun ditinggikan Allah. Maka tunjukkanlah kepada ku, ya Rasulullah, apakah tabirku itu betul atau salah?" Jawab Rasulullah saw., "Sebahagian betul dan sebahagian salah." Tanya Abu Bakar, "Demi Allah! Tunjukkanlah mana yang salah?" Jawab Rasulullah saw. "Jangan bersumpah!" |