Hadis Sahih Muslim No. 2087 Jilid 4 Topik adalah Salam 2087. Dari Abdullah bin Abbas r.a. katanya: "Seorang sahabat Nabi saw. dari kalangan Ansar bercerita kepada ku bahawa pada suatu malam ketika mereka sedang duduk mengaji dengan Rasulullah saw., tiba-tiba mereka dijatuhi bintang (meteor) yang bersinar. Maka bertanya Rasulullah saw. kepada mereka. "Apa yang kalian baca pada masa jahiliyah apabila dijatuhi bintang seperti ini?" Jawab mereka, "Allah dan Rasul-Nya sesungguhnya lebih tahu. Kami mengatakan: Malam ini lahir seorang besar dan meninggal seorang besar pula." Maka bersabda Rasulullah saw., "Sesungguhnya bintang (meteor) itu tidak jatuh kerana meninggalnya seseorang dan tidak pula kerana lahirnya seseorang. Tetapi Tuhan kita, yang nama-Nya penuh berkat dan Maha Tinggi, apabila Dia memutuskan suatu urusan, maka tasbihlah pemikul 'Arasy, kemudian tasbih pula penduduk langit seperti mereka, sehingga tasbih mereka terdengar pula oleh penduduk langit dunia ini. Kemudian berkata orang-orang yang dekat pemikul 'Arasy kepada mereka, "Apa yang telah difirmankan Tuhan?" Lalu mereka ceritakan apa yang telah difirmankan Tuhan. Maka khabar mengkhabarkanlah penduduk langit sesama mereka, sehingga berita itu sampai pula kepada penduduk langit dunia ini. Berita itu tertangkap oleh bangsa jin, lalu dibisikkannya kepada pemimpin-pemimpin mereka, tetapi mereka dilempar kerananya. Maka apa yang disampaikannya menurut cerita yang sebenarnya, itu benar. Tetapi biasanya mereka bohong dan mereka tambah-tambah." |