Hadis Sahih Muslim No. 2076 Jilid 4 Topik adalah Salam 2076. Dari Abdullah bin Abbas r.a. katanya: "Pada suatu ketika 'Umar bin Khaththab pergi ke Syam. Setelah sampai di Sargila, pimpinan tentera datang menyambutnya. Antara lain terdapat Abu 'Ubaidah bin Jarrah dan kawan-kawannya. Mereka mengkhabarkan kepada 'Umar bahawa wabak penyakit sedang berjangkit di Syam. Kata 'Umar, "Panggil ke sini orang-orang Muhajirin yang pertama-tama!" Maka ku panggil mereka, lalu 'Umar bermusyawarat dengan mereka. Kata 'Umar, "Wabak penyakit sedang berjangkit di Syam. Bagaimana pendapat tuan-tuan?" Mereka berbeza pendapat. Sebahagian mengatakan kepada 'Umar, "Anda telah keluar untuk suatu urusan penting. Kerana itu kami berpendapat, tidak selayaknya Anda akan pulang begitu saja." Sebagian yang lain mengatakan, "Anda datang membawa suatu rombongan besar, di mana terdapat para sahabat Rasulullah saw. Kami tidak sependapat jika Anda menghadapkan mereka kepada wabak ini." Kata 'Umar, "Pergilah kalian dari sini!" Kemudian berkata pula 'Umar, "Panggil ke sini orang-orang Ansar!" Maka ku panggil pula mereka, dan 'Umar bermusyawarat dengannya. Ternyata kebijaksanaan mereka sama dengan orang-orang Muhajirin. Mereka berbeza pendapat seperti orang-orang Muhajirin. Maka kata 'Umar, "Pergilah kalian dari sini!" Kata 'Umar selanjutnya, "Panggil ke sini pemimpin-pemimpin Quraisy yang hijrah sebelum penaklukan Makkah!" Maka ku panggil pula mereka. Ternyata mereka sependapat semuanya, tidak ada perbezaan. Kata mereka, "Kami berpendapat, sebaiknya Anda pulang saja kembali bersama rombongan Anda dan jangan menghadapkan mereka kepada wabak ini. Lalu 'Umar memaklumkan kepada rombongannya, "Esok pagi-pagi aku akan kembali pulang. Kerana itu bersiap-siaplah kalian!" Maka bertanya Abu 'Ubaidah bin Jarrah, "Apakah kita hendak lari dari qadar Allah?" Jawab 'Umar, "Mengapa bukan kamu yang bertanya, hai Abu 'Ubaidah agaknya Umar tidak mahu berbantah dengannya - Ya, kita lari dari qadar Allah kepada qadar Allah. Bagaimana pendapatmu, seandainya engkau mempunyai seekor unta, lalu engkau turun ke lembah yang mempunyai dua sisi. Yang satu subur dan yang lain tandus. Bukankah jika engkau mengembalakannya di tempat yang subur, engkau menggembala dengan qadar Allah, dan jika engkau menggembala di tempat tandus engkau menggembala dengan qadar Allah?" Tiba-tiba datang Abdurrahman bin 'Auf, yang sejak tadi belum hadir kerana suatu urusan. Lalu dia berkata, "Aku mengerti masalah ini Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Apabila kamu mendengar wabak berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu datangi negeri itu. Dan apabila wabak itu berjangkit di negeri tempat kamu berada, jangan keluar dari negeri itu kerana hendak melarikan diri." Kata Ibnu 'Abbas, 'Umar bin Khaththab mengucapkan puji kepada Allah, setelah itu dia berangkat." |