Hadis Sahih Muslim No. 1976 Jilid 4 Topik adalah Hias 1976. Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya: "Umar (bin Khaththab) melihat 'Utharid At Tamimi berdiri di pasar mempamerkan sebuah baju sutera. 'Utharid adalah seorang lelaki yang berdekatan dengan para raja dan memperoleh baju itu dari mereka. Kata 'Umar. "Aku melihat si 'Utharid berdiri di pasar mempamerkan sebuah baju sutera. Alangkah bagusnya seandainya Anda beli untuk memakainya di saat menerima para utusan Arab yang datang menghadap Anda, agaknya beliau mengatakan pula, dan untuk Anda pakai berkhutbah hari Jumaat - Jawab Rasulullah saw., "Yang memakai sutera di dunia hanyalah orang yang tidak dapat bahagian di akhirat." Tidak berapa lama sesudah itu Rasulullah saw. diberi orang beberapa helai pakaian sutera. Lalu beliau kirimkan kepada Umar sehelai kepada Usamah bin Zaid sehelai, dan beliau berikan kepada Ali bin Abi Thalib sehelai seraya kata beliau kepada Ali, "Potong baju itu untuk selendang isterimu!" Umar datang kepada beliau membawa baju sutera yang dikirimkan Nabi saw. untuknya. Kata 'Umar, "Ya, Rasulullah! Untuk apa Anda kirimi aku baju sutera ini? Bukankah kelmarin Anda telah berkata kepada ku tentang baju yang dipamerkan si 'Utharid?" Jawab Rasulullah saw., "Aku tidak mengirimkannya kepada mu untuk kamu pakai, tetapi ku kirimkan supaya engkau manfaatkan dalam memenuhi keperluanmu." Adapun Usamah, dengan gembira dipakainya baju itu. Kerana itu Rasulullah saw. memandang kepadanya dengan pandangan yang menunjukkan beliau tidak setuju dengan perbuatan Usamah itu. Kata Usamah, "Ya, Rasulullah! Mengapa Anda memandang ku seperti itu, bukankah Anda yang mengirimi ku baju ini?" Jawab Rasulullah saw., "Aku tidak mengirimkannya untuk kamu pakai sendiri tetapi supaya engkau potong menjadi selendang isteri mu." |