Hadis Sahih Bukhari No. 1960 Jilid 4 Topik adalah Perintah 1960, Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi saw. datang ketika matahari telah condong, lalu beliau mengerjakan solat zohor. Setelah memberi salam (selesai solat) beliau berdiri di atas mimbar (berpidato). Beliau menyebut saat (kiamat) dan sebelum kiamat itu akan terjadi beberapa perkara besar. Kemudian itu beliau berkata: "Siapa yang ingin hendak menanyakan sesuatu, tanyakanlah! Demi Allah! Apa saja yang kamu tanyakan kepada ku, nescaya akan ku ceritakan kepada mu, selama aku masih berada di tempatku ini." Anas mengatakan: "Banyak orang yang menangis, sedang Rasulullah saw berulang-ulang mengatakan, supaya orang bertanya kepada beliau. Kata Anas: Ada seorang laki-laki berdiri dan menanyakan: "Di mana tempatku, ya Rasulullah?" Beliau menjawab: "Dalam neraka!" Berdiri pula Abdullah bin Huzafah menanyakan: "Siapakah bapa saya, ya Rasulullah?" Jawab Nabi: "Bapa engkau Huzafah." Sesudah itu berulang Nabi menyuruh supaya orang bertanya. Lalu Umar berlutut dan mengucapkan: "Kami rela (puas) bertuhan kepada Allah dan beragama Islam dan Muhammad saw. Rasulullah." Beliau berhenti bicara ketika Umar mengucapkan perkataan yang demikian. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: "Demi Tuhan yang diri ku di tanganNya! Sesungguhnya di hadapanku diperlihatkan syurga dan neraka sebentar ini, seolah-olah terletak di dinding itu ketika aku solat. Belum pernah aku melihat baik dan buruk begitu jelas seperti di hari ini." |