Hadis Sahih Muslim No. 1958 Jilid 4 Topik adalah Hias 1958. Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya: "Tatkala penggalian parit pertahanan Khandaq sedang dilaksanakan, aku melihat Rasulullah saw. lapar. Kerana itu aku kembali kepada isteri ku, menanyakan kepadanya, "Adakah engkau mempunyai makanan? Aku melihat Rasulullah saw. telah lapar." Maka dikeluarkannya sebuah karung, di dalamnya terdapat segantang gandum. Di samping itu kami mempunyai seekor kambing muda. Maka ku sembelih kambing itu dan isteri ku menggiling tepung. Setelah isteri ku selesai pekerjaannya, aku pun telah selesai dari pekerjaan ku. Lalu ku potong-potong kambing itu dan ku masukkan ke dalam kuali. Kemudian aku pergi kepada Rasulullah saw. (mengundangnya datang untuk makan ke rumah). Sementara itu isteri ku berkata kepada ku, "Engkau jangan memalukan aku kepada Rasulullah saw. dan para sahabat beliau." Maka ku temui beliau seraya berbisik kepadanya, "Ya, Rasulullah! Aku menyembelih seekor kambing muda kepunyaan kami, dan isteri ku telah menggiling segantang gandum yang ada pada kami. Kerana itu sudilah Anda datang makan bersama-sama dengan beberapa orang sahabat." Maka berteriak Rasulullah saw., "Hai orang-orang Khandaq! Jabir membuat hidangan untuk kamu semua. Marilah kita makan bersama-sama!" Sementara itu Rasulullah saw. berkata kepada Jabir, "Jangan kamu turunkan kualimu dan jangan dimasak dulu adunan rotimu sebelum aku datang." Lalu aku pulang. Tidak lama kemudian Rasulullah pun datang diikuti orang ramai. Ketika ku temui isteri ku dia menyesali ku, katanya, "Bagaimana engkau! Bagaimana engkau!" Jawab ku, "Aku telah lakukan apa yang engkau pesankan kepada ku." Maka ku keluarkan adunan roti kami, lalu diberkati oleh Rasulullah saw. Kemudian beliau menuju ke kuali (tempat memasak kambing), maka diberkati pula oleh beliau. Sesudah itu beliau berkata kepada isteri ku. "Panggillah tukang roti untuk membantumu memasak. Nanti isikan gulai ke mangkok langsung dari kuali dan sekali-kali jangan diturunkan kualimu itu." Mereka semuanya berjumlah seribu orang. Aku bersumpah dengan menyebut nama Allah, semuanya turut makan dan setelah itu mereka pergi. Tetapi kuali kami masih tetap penuh berisi seperti semula. Sedangkan adunan masih tersedia pula sebanyak semula." |