Hadis Sahih Bukhari No. 1922 Jilid 4 Topik adalah Perintah 1922, Dari Abu Humaid As Sa'idi r.a. bahawa Nabi saw. mengangkat Ibnu Utabiyah untuk menerima sedekah (zakat) kaum Bani Sulaim. Setelah Ibnu Utabiyah kembali kepada Rasulullah saw. dan telah diadakannya perhitungan, dia berkata: "Ini untuk engkau, dan ini adalah hadiah yang dihadiahkan orang kepada saya." Lalu Rasulullah saw. berkata: "Kalau perkataan engkau itu sebenarnya, mengapa engkau tidak duduk saja di rumah bapa engkau dan rumah ibu engkau, sehingga hadiah itu datang kepada engkau?" Kemudian Rasulullah saw. berdiri dan berkhutbah di hadapan orang banyak. Sesudah menyampaikan pujian dan sanjungan kepada Allah, beliau berkata: "Adapun kemudian, sesungguhnya aku telah mengangkat beberapa orang di antara kamu untuk urusan yang telah dikuasakan Allah kepada ku mengurusnya. Lalu salah seorang di antaranya mengatakan: "Ini untuk engkau dan ini hadiah yang dihadiahkan kepada ku." Mengapa orang itu tidak duduk saja di rumah bapanya dan di rumah ibunya, sehingga hadiah itu datang kepadanya, kalau benar sebagai yang dikatakannya? Demi Allah! Kalau seseorang kamu mengambil barang sesuatu dari harta itu yang bukan haknya, nescaya dia akan datang kepada Tuhan di hari kiamat, memikul apa yang dikhianatinya. Ingatlah, aku mengenal orang yang datang kepada Allah itu memikul unta dan lembu yang melenguh dan kambing yang membebek." Sesudah itu beliau mengangkat kedua tangannya sehingga saya lihat putih ketiaknya. Beliau berkata: "Ketahuilah, aku telah menyampaikan!" |