Hadis Sahih Bukhari No. 1917 Jilid 4 Topik adalah Perintah 1917, Dari Sahal bin Saad As Saidi r.a.katanya: Terjadi pertempuran di kalangan Bani Amru, dan hal itu sampai kepada Nabi saw. Selesai solat Zohor, beliau datang kepada mereka untuk mendamaikan. Setelah tiba waktu solat Asar. Bilal azan dan qamat dan disuruhnya Abu Bakar (menjadi Imam), lalu dia kemuka. Kemudian datang Nabi saw. ketika Abu Bakar sedang solat. Nabi lalu di antara orang banyak, sehingga berdiri di belakang Abu Bakar, di barisan belakangnya. Lalu orang banyak bertepuk tangan. Abu Bakar biasanya apabila telah mulai solat, dia tidak menoleh sampai solat selesai. Setelah didengarnya orang bertepuk, dia terpaksa menoleh dan dilihatnya Nabi saw. berdiri di belakangnya. Diisyaratkan oleh Nabi saw. kepada Abu Bakar, supaya terus. Diisyaratkan beliau dengan tangannya begini. Abu Bakar memuji Allah, kerana isyarat Nabi. Kemudian dia undur ke belakang. Setelah Nabi saw. melihat hal itu, beliau maju ke muka dan menjadi Imam bagi orang banyak. Setelah selesai mengerjakan solat, beliau berkata: "Hai Abu Bakar! Mengapa ketika aku isyaratkan kepada engkau supaya terus, tidak engkau teruskan?" Jawab Abu Bakar: "Tidak pantas anak Abu Quhafah (Abu Bakar) menjadi Imam bagi Nabi saw." Nabi bersabda kepada orang banyak: "Apabila ada suatu hal (berkenaan dengan solat), hendaklah kaum laki-laki tasbih (mengucapkan subhanallah) dan kaum perempuan bertepuk." |