Hadis Sahih Muslim No. 1891 Jilid 4 Topik adalah Buruan 1891. Dari Jabir r.a. katanya: "Rasulullah saw. menugaskan kami menghadang kafilah Quraisy dan mengangkat Abu 'Ubaidah menjadi komandan kami. Kami hanya dibekali dengan sekarung kurma, tidak ada lagi selain itu. Kerana itu Abu 'Ubaidah membahagi-bahagikannya kepada kami sebuah demi sebuah. "Apa yang dapat kamu perbuat dengan kurma sebuah itu?" Jawab, "Kami menghisap-hisapnya seperti bayi. Kemudian kami minum air. Itu sudah cukup bagi kami untuk sehari sampai malam. Pernah juga kami gugurkan daun-daun dengan tongkat, kemudian kami siram dengan air lalu kami makan. Setelah kami sampai di pantai lautan, kami dihadapkan kepada suatu pemandangan yang nampaknya seperti gundukan pasir. Ketika kami hampiri, kiranya yang terlihat itu adalah haiwan laut yang disebut 'anbar (sejenis ikan panjang yang besar dan lebar kepalanya). Lalu kata Abu 'Ubaidah, "Itu bangkai! Tetapi tidak mengapa. Kita adalah utusan Rasulullah saw. yang memikul tugas fi sabilillah. Kalian dalam keadaan terpaksa, kerana itu boleh kalian makan." Kami menetap di tempat itu selama sebulan, dan jumlah kami semuanya tiga ratus orang. Kami menjadi gemuk semuanya (kerana memakan ikan tersebut). Kami ambil minyaknya dari rongga matanya dan menampungnya dengan tempayan besar. Kemudian kami potong-potong dagingnya seperti memotong-motong lembu. Abu 'Ubaidah memanggil tiga belas orang prajurit di antara kami lalu disuruhnya masuk ke rongga mata ikan itu (ternyata mereka muat di dalam). Sesudah itu diambilnya kerangka ikan tersebut lalu ditegakkannya. Kemudian disuruhnya unta kami yang paling besar berjalan di bawah kerangka ikan tersebut. Kami ambil daging ikan itu sebagai perbekalan kami dan untuk kami masak. Setelah kami tiba kembali di Madinah, kami datangi Rasulullah saw. lalu kami laporkan peristiwa itu kepada beliau. Sabda beliau, "Itu rezeki diberikan Allah Ta'ala untuk kalian. Adakah kalian bawa dagingnya agak sedikit untuk kami?" Maka kami berikan daging yang kami bawa kepada beliau lalu beliau makan." |