Hadis Sahih Muslim No. 1814 Jilid 4 Topik adalah Perintah 1814. Dari Hudzaifah Ibnu Al Yamani r.a., katanya: "Biasanya orang ramai bertanya kepada Rasulullah saw. tentang kebajikan. Tetapi aku bertanya kepada beliau tentang kejahatan. Kerana aku takut kejahatan itu menimpa ku. Lalu aku bertanya, "Ya, Rasulullah! Kami dahulu berada dalam kejahilan dan kejahatan. Kerana itu Allah Ta'ala menurunkan kebaikan (agama) ini kepada kami. Mungkinkah sesudah ini timbul lagi kejahatan?" Jawab Rasulullah saw., "Tentu!" Tanya ku, "Sesudah itu mungkin pulakah datang lagi kebaikan?" Jawab Nabi saw., "Ya, tetapi sudah cacat!" Tanya ku, "Apa cacatnya?" Jawab Nabi saw., "Suatu kaum (bangsa) membuat peraturan (perundangan) di luar sunnah ku dan memimpin tanpa hidayah ku. Engkau mengerti tentang kebijaksanaan mereka dan tidak menyukainya." Tanya ku, "Sesudah kebaikan itu, timbul lagikah kejahatan?" Jawab beliau. "Ada. Iaitu orang-orang yang selalu memanggil-manggil di pintu neraka, lalu siapa yang memenuhi panggilannya dilemparkannya ke dalam neraka itu." Tanya ku. "Ya, Rasulullah! Tunjukkanlah kepada kami ciri-ciri mereka." Jawab Nabi saW., "Baik! Iaitu orang-orang yang kulitnya sama dengan kita (mengaku beragama Islam) dan mereka berbicara memakai lidah (hadis) kami." Tanya ku, "Bagaimana petunjuk Anda seandainya aku menemui hal yang demikian?" Jawab Nabi saw., "Tetaplah kamu bersama jemaah kaum muslimin dan Imam (pemimpin atau pembesar) mereka!" Tanya ku, "Jika tidak ada jemaah dan Imam?" Jawab beliau, "Tinggalkanlah partai-partai itu semuanya. Sekalipun engkau akan memakan akar-akar kayu, namun engkau tetaplah pada pendirianmu itu." |