Hadis Sahih Muslim No. 1812 Jilid 4 Topik adalah Perintah 1812. Dari 'Abdur Rahman bin 'Abdu Rabbil Ka'bah r.a., katanya: " Aku masuk ke dalam masjid maka terlihat oleh ku 'Abdullah bin Amru bin 'Ash duduk dibawah naungan Kaabah dikelilingi orang ramai. Lalu ku datangi mereka dan duduk ke dekat 'Abdullah. Katanya, "Kami pernah mengadakan suatu perjalanan bersama-sama Rasulullah saw., lalu pada suatu tempat perhentian kami berhenti. Sebahagian kami ada yang memperbaiki tempat tidur, sebahagian lagi berlatih memanah, sebahagian lagi memberi makan haiwan dan sebagainya. Tiba-tiba kedengaran Maudzdzin Rasulullah saw. memanggil kami solat berjemaah, lalu kami berkumpul ke dekat beliau. Beliau bersabda, "Para Nabi sebelum aku bertugas menuntun umatnya kepada kebaikan yang diajarkan Allah kepada mereka dan mengingatkan bahaya yang mengancam mereka. Umat ku yang sempurna dan selamat ialah angkatan pertama-tama. Angkatan sesudah itu akan ditimpa berbagai cubaan berupa hal-hal yang tidak disenanginya, seperti timbulnya fitnah. Di mana-mana sebahagian mereka menghina bahagian yang lain, maka kerana itu timbullah bencana. Orang-orang mukmin berkata, "Inilah kiranya yang membinasakan ku. Setelah hilang suatu bencana timbul pula bencana yang lain. Dan orang mukmin berkata, "Ini....!Ini!" Siapa yang ingin bebas dari neraka mahu masuk ke syurga, hendaklah dia menemui kematiannya dalam beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah dia berjasa kepada umat manusia sesuai dengan yang diinginkan oleh masyarakat itu. Siapa yang baiat dengan seorang Imam, (pembesar atau penguasa) lalu dia memenuhi janji setianya dengan sepenuh hati, hendaklah dia mematuhi Imam itu sehabis daya. Jika yang lain datang memberontak, penggallah lehernya. Kata ' Abdur Rahman, "Aku lebih mendekat kepada 'Amru, lalu kata ku, aku bertanya kepada Anda dengan nama Allah, apakah Anda mendengar sendiri hadis ini dari Rasulullah saw. Dia menunjuk dengan tangannya ke telinga dan hatinya seraya berkata, " Aku dengar dengan kedua telinga ku, dan ku simpan dalam hatiku." Lalu ku katakan kepadanya, "Ini anak-anak pakcik mu, Mu'awiyah. Dia menyuruh kita memakan harta sesama kita dengan cara yang haram serta membunuh sesama kita. Padahal Allah Ta'ala telah berfirman, "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta sesamamu dengan cara yang haram, kecuali berjual-beli dengan cara suka sama suka sesamamu, dan janganlah kamu membunuh saudara mu (sesama muslim); sesungguhnya Allah Maha sayang kepada mu." Amru diam sebentar kemudian dia berkata, "Patuhilah perintahnya bila sesuai dengan perintah Allah dan langgarlah perintahnya bila melanggar perintah Allah!" |