Hadis Sahih Muslim No. 1769 Jilid 3 Topik adalah Perang 1769. Dari 'Urwah r.a., katanya Usamah bin Zaid menceritakan kepadanya, bahawa pada suatu ketika Nabi saw. pernah mengenderai seekor keldai berpelana, yang dialas dengan sulaman buatan Fadak. Sedangkan di belakang beliau membonceng Usamah. Ketika itu beliau bepergian hendak menengok Sa'ad bin 'Ubadah di perkampungan Bani Harits bin Khazraj, sebelum terjadi perang Badar. Beliau melalui suatu majlis, di mana orang-orang muslim dan orang-orang musyrik penyembah berhala serta orang-orang Yahudi kedapatan bercampur-baur di situ. Antara lain terdapat 'Abdullah bin Ubay dan' Abdullah bin Rawahah. Tatkala mereka diselubungi debu ketika kenderaan kami lalu, maka Abdullah bin Ubay menutup hidungnya dengan cadar sambil berkata, "Janganlah kami diberi abu!" Maka Nabi saw. memberi salam kepada mereka, kemudian berhenti, lalu turun. Kemudian beliau ajak mereka kepada Allah, dan beliau bacakan kepada mereka Al-Qur'an. Maka berkata 'Abdullah bin Ubay, "Hai, Buyung! Tidak adakah yang lebih baik dari ini? Jika apa yang engkau katakan itu benar, maka kami jangan diganggu dalam majlis kami. Pulanglah kamu ke rumahmu! Siapa yang datang kepada mu, boleh engkau cerita kepadanya." Maka berkata 'Abdullah bin Rawahah. "Datanglah ke majlis kami! Kami suka itu!" Kata Usamah, "Maka terjadilah perang mulut antara orang-orang muslim dengan orang-orang musyrik dan Yahudi, sehingga hampir mereka berkelahi. Tetapi Nabi saw. dapat menenangkan mereka, kemudian beliau naiki kenderaannya, lalu pergi ke rumah Sa'ad bin 'Ubadah. Maka bersabda Rasulullah saw., "Hai, Sa'ad! Tahukah kamu apa yang telah diucapkan oleh Abu Hubab ('Abdullah bin Ubay)? Dia mengatakan begini-begini." Kata 'Abdullah bin Rawahah, "Maafkan sajalah dia ya Rasulullah! Demi Allah, sesungguhnya Allah telah memberi Anda apa yang diberi-Nya. Sebelum kedatangan Anda, penduduk negeri ini telah sepakat hendak memakaikan mahkota dan melilitkan serban kepadanya. Tetapi Allah menggagalkannya dengan kebenaran yang diberikan-Nya kepada Anda. Kerana itu dia merasa iri terhadap Anda. Itulah sebabnya dia banyak membuat ulah seperti yang Anda saksikan." Lalu Nabi saw. memaafkannya. |