Hadis Sahih Muslim No. 1752 Jilid 3 Topik adalah Perang 1751. Dari 'Abdullah bin Rabah r.a., katanya: "Kami datang sebagai utusan kepada Mu'awiyah bin Abi Sufyan. Di antara kami terdapat Abu Hurairah r.a. Kami bergilir memasak masakan, masing-masing satu hari. Ketika giliranku memasak, aku berkata kepada Abu Hurairah. "Hari ini adalah giliranku yang memasak. Mereka telah datang ke tempatku, tetapi makanan belum tersedia. Maka alangkah baiknya kalau Anda bercerita kepada kami tentang Rasulullah saw., sampai makanan kita terhidang?" Abu Hurairah bercerita, "Kami pergi bersama-sama Rasulullah saw. pada hari penaklukan Mekah. Beliau mengangkat Khalid bin Walid selaku komandan pasukan sayap kanan, dan mengangkat Zubair menjadi komandan sayap kiri, serta mengangkat Abu 'Ubaidah mengepalai pasukan berjalan kaki yang ditempatkan di lembah. Rasulullah saw. bersabda, "Hai Abu Hurairah! Panggil ke dekatku orang-orang Ansar!" Lalu ku panggil mereka dan mereka segera datang ke dekat beliau. Rasulullah saw. bersabda, "Hai, kaum Ansar! Adakah kalian lihat pasukan tentera Quraisy?" Jawab mereka, "Ada, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Perhatikan baik-baik! Apabila kamu bertemu dengan mereka esok, hendaklah mereka kalian habiskan, sambil beliau memberi isyarat dengan tangannya, meletakkan yang kanan atas yang kiri. Kemudian beliau berkata, sampai bertemu di Safa. Maka siapa saja yang mendekati mereka pada hari itu mereka bunuh semua. Kata Abu Hurairah, "Rasulullah saw. naik ke bukit Safa, dan orang-orang Ansar datang pula mengelilingi beliau. Kemudian datang Abu Sufyan, katanya, "Ya Rasulullah! Kalau orang Quraisy dibunuh habis, tidak ada lagi Quraisy sesudah hari ini." Kemudian, Abu Sufyan menceritakan bahawa Rasulullah saw. bersabda, "Siapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, dia aman. Siapa yang meletakkan senjata, dia aman. Siapa yang mengunci pintu rumahnya, dia aman." Lalu berkata orang-orang Ansar, "Agaknya orang ini (Rasulullah) telah dipengaruhi rasa kasih sayang terhadap keluarga dan rindu kampung halamannya." Maka turunlah wahyu kepada Rasulullah saw., lalu beliau bersabda: "Kalian berkata bahawa aku telah dipengaruhi rasa kasih sayang terhadap keluarga dan rindu kampung halaman. Lupakah kalian siapa aku?" Beliau mengulangi ucapannya itu sampai tiga kali. "Aku Muhammad, hamba Allah dan RasulNya. Aku telah hijrah kepada Allah dan kepada kalian. Maka kerana itu aku akan hidup dan mati bersama-sama dengan kalian." Jawab mereka, "Demi Allah, kata-kata itu kami ucapkan tidak lain hanya kerana cinta kami kepada Allah dan Rasul-Nya." Jawab Rasulullah saw., "Sesungguhnya Allah swt. membenarkan pengakuan kalian dan telah memaafkan kalian." |