Hadis Sahih Muslim No. 1740 Jilid 3 Topik adalah Perang 1740. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengirim pasukan berkuda ke arah Nejed. Mereka dapat menawan dan membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin Utsal, pemimpin penduduk Yamamah. Tawanan itu mereka ikatkan di sebuah tiang di antara tiang-tiang masjid. Rasulullah saw. keluar mendapatkannya seraya berkata, "Apa khabarmu, hai Tsumamah?" Jawab Tsumamah, "Khabar ku baik-baik saja hai Muhammad. Jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah; jika engkau membebaskan ku, engkau membebaskan seorang yang pandai berterima kasih. Jika engkau mengingini harta, mintalah, akan ku berikan berapa engkau kehendaki. Kemudian dia ditinggal oleh Rasulullah saw. Esok beliau bertanya pula kepadanya, "Apa khabarmu, hai Tsumamah?" Jawab Tsumamah, "Seperti telah ku katakan kepada mu, jika engkau membebaskan ku, maka engkau membebaskan orang yang tahu berterima kasih. Dan jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah. Jika engkau ingin harta, mintalah berapa engkau kehendaki, akan ku berikan. Rasulullah saw. meninggalkannya pula sampai esok, kemudian beliau bertanya pula, "Apa khabarmu, hai Tsumamah? Jawab Tsumamah, "Khabar ku seperti yang telah ku katakan kepada mu. Jika engkau bebaskan aku, engkau membebaskan orang yang tahu berterima kasih, jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah. Jika engkau ingin harta, mintalah, akan ku beri berapa engkau kehendaki." Maka bersabda Rasulullah saw., "Bebaskan Tsumamah!" Kemudian Tsumamah pergi ke sebatang pohon kurma dekat masjid, lalu dia mandi. Setelah itu dia masuk ke dalam masjid, dan mengucapkan dua kalimah syahadah: Asyhadu anlaa ilaaha illallah, asyhadu anna Muhammadan 'abduhu Rasuluh. (Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan aku mengaku bahawa Muhammad hamba Allah dan RasulNya). Ya, Muhammad! Demi Allah, tadinya tidak ada seraut wajah yang paling ku benci di muka bumi ini selain wajahmu. Tetapi kini, wajahmulah yang paling ku cintai di antara seluruh wajah. Demi Allah, tadinya tidak ada agama yang paling ku benci selain agamamu. Tetapi kini, agamamulah yang paling ku cintai daripada sekalian agama. Tidak ada negeri yang paling ku benci selain dari negerimu ini. Tetapi kini, negeri inilah yang paling ku cintai daripada sekalian negeri. Ketika pasukan berkuda mu menangkap ku, aku bermaksud hendak pergi umrah. Sekarang bagaimana pendapatmu?" Rasulullah menyampaikan berita gembira kepadanya, sesudah itu beliau menyuruhnya pergi umrah. Sesampainya di Mekah orang bertanya kepadanya, "Apakah engkau pindah agama?" Jawabnya, "Tidak! Tetapi saya memeluk agama Islam bersama-sama Rasulullah saw. Demi Allah! Janganlah kamu harap, sebiji gandum pun tidak akan datang kepada mu dari Yamamah, sebelum mendapat izin dari Rasulullah saw." |