Hadis Sahih Muslim No. 1739 Jilid 3 Topik adalah Perang 1739. Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya: "Pada hari terjadinya perang Badar, Rasulullah saw. melihat kaum musyrikin, semuanya berjumlah seribu orang, sedangkan para sahabat beliau hanya berjumlah tiga ratus sembilan belas orang. Nabi saw. menghadap ke kiblat, kemudian beliau tadahkan kedua tangannya ke langit lalu beliau mendoa kepada Tuhannya, "Allahumma anjiz li ma wa'adtani; Allahumma aati ma wa'adtani; Allahumma ir tuhlika hadzihil 'ishabata min ahlil Islam, la tu'bad fil ardhi." Demikianlah, beliau sentiasa mendoa kepada Tuhannya, mengangkat kedua tangannya sambil menghadap ke kiblat, sehingga selendang beliau terlepas dari bahunya. Abu Bakar mendatangi Nabi saw., lalu diambilnya selendang beliau dan diletakkannya kembali ke bahu beliau, kemudian dia sentiasa berada di belakang beliau. Kata Abu Bakar, "Ya, Nabiyallah! Cukuplah kiranya Anda munajat dengan Allah, kerana Dia pasti akan menepati janjiNya kepada Anda. Lalu Allah menurunkan ayat: "Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan mu, lalu diperkenankan-Nya bagi mu, sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada mu, seribu malaikat yang datang beriring-iring." (Al Anfal, 8:9). Jadi Allah membantu Nabi saw. dengan seribu orang pasukan malaikat. Kata Abu Zumail, Ibnu Aboas mengabarkan kepadanya bahawa pada hari itu, ketika seorang tentera Islam mengejar tentera musyrikin yang berada di hadapannya, tiba-tiba terdengar olehnya bunyi suara cambuk di atas (kepala si musyrik) dan suara seorang penunggang kuda berkata, " Ayuh, maju Haizum!" Tiba-tiba dilihatnya musyrik yang berada di hadapannya telah jatuh, tewas tertelentang dengan hidungnya bengkak, mukanya terbelah seperti bekas pukulan cambuk, dan seluruh tubuhnya menghijau. Tentera muslim Ansar itu datang melaporkan peristiwa itu kepada Nabi saw. Kata beliau, "Ceritamu itu benar belaka. Itu adalah pertolongan Allah dari langit ketiga." Pada hari itu tentera muslim dapat menewaskan tujuh puluh orang tentera musyrikin, dan menawan mereka tujuh puluh orang. Kata Abu Zumail selanjutnya, Ibnu 'Abbas mengatakan, bahawa tatkala tawanan telah mereka tahan, Rasulullah saw. bertanya kepada Abu Bakar dan 'Umar, "Bagaimana pendapat kalian mengenai para tawanan ini?" Jawab Abu Bakar, "Ya, Nabiyallah! Mereka itu adalah anak-anak pakcik dan keluarga kita. Aku berpendapat sebaiknya kita pungut tebusan dari mereka. Dengan begitu kita akan bertambah kuat atas orang-orang kafir, semoga Allah menunjuki mereka untuk masuk Islam." Kemudian Rasulullah bertanya pula kepada 'Umar, "Bagaimana pendapatmu, hari Ibnu Khaththab?" Jawab ku, "Tidak! Demi Allah, ya Rasulullah, aku tidak setuju dengan pendapat Abu Bakar. Aku berpendapat, supaya Anda memberi kesempatan kepada kami untuk memenggal leher mereka. Berilah kesempatan kepada 'Ali untuk memenggal leher si 'Uqail, berilah kesempatan kepada ku untuk memenggal leher siFulan (maksudnya keluarga 'Umar sendiri). Kerana mereka ini adalah para pemimpin kaum kafir dan pembesar-pembesar mereka. Rasulullah menyetujui pendapat Abu Bakar, tidak menyetujui pendapatku. Esok aku datang menemui Rasulullah saw. Aku dapati beliau sedang duduk menangis berdua dengan Abu Bakar. Lalu kataku, "Ceritakanlah kepada ku, apa sebabnya Anda berdua menangis. Jika aku merasa terharu aku akan turut menangis. Jika aku tidak terharu, aku akan menangis juga kerana tangis Anda berdua:" jawab Rasulullah saW., "Aku menangis, kerana tebusan yang dipungut sahabatmu terhadap para tawanan itu, terasa bagi ku lebih murah daripada harga kayu ini (sambil beliau menunjukkan sebuah kayu di dekat beliau). Lalu Allah menurunkan ayat: "Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia melumpuhkan musuhnya di muka bumi hingga firman-Nya maka makanlah olehmu sebahagian harta rampasan " (Al Anfal, 8:67-69). Kerana itu Allah Ta'ala menghalalkan harta rampasan bagi mereka." |