Hadis Sahih Muslim No. 1716 Jilid 3 Topik adalah Perang 1716. Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., dari bapanya, katanya: "Apabila Rasulullah saw. mengangkat seorang panglima atau komandan pasukan perang, beliau selalu memberikan amanat kepadanya dan kepada seluruh anggota pasukannya. Pertama-tama, terutama beliau wasiatkan supaya mereka semua taqwa kepada Allah. Kemudian beliau perintahkan. "Berperanglah kalian dengan nama Allah dan Fi Sabilillah (di jalan Allah untuk menegakkan agama Allah). Perangilah orang-orang yang kafir terhadap Allah. Berperanglah kalian, jangan menipu dan jangan berkhianat, jangan kejam dan jangan membunuh anak-anak. Apabila kamu bertemu dengan orang-orang musyrik yang menjadi musuhmu, tawarkanlah kepada mereka tiga macam perkara. Mana saja di antara ketiganya yang disetujui mereka, terimalah persetujuan mereka dan jangan mereka diserang lagi. Ajaklah mereka masuk Islam. Jika ajakanmu itu mereka terima dengan baik, terimalah kesediaan mereka itu dan jangan mereka diserang lagi. Kemudian, ajaklah mereka pindah dari rumah mereka ke rumah-rumah orang muhajirin. Dan beritahu mereka, jika mereka mahu pindah, mereka akan diperlakukan sama seperti orang-orang muhajirin dalam hak dan kewajipan mereka. Tetapi jika mereka enggan pindah, beritahukan kepada mereka bahawa status mereka sama dengan kaum muslimin di desa-desa, di mana diperlakukan kepada mereka hukum Allah seperti yang dijalankan kepada orang-orang mukmin. Mereka tidak mendapat pembahagian harta rampasan baik yang diperoleh dengan perang atau bukan (fay-i), kecuali jika mereka turut berperang bersama-sama dengan kaum muslimin. Jika mereka menolak masuk Islam, kenakan pajak kepada mereka, dan jika mereka bersedia membayar pajak, terimalah pajak mereka dan jangan diserang lagi mereka. Jika mereka menolak pula membayar pajak, maka mohonlah pertolongan kepada Allah dan perangilah mereka. Apabila kamu kepung penghuni sebuah benteng, lalu mereka ingin memperoleh perlindungan serta jaminan Allah dan Rasul-Nya, jangan engkau terima permintaannya itu, tetapi berikanlah jaminanmu (peribadi) beserta sahabat-sahabatmu, kerana jaminan kamu dan para sahabatmu lebih ringan risikonya daripada jaminan Allah dan Rasul-Nya. Dan apabila engkau kepung penghuni suatu benteng, lalu mereka ingin supaya kepada mereka diperlakukan hukum Allah, jangan engkau terima permintaannya itu, tetapi lakukan hukummu (peribadi) dan sahabat-sahabatmu, kerana kamu belum mengerti apakah sudah tepat hukum Allah yang engkau jatuhkan kepada mereka atau belum." |