Hadis Sahih Muslim No. 1679 Jilid 3 Topik adalah Pidana 1679. Dari Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid Al Juhani r.a., keduanya berkata: "Seorang lelaki desa datang menghadap kepada Rasulullah saw., seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Aku mohon supaya Anda bersumpah dengan Allah, bahawa tidak akan menjatuhkan hukuman kepada ku, melainkan sesuai dengan Kitabullah!" Lawan perkara lelaki itu lebih pintar berkata daripadanya, "Ya, betul! Putuskanlah perkara kami sesuai dengan hukum Kitabullah, dan izinkanlah saya lebih dahulu berbicara." Jawab Nabi saw., "Bicaralah!" Katanya, "Anak lelakiku bekerja menjadi pegawai kepada orang ini, lalu dia menuduh anakku berzina dengan isterinya. Sesungguhnya aku telah tahu bahawa anakku harus dihukum rejam. Lalu ku tebus dia dengan seratus ekor kambing dan seorang sahaya perempuan. Kemudian aku bertanya kepada orang-orang pandai (ulama), mereka mengatakan bahawa anakku harus dihukum dera seratus kali dan dibuang (penjara) satu tahun, sedangkan yang perempuan mendapat hukuman rejam (sampai mati)." Maka bersabda Rasulullah saw., "Demi Allah yang jiwaku ditangan-Nya, aku menjatuhkan hukuman bagi kedua belah pihak nescaya sesuai dengan Kitabullah. Hamba sahaya dan kambing ditolak. Anakmu harus didera seratus kali dan dibuang (penjara) satu tahun! Hai, Unais! Esok pagi pergilah engkau kepada isteri orang ini, lalu periksa apakah dia memang berzina. Jika dia mengaku berzina, rejamlah dia!" Kata Abu Hurairah, "Esok pagi Unais pergi memeriksa perempuan itu, ternyata dia mengaku telah berzina." Rasulullah memerintahkan supaya dia dihukum rejam, maka direjam oranglah dia. |