Hadis Sahih Muslim No. 1678 Jilid 3 Topik adalah Pidana 1678. Dari Imran bin Hushain r.a., katanya: "Seorang perempuan dari suku Juhainah datang menghadap kepada Nabi saw. padahal dia sedang hamil akibat melakukan zina. Lalu katanya, "Ya, Nabiyallah! Aku telah melanggar hukum; maka tegakkanlah hukum itu atas diriku!" Kerana itu Rasulullah saw. memanggil wali perempuan itu, lalu beliau bersabda kepadanya, "Rawatlah perempuan ini sebaik-baiknya. Apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku!" Perintah Nabi saw. itu dijalankan oleh walinya sesuai dengan yang diperintahkan beliau. Setelah perempuan itu melahirkan, maka dia dihadapkan kepada Rasulullah saw. Lalu dikenakan pakaiannya dengan erat. Kemudian Nabi saw. memerintahkan supaya dia dihukum rejam, lalu ia direjam. Setelah dia mati, Nabi saw. melakukan solat jenazah baginya. Maka bertanya 'Umar kepada beliau, "Perlukah dia disolatkan, ya Nabiyallah? Bukankah dia berzina?" Jawab beliau, "Dia telah taubat sebenar-benarnya taubat. Andaikata taubatnya itu dibahagi kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti cukup bagi mereka. Manakah lagi taubat yang lebih utama daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta'ala secara ikhlas?" |