Hadis Sahih Muslim No. 1677 Jilid 3 Topik adalah Pidana 1677. Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., dari bapanya, katanya: "Pada suatu ketika, Ma'iz bin Malik datang kepada Nabi saw., lalu dia berkata kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Sucikanlah aku!" Jawab Rasulullah saw., "Amboi, kasihan! Pulanglah, lalu minta ampun kepada Allah dan taubatlah kepada-Nya." Ma'iz pergi, tetapi belum begitu jauh dia kembali lagi seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Sucikanlah aku!" Jawab Rasulullah saw., "Amboi, kasihan! Pulanglah, minta ampun kepada Allah dan taubatlah kepada-Nya!" Ma'iz pergi, tetapi belum begitu jauh dia kembali lagi dan berkata kepada Rasulullah saw., "Ya, Rasulullah! Sucikanlah aku!" Nabi saw. menjawab seperti semula dan hal seperti itu berulang sampai empat kali. Pada kali yang keempat Rasulullah saw. bertanya, "Dari hal apakah engkau harus ku sucikan?" Jawab Ma'iz, "Dari dosa berzina." Rasulullah saw. bertanya kepada para sahabat yang ada di sekitarnya ketika itu, "Apakah si Ma'iz ini mengidap penyakit gila?" Jawab para sahabat, "Tidak, ya Rasulullah! Dia tidak gila!" Tanya Nabi saw. berikutnya, "Apakah dia baru habis minum khamar?" Seorang sahabat berdiri, lalu membaui Ma'iz, tetapi tidak mencium bau khamar di mulut Ma'iz. Maka bertanya Rasulullah saw. kepada Ma'iz, "Betulkah engkau berzina?" Jawab Ma'iz, "Benar, ya Rasulullah!" Rasulullah memerintahkan supaya dilaksanakan hukuman rejam terhadap Ma'iz, lalu dia direjam. Terdapat dua pendapat dalam masalah ini. Yang pertama mengatakan bahawa Ma'iz mati, dan dosanya hapus kerana hukuman yang dijalaninya secara ikhlas. Yang kedua mengatakan, bahawa Ma'iz taubat sebenar-benar taubat. Tiada taubat yang melebihi taubat Ma'iz. Dia datang menghadap Nabi saw., lalu diletakkannya tangannya di tangan Nabi, kemudian katanya, "Ya, Rasulullah! Hukum mati1ah aku dengan batu! (rejamlah aku)!" Mereka sentiasa dalam perbezaan pendapat seperti itu selama dua atau tiga hari. Kemudian Rasulullah saw. datang. Setelah memberi salam, lalu beliau duduk bersama-sama dengan mereka. Maka bersabda Rasulullah saw., "Mintakanlah ampun bagi Ma'iz bin Malik." Lalu mereka memohon semuanya, "Semoga Allah mengampuni Ma'iz bin Malik." Rasulullah saw. bersabda, "Ma'iz. betul-betul telah taubat dengan sempurna taubat. Seandainya taubat Ma'iz dapat dibahagi di antara satu kaum, pasti mencukupi untuk mereka semua." Kemudian datang pula seorang perempuan dari desa Ghamid, suku Azdi, lalu dia berkata, "Ya, Rasulullah! Sucikanlah aku!" Jawab Rasulullah saw., "Amboi, kasihan! Pulanglah engkau, lalu minta ampun kepada Allah dan taubatlah kepada-Nya!" Kata perempuan itu, "Kulihat Anda sengaja menyuruh ku pulang, seperti yang Anda lakukan terhadap Ma'iz bin Malik," Tanya Nabi saw., "Mengapa begitu?" Perempuan itu mengatakan bahawa dia telah hamil akibat berzina. Tanya Nabi saw., "Engkau sendiri yang berbuat?" Jawabnya, "Betul, ya Rasulullah!" Nabi saw. bersabda kepadanya, tunggulah dahulu sampai engkau melahirkan." Lalu perempuan itu ditanggung kehidupannya oleh seorang lelaki Ansar sampai dia melahirkan. Setelah dia melahirkan, maka diberitahukannya kepada Rasulullah saw., katanya, "Ya, Rasulullah! Perempuan desa Ghamid itu sudah melahirkan." Jawab Rasulullah saw., "Biarkanlah dahulu kerana anaknya masih kecil, sedang orang yang akan menyusukannya tidak ada." Maka berdiri seorang lelaki Ansar lalu dia berkata, "Aku yang menanggung susunya!" Kata Buraidah, "Setelah itu maka dilaksanakanlah hukuman rejam terhadap perempuan desa Ghamid itu." |