Hadis Sahih Muslim No. 1666 Jilid 3 Topik adalah Qasamah 1666. Dari 'Alqamah bin Wail r.a., katanya bapanya bercerita: "Pada suatu waktu, ketika aku sedang duduk bersama-sama dengan Nabi saw., tiba-tiba datang seorang lelaki menarik orang lain dengan seutas tali, lalu dia berkata, "Orang ini telah membunuh saudara ku!" Maka bertanya Rasulullah saw., "Betulkah engkau bunuh saudaranya?" Jawabnya, "Ya, ku bunuh dia!" Tanya Nabi saw., "Mengapa engkau bunuh dia?" Jawabnya, "Aku dan dia sedang memetik daun dari sebatang pohon, lalu dia memaki ku. Aku marah, lalu ku pukul tengkuknya dengan kapak, sehingga dia mati," Rasulullah saw. bertanya kepadanya, "Adakah engkau mempunyai harta untuk membayar tebusan dirimu?" Jawabnya, "Aku tidak punya harta selain pakaian dan kapak ku ini." Kata Nabi saw., "Cubalah fikir-fikir, barangkali keluargamu dapat menebusmu." Jawabnya, "Aku lebih hina bagi keluarga ku daripada ini," Rasulullah saw. melemparkan talinya kepada saudara korban dan berkata, "Sekarang, kawanmu ini terserah kepada mu (kamu bunuh dia atau kamu bebaskan)." Maka pergilah dia membawa pembunuh itu. Ketika dia telah pergi, Rasulullah saw. bersabda: "Jika dibunuhnya, maka dia serupa dengan si pembunuh itu." Orang itu kembali dan berkata kepada Rasulullah saw., "Terdengar oleh ku Anda bersabda, Jika dibunuhnya, maka dia serupa dengan si pembunuh itu. Kerana itu ku serahkan urusannya kepada Anda." Maka bersabda Rasulullah saw., "Tidakkah engkau ingin dia memikul dosa mu dan dosa saudaramu?" Jawabnya, "Tentu aku ingin, ya Nabiyallah!" Kalau begitu, bukalah talinya dan bebaskanlah dia!" |