Hadis Sahih Muslim No. 1636 Jilid 3 Topik adalah Sumpah 1636. Dari Abu Musa r.a., katanya : "Kawan-kawanku mengutus ku supaya menemui Rasulullah saw., memintakan kepada beliau kenderaan untuk mereka, kerana mereka ikut bersama-sama dengan beliau dalam pasukan tentera; yang sedang dalam kesulitan (iaitu menghadapi peperangan Tabuk). Aku berkata kepada beliau, "Ya, Nabi Allah! Kawan-kawanku mengutus ku menemui Anda untuk memohonkan bagi mereka, supaya Anda dapat menanggung perlengkapan perang mereka." Jawab beliau, "Wallah (demi Allah)! Aku tidak dapat menanggung apa-apa bagi kamu sekalian." Justeru ketika itu beliau sedang dalam keadaan marah, dan aku tidak mengetahuinya. Kerana penolakan beliau itu aku kembali dengan perasaan sedih, sebab aku khuatir kalau-kalau beliau tidak senang kepada ku. Setelah aku bertemu dengan kawan-kawanku, lalu ku ceritakan kepada mereka jawapan Rasulullah saw. kepada ku. Tetapi tidak lama kemudian, hanya seketika, tiba-tiba terdengar Bilal memanggil ku. "Hai, 'Abdullah bin Qaus!" Lalu ku sahuti dia. Kata Bilal, "Datangilah Rasulullah saw., beliau memanggil anda!" Ketika aku sampai ke hadapan Rasulullah saW., beliau bersabda: "Ambillah ini yang dua sepasang, dua sepasang, dua sepasang (sambil beliau menunjuk kepada enam ekor unta yang baru beliau beli dari Sa'ad). Bawalah unta ini semuanya kepada kawan-kawanmu, dan katakan kepada mereka, "Sesungguhnya Allah jualah yang menanggung penyediaan kenderaan ini bagi kamu semua. Kenderailah mereka!" Kata Abu Musa, "Unta-unta itu ku bawa semuanya kepada kawan-kawanku, seraya berkata kepada mereka, "Rasulullah saw. menyuruh bawa kenderaan ini semuanya untuk kamu sekalian. Tetapi, demi Allah, aku tidak akan meninggalkan kamu sekalian sebelum beberapa orang di antara kalian pergi bersama-sama dengan ku menemui orang-orang yang mendengarkan ucapan jawapan Rasulullah saw. ketika aku meminta kenderaan ini untuk kalian dan penolakan beliau pada mulanya, tetapi kemudian beliau berikan juga kepada ku, supaya kalian jangan menyangka bahawa aku mengada-ada apa yang tidak pernah dikatakan beliau." Jawab mereka kepada ku, "Wallah (demi Allah)! Sesungguhnya engkau orang yang kami percayai. Kendatipun begitu, akan kami lakukan juga apa yang kau kehendaki." Lalu pergilah Abu Musa beserta beberapa orang kawan-kawannya itu, sehingga mereka bertemu dengan orang-orang yang mendengar ucapan dan penolakan Rasulullah saw. kepada mereka, tetapi kemudian beliau penuhi juga permintaan mereka. Orang-orang itu bercerita kepada mereka seperti cerita Abu Musa. |