Hadis Sahih Muslim No. 1635 Jilid 3 Topik adalah Sumpah 1635. Dari Abu Musa Al Asy'ari r.a., katanya: "Aku datang kepada Nabi saw. serombongan dengan orang-orang suku Asy'ari, untuk memohon perbelanjaan perang kepada beliau. Maka bersabda beliau, "Wallah (demi Allah), aku tak sanggup membelanjai tuan-tuan kerana aku tidak punya apa-apa. Kerana itu aku tidak akan menanggung belanja tuan-tuan." Kata Abu Musa, "Setelah itu kami terdiam beberapa saat lamanya, iaitu selama dikehendaki Allah. Kemudian datang orang membawa unta kepada beliau, lalu beliau suruh berikan kepada kami tiga ekor unta berpunuk putih. Setelah kami pergi, kami berkata sesama kami, "Agaknya Allah tidak memberkati kita. Kita datang kepada Rasulullah saw. minta perbelanjaan perang. Lalu beliau bersumpah tidak akan menanggung perbelanjaan kita. Tetapi kemudian kita diberinya juga. Kerana itu mereka kembali kepada Rasulullah saw., lalu mereka ceritakan kepada beliau apa yang terfikir oleh mereka. Maka bersabda beliau, "Memang, sesungguhnya bukan aku yang menanggung belanja tuan-tuan, tetapi Allah swt. yang menanggungnya. Wallah (demi Allah)! Sesungguhnya aku, insya Allah, tidak akan mengucapkan suatu sumpah, bila kemudian aku melihat sesuatu yang lebih baik daripada sumpahku itu, melainkan ku langgar sumpahku, lalu ku bayar denda, dan sesudah itu aku laksanakan yang lebih baik itu." |