Hadis Sahih Muslim No. 1569 Jilid 3 Topik adalah Riba 1569. Dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya: "Aku pergi berperang bersama-sama Rasulullah saw. Dalam perjalanan beliau menemui ku kerana aku menunggang unta yang kelelahan sehingga hampir tak dapat berjalan. Rasulullah saw. bertanya kepada ku, "Bagaimana untamu?" Jawab ku, "Sakit, ya Rasulullah!" Beliau mundur ke belakang, lalu dibentaknya unta itu dan didoakannya. Semenjak itu unta ku selalu berjalan di muka sekali. Rasulullah saw. bertanya pula kepada ku, "Sekarang bagaimana untamu?" Jawab ku, "Sentiasa dalam keadaan baik, semenjak beroleh berkat dari Anda!" Tanya beliau, "Mahukah engkau menjualnya kepada ku?" Sebenarnya aku malu, di samping aku tidak punya wang yang lain selain hanya unta itu. Jawab ku, "Baiklah, ya Rasulullah!" Unta itu ku jual kepada beliau dengan ketentuan, aku boleh mengenderainya hingga sampai ke Madinah. Kemudian aku minta izin kepada beliau untuk berangkat lebih dahulu ke Madinah, kerana aku akan jadi pengantin. Setelah sampai di Madinah, aku bertemu dengan pakcik ku, lalu dia menanyakan kepada ku perihal unta. Maka ku khabarkan kepadanya apa yang terjadi, tetapi dia mencela tindakan ku. Ketika aku minta izin kepada Rasulullah saw. untuk berangkat lebih dahulu kerana hendak kahwin, beliau bertanya kepada ku, "Dengan siapa engkau hendak kahwin? Dengan gadis atau dengan janda?" Jawab ku, "Dengan janda, ya Rasulullah." Tanya beliau pula, "Mengapa tidak dengan gadis? Engkau dapat bersenda gurau dengannya, dan dia dapat pula bersenda gurau denganmu." Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Orang tua ku telah meninggal (syahid) sedangkan aku mempunyai adik-adik perempuan yang masih perawan-perawan. Sebab itu aku tidak suka kahwin dengan perempuan seusia mereka, kerana tidak akan dapat mendidik dan mengurus mereka. Itulah sebabnya aku kahwin dengan janda, supaya dapat mengurus dan mendidik adik-adik ku." Setelah Rasulullah saw. tiba di Madinah, pagi-pagi ku hantarkan unta itu kepada beliau, lalu beliau memberikan wang harganya kepada ku, dan memberikan unta itu kembali kepada ku." |