Hadis Sahih Bukhari No. 1561 Jilid 3 Topik adalah Janji 1561, Dari Saad bin Muaz r.a., dia mengatakan bahawa dia teman Umaiyah bin Khalaf. Umaiyah bila berkunjung ke Madinah dia tinggal di tempat Saad. Begitupun Saad apabila berkunjung ke Mekah, dia tinggal di tempat Umaiyah. Setelah Rasulullah s.a.w. datang ke Madinah, Saad berangkat untuk mengerjakan umrah, lalu dia tinggal di tempat Umaiyah di Mekah. Dia berkata kepada Umaiyah: "Nantilah suatu saat yang sunyi sepi, mudah-mudahan saya dapat tawaf di Bait (Kaabah)". Lalu Umaiyah pergi dengan dia hampir tengah hari. Maka bertemulah keduanya dengan Abu Jahil. Kata Abu Jahil: "Wahai Abu Safwan, (Umaiyah)! Siapa yang bersama engkau ini?" Jawabnya: "Ini Saad!" Kata Abu Jahil kepada Saad: "Saya lihat kamu mengerjakan tawaf di Mekah. Kamu telah keluar dari suatu agama dan masuk ke dalam agama lain (Islam) dan kamu menyatakan akan menolong dan membantu mereka. Demi Allah, jikalau tidaklah engkau bersama Abu Safwan, engkau tidak akan kembali kepada keluarga engkau dalam keadaan selamat". Saad menjawab dengan suara keras: "Demi Allah! Jika engkau halangi saya untuk ini, nanti engkau akan saya halangi dari apa yang lebih perlu untuk engkau, iaitu perjalanan engkau melalui Madinah". Umaiyah berkata: "Janganlah engkau keraskan suara, terhadap Abu Hakim (Abu Jahil) itu. Dia penghulu (orang besar) ahlul wadi (Mekah)" Kata Saad: "Tidak apa, hai Umaiyah! Demi Allah, sesungguhnya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa mereka akan membunuh engkau": Tanya Umaiyah: "Di Mekah?" Jawab Saad: "Saya tidak tahu!" Maka Umaiyah amat cemas dan ketakutan mendengar hal yang demikian, Ketika Umaiyah kembali kepada keluarganya, ia berkata: "Hai Ummu Safwan! Tahukah engkau, apakah yang dikatakan Saad kepadaku?" Tanya Ummi Safwan "Apa katanya?" Jawab Umaiyah: "Dia mengatakan, bahawa Muhammad menceritakan kepada orang banyak bahawa Abu Jahil akan membunuh saya". Saya bertanya kepadanya: "Di Mekah?" Jawabnya: "Saya tidak tahu!" Umaiyah berkata: "Demi Allah, saya tidak akan ke luar dari Mekah". Ketika kejadian peperangan Badr, Abu Jahil menyuruh orang banyak pergi perang, Katanya: "Siapkanlah unta kenderaan kamu!" Umaiyah tidak ingin ke luar Mekah. Maka datanglah Abu Jahil kepadanya, lalu berkata: "Wahai Abu Safwan! Bila engkau dilihat orang tidak turut ke luar (pergi perang) sedangkan engkau seorang pemimpin Mekah, tentulah mereka akan turut tinggal bersama engkau". Dan Abu Jahil sentiasa mendesaknya, akhirnya Umaiyah berkata: "Kalau engkau paksa saya, demi Allah, saya akan beli unta yang amat baik di Mekah" Kemudian Umaiyah berkata: "Wahai Ummi Safwan! Siapkanlah persediaan saya!" Kata Ummi Safwan kepadanya: "Wahai Abu Safwan! Tuan melupakan apa yang dikatakan saudara tuan orang Yatsrib kepada Tuan.". Kata Umaiyah: "Bukan! Saya hanya sebentar saja berangkat bersama mereka". Setelah Umaiyah ke luar biasanya apabila berhenti di suatu tempat terus ditambatkannya untanya, sentiasa dia berbuat begitu sampai ia terbunuh dalam peperangan Badr. |