Hadis Sahih Bukhari No. 1537 Jilid 3 Topik adalah Penyakit 1537, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Abu Thathah berkata kepada Ummu Sulaim: "Sesungguhnya saya dengar suara Rasulullah s.a.w. amat lembut. Yang saya ketahui dari suara itu ialah lapar. Adakah engkau mempunyai sesuatu?" Jawab Ummu Sulaim: "Ada!" Lalu diambilnya beberapa potong roti dan gandum. Kemudian ia mengambil tutup kepalanya, lalu dibungkusnya roti dengan sebahagian kain itu. Kemudian diletakkannya di bawah tangan ku, dan sebahagiannya mengotorkan ku. Kemudian disuruhnya saya menghadap Rasulullah s.a.w. Kata Anas: Saya pergi, dan saya jumpai Rasulullah s.a.w. dalam masjid dan beliau bersama orang banyak. Lalu saya berdiri menghadap mereka. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada saya: "Abu Thalhahkah yang menyuruh engkau?" Jawab saya: "Ya!" Kata Nabi: "Untuk makan?" Jawab saya: "Ya!"' Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang yang bersama beliau: "Siaplah kamu untuk berangkat!" Lalu beliau berjalan dan saya berjalan mendahului mereka, sampai saya di tempat Abu Thalhah. Lalu saya khabarkan kepadanya. Kata Abu Thalhah: "Wahai Ummu Sulaim! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah datang dengan orang banyak sedangkan kita tidak mempunyai apa-apa yang mencukupi untuk memberi makan mereka". Kata Ummu Sulaim: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui!" Maka berjalanlah Abu Thalhah, lalu ditemuinya Rasulullah s.a.w. dan terus berjalan bersama-sama. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Wahai Ummu Sulaim! Bawalah kemari apa yang ada!" Ummu Sulaim lalu membawa roti tadi. Rasulullah menyuruh roti itu dipecah-pecah. Dan Ummu Sulaim mengambil sebuah bejana lantas diaduknya roti itu. Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan apa yang dikehendaki Tuhan untuk dibacanya. Sesudah itu beliau bersabda: "Izinkanlah sepuluh orang!" Lalu mereka diberi izin memakannya. Lalu mereka makan sampai kenyang dan keluar. Kemudian beliau bersabda: "Izinkanlah sepuluh orang.". Lalu mereka diberi izin. Lantas mereka makan sampai kenyang dan mereka keluar. Beliau bersabda lagi: "Izinkanlah sepuluh orang!" Orang banyak itu semuanya makan sampai kenyang sedang mereka berjumlah tujuh puluh atau lapan puluh orang". |