Hadis Sahih Bukhari No. 1465 Jilid 3 Topik adalah Syaitan 1465, Dari Anas r.a., katanya: Ketika sampai kepada Abdullah bin Salam khabar kedatangan Rasulullah s.a.w. ke Madinah, ia pun datang menghadap beliau, lalu berkata: "Saya hendak bertanya kepada tuan tentang tiga perkara; tidak ada yang mengetahuinya melainkan Nabi. Apakah permulaan tanda kiamat? Apakah permulaan makanan yang dimakan oleh isi syurga? Apa sebabnya anak menyerupai ayahnya dan apa sebabnya menyerupai ibunya?" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Baru sebentar ini Jibril mengkhabarkan semua itu kepada saya. Kata Anas: Abdullah berkata: "Jibril itu ialah musuh orang Yahudi". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adapun permulaan tanda kiamat, ialah api yang mengumpulkan manusia dari timur ke barat. Adapun permulaan makanan yang di makan isi syurga, ialah tambahan hati dari ikan besar. Dan adapun perserupaan anak, bahawa seorang laki-laki bila bersenggama dengan perempuannya, jika airnya mendahului air isterinya, anak itu serupa dengan bapaknya. Jika dahulu air perempuan, anak itu serupa dengan dia". Abdullah berkata: "Saya mengakui, bahawa sesungguhnya tuan Pesuruh Allah". Kemudian katanya lagi: "Hai Rasulullah! Sesungguhnya orang Yahudi itu kaum pendusta. Jika mereka tahu saya masuk Islam sebelum tuan menanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menuduh saya pendusta di dekat tuan". Kemudian orang-orang Yahudi datang dan Abdullah masuk ke rumah. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Bagaimanakah keadaan Abdullah bin Salam dalam lingkungan kamu?" Mereka menjawab: "Ia seorang yang amat pandai dan anak orang yang amat pandai di antara kami. Ia seorang yang paling baik dan anak orang yang paling baik di antara kami". Rasulullah s.a.w. bertanya: "Bagaimanakah pendapat kamu, jika Abdullah memeluk agama Islam?" Kata mereka: "Dilindungi (dijauhkan) Tuhan kiranya ia dari hal yang demikian!" Maka keluarlah Abdullah kepada mereka, lalu berkata: "Saya mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan saya mengakui, bahawa sesungguhnya Muhammad Pesuruh Allah". Orang-orang Yahudi lalu berkata: "Dialah orang yang paling jahat dan anak orang yang paling jahat di antara kami". Mereka pun mencelanya bersama. |