Hadis Sahih Muslim No. 1438 Jilid 3 Topik adalah Cerai 1438. Dari Sa'id bin Jubair r.a., katanya dia ditanya orang mengenai suami isteri yang saling tuduh, iaitu mengenai isteri Mush'ab, apakah keduanya diceraikan? Kata Ibnu Jubair, "Kerana aku tidak tahu hukumnya masalah tersebut, aku tidak menjawabnya. Tetapi sesudah itu aku langsung datang ke rumah Ibnu 'Umar di Mekah. Aku minta izin melalui pelayannya untuk bertemu dengan beliau. Tetapi rupanya Ibnu 'Umar mendengar dan mengenal suaraku. Lalu katanya, "Ibnu Jubairkah itu?" Jawab ku, "Betul, ya Ibnu 'Umar!" Kata Ibnu 'Umar, "Silakan masuk! Demi Allah, anda tentu tidak akan datang ke sini pada saat-saat seperti ini kecuali untuk urusan penting." setelah aku masuk lalu diberikannya tempat duduk pelana kuda dengan bantal berisi sabut. Kataku, "Ya, Abu' Abdur Rahman! Aku hendak bertanya perihal suami isteri yang saling tuduh menuduh. Diceraikankah keduanya?" Jawab Ibnu 'Umar, "Subhanallah!, Ya, diceraikan. Sesungguhnya orang yang pertama-tama bertanya masalah itu ialah si Fulan bin Fulan. Katanya, "Ya, Rasulullah! Bagaimana pendapat anda jikalau salah seorang kami mendapati isterinya berbuat serong, apakah yang harus dilakukannya? Jika dia berbicara maka dia membicarakan suatu masalah besar dan jika diam, ialah kerana masalah besar pula. Kata Ibnu 'Umar, Justru Nabi saw. diam saja, tidak menjawab. Kemudian orang itu datang lagi kepada beliau, katanya: "Sesungguhnya masalah yang pernah ku tanyakan pada anda tempuh hari, adalah masalahku sendiri di mana aku dicubai dengannya." Lalu Allah Ta'ala menurunkan ayat: "Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, (An Nur : 6). Rasulullah saw. membacakan ayat itu kepadanya, memberinya pengajaran, memperingati, dan mengkhabarkan bahawa seksa dunia lebih ringan daripada seksa akhirat. Kata lelaki. "Demi Allah yang mengutus anda dengan kebenaran aku tidak bohong." Kemudian beliau panggil isterinya. Lalu diberinya pengajaran, peringatan, serta dikhabarkannya bahawa seksa dunia lebih ringan daripada seksa akhirat. Jawab perempuan itu. "Demi Allah yang mengutus anda dengan kebenaran. sesungguhnya lelaki itu dusta. Nabi saw. memulai dengan yang lelaki, menyuruh suami itu bersumpah dengan nama Allah empat kali, bahawa sesungguhnya dia benar; kali yang kelima mengucapkan: jika dia dusta maka kutuk Allah atasnya. Kemudian disuruhnya pula yang perempuan bersumpah empat kali, bahawa sesunguhnya suaminya itu dusta. Kali yang kelima disuruhnya mengucapkan: Sesungguhnya murka Allah atasnya jika sekiranya suaminya yang benar. Sesudah itu Rasulullah saw. menceraikan kedua suami isteri itu. |