Hadis Sahih Muslim No. 1434 Jilid 3 Topik adalah Cerai 1434. Dari Zainab binti Abi Salamah r.a., katanya dia datang ke rumah Ummu Habibah, isteri Nabi saw., ketika bapa Ummu Habibah, Abu Sufyan, wafat. Ummu Habibah minta minyak wangi berwarna kuning atau lainnya, lalu disapukannya kepada sahaya perempuannya, kemudian diusapkannya ke pelipisnya sendiri. Sesudah itu dia berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak perlu minyak wangi; kalau tidaklah kerana aku mendengar sabda Rasulullah saw. ketika beliau berkhutbah di mimbar, katanya: Tidak halal bagi wanita yang iman dengan Allah dan hari akhirat berkabung kerana kematian lebih dari tiga hari, kecuali kerana kematian suaminya; untuk itu dia harus berkabung empat bulan sepuluh hari." Kata Zainab, "Kemudian aku datang pula ke rumah Zainab binti Jahsyin ketika dia kematian saudaranya. Dia minta minyak wangi, lalu dipakainya sendiri. Kemudian dia berkata, "Sebenarnya aku tidak perlu wangi-wangian; kalau tidaklah kerana aku mendengar Rasulullah saw. bersabda di atas mimbar, katanya: Tidak halal bagi wanita yang iman dengan Allah dan hari akhirat, berkabung kerana kematian lebih dari tiga hari, kecuali kerana kematian suaminya;nuntuk itu ia boleh berkabung empat bulan sepuluh hari (selama masa iddah)." Kata Zainab selanjutnya, "Aku mendengar Ummu Salamah menceritakan bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah saw. lalu dia bertanya: "Ya, Rasulullah! Anak perempuanku kematian suami, sedangkan matanya sakit. Bolehkah dia ku ubati dengan celak?" Jawab Rasulullah saw., "Jangan!" Beliau mengulangi larangannya itu dua atau tiga kali dengan mengatakan, "Jangan!" Kemudian beliau bersabda, "Masa 'iddah dan berkabungnya empat bulan sepuluh hari." |