Hadis Sahih Muslim No. 1429 Jilid 3 Topik adalah Cerai 1429. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Aku sentiasa menunggu kesempatan untuk bertanya kepada 'Umar bin Khaththab tentang dua orang isteri Nabi saw., yang keduanya disebut Allah dalam firman-Nya: "Jika kamu berdua taubat kepada Allah, maka sesungguhnya hatimu berdua telah condong untuk menerima kebaikan "(At Tahrim : 4). Ketika 'Umar pergi haji, aku pun haji pula bersama-sama dengannya. Dalam perjalanan, tiba-tiba 'Umar menyimpang (untuk buang hajat) dan aku menyimpang pula mengikutinya dengan membawa sebuah ember. Setelah selesai, ku tuangkan air ke tangannya, lalu dia berwuduk. Sesudah itu aku bertanya, "Ya, Amirul Mukminin! Siapakah dua orang isteri Nabi saw. yang disebut Allah dalam firman-Nya, "Jika kamu berdua taubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong menerima kebaikan " (At Tahrim : 4) Jawab 'Umar, "Engkau ini aneh, hai Ibnu 'Abbas! Keduanya ialah Hafshah dan' Aisyah." Kemudian 'Umar melanjutkan ceritanya: "Dahulu, kami suku Quraisy adalah suku yang berkuasa atas wanita. Setelah kami datang ke Madinah, kami dapati di sana kaum wanitanya yang berkuasa. Sudah tentu wanita-wanita kami belajar kepada mereka. Ketika itu rumah ku berada di perbukitan dalam perkampungan Bani Umayyah Ibnu Zaid. Pada suatu hari, aku memarahi isteri ku, tetapi dia tidak mahu lagi dimarahi lalu melawan kemarahan ku itu. Namun aku tidak mahu dibantah. Lalu katanya, "Kenapa engkau tidak mahu dibantah? Sedangkan para isteri Nabi saw. membantah beliau, bahkan salah seorang di antaranya ada yang menjauhkan diri sehari-harian." Lalu aku pergi ke rumah Hafshah dan bertanya kepadanya, "Betulkah engkau suka membantah Rasulullah saw"?" Jawabnya. "Ya, betul!" Betulkah engkau sampai menjauhkan diri daripada Rasulullah saw. sampai malam?" Jawab Hafshah. "Ya, betul!" Kataku, "Sungguh sia-sia dan merugilah orang yang berbuat demikian. Adakah engkau merasa aman terhadap murka Allah tersebab murka Rasulullah saw.? Dia pasti binasa. Kerana itu janganlah engkau membantah Rasulullah saw. dan jangan pula minta apa-apa daripadanya. Mintalah kepada ku apa yang kau perlukan, dan janganlah kau terpengaruh kerana tetanggamu lebih cantik dan lebih dicintai Rasulullah saw. daripada diri mu sendiri." Kata 'Umar selanjutnya, "Aku mempunyai seorang tetangga Ansar, di mana kami berganti-gantian menunggu berita dekat Rasulullah saw., kalau-kalau ada wahyu turun. Sehari dia yang menunggu, kemudian mengabarkannya kepada ku jika ada wahyu yang turun. Besok hari aku yang menunggu dan mengabarkan pula kepadanya." Kami pernah bercakap-cakap bahawa Bani Ghassan telah bersiap-siap hendak menyerang kami. Sahabat ku pergi menemui Nabi saw. seperti biasa, dan baru kembali setelah Isyak. Dia mengetuk pintu dan memanggil ku. Aku segera keluar menemuinya. Lalu dia berkata, "Telah terjadi suatu peristiwa yang amat besar." Tanya ku, "Apakah Bani Ghassan telah menyerang?" Jawabnya,"Bahkan lebih besar dari itu dan lebih panjang. Nabi saw. menceraikan semua isteri beliau." Kata ku, "Sungguh malang dan merugilah Hafshah. Aku telah menduga bahawa kes ini akan terjadi." Setelah solat Subuh ku kenakan baju ku lalu aku pergi ke rumah Hafshah. Ku dapati dia sedang menangis. Lalu kutanya, "Betulkah kamu semua diceraikan Rasulullah saw"?" Jawab Hafshah, "Aku tidak tahu, tetapi yang pasti beliau mengasingkan diri di gudang tempat penyimpanan barang-barang "Lalu ku temui pelayan beliau, seorang berkulit hitam, seraya kata ku, "Mintakan izin kepada Rasulullah saw., 'Umar mohon bertemu dengan beliau." Pelayan itu masuk lalu keluar lagi menemui ku. Katanya, "Aku telah menyampaikan kepada beliau, tetapi beliau diam saja." Kerana itu aku pergi. Setelah aku sampai ke dekat mimbar, aku duduk. Di sana telah banyak orang duduk, bahkan sebahagian mereka ada yang menangis. Setelah duduk sebentar, perasaan ku (untuk bertemu Rasulullah saw.) sangat mempengaruhi ku. Maka ku datangi lagi si pelayan, seraya kata ku, "Mintakan izin bagi 'Umar." Si pelayan masuk, lalu keluar lagi menemui ku. Katanya, "Pesan anda telah ku sampaikan, tetapi beliau diam saja." Ketika aku telah beranjak hendak pergi, tiba-tiba si pelayan memanggil ku. Katanya, "Silakan anda masuk! Beliau telah mengizinkan." Aku segera masuk sambil memberi salam kepada Rasulullah saw. Ketika itu ku lihat beliau sedang berbaring di tikar anyaman, dan tikarnya membekas di rusuk beliau. Aku bertanya, "Betulkah Anda menceraikan para isteri Anda. ya Rasulullah?" Beliau lalu menegakkan kepalanya kepada ku seraya berkata, "Tidak!" Kata ku, "Allahu Akbar! Anda tentu telah maklum, ya Rasulullah, bahawa kita kaum Quraisy adalah suatu kaum yang berkuasa atas wanita. Maka tatkala kita hijrah ke Madinah kita dapati di sana kaum wanitanya yang menguasai pria. Sudah tentu wanita-wanita kita belajar dari mereka. Pada suatu hari aku marah-marah kepada isteri ku, tetapi dia membantah ku. Aku menyalahkannya kerana dia membantah ku. Lalu dia menjawab, "Anda tidak dapat menyalahkan ku. Demi Allah! Sesungguhnya para isteri Nabi saw. sering membantah beliau; bahkan salah seorang di antaranya menjauhi beliau sampai malam." Maka jawab ku, "Sungguh malang dan merugilah siapa yang berbuat demikian. Apakah dia merasa aman dari murka AlIah, tersebab murka Rasulullah kepadanya?" Mendengar ucapan ku itu Rasulullah saw. tersenyum. Kata ku selanjutnya, "Ya, Rasulullah! Aku baru datang ke rumah Hafshah. Lalu aku berkata kepadanya, "Janganlah engkau terpengaruh jika ada tetanggamu yang lebih cantik dan lebih dicintai Rasulullah saw. daripadamu." Rasulullah tersenyum pula mendengarnya. Aku berkata pula, "Aku mohon izin ya Rasulullah, untuk tinggal lebih lama di sini." Jawab beliau, "Ya, boleh!" Lalu aku duduk sambil mendongakkan kepala melihat keadaan di sekitar ku. Demi Allah! Tidak ada sesuatu pun yang kelihatan selain tiga longgokan. Lalu kata ku, "Mendoalah kepada Allah, ya Rasulullah, semoga Dia melapangkan penghidupan umat Anda. Allah Ta'ala telah melapangkan penghidupan di Persia dan Rumawi, sedangkan mereka tidak menyembah Allah." Mendengar itu Rasulullah saw. duduk bersila, kemudian dia bersabda: "Apakah engkau masih ragu, hai anak Khaththab! Mereka memang disegerakan untuk menerima segala kebaikan dalam hidup di dunia ini (tetapi mereka tidak akan memperoleh apa-apa dalam kehidupan di akhirat selain derita). Kata ku, "Mohonkanlah ampun bagi ku, ya Rasulullah, (aku terlanjur)." Rasulullah telah bersumpah tidak akan pulang ke rumah para isterinya selama sebulan, kerana sangat tersinggung oleh ulah mereka, sehingga beliau dapat teguran dari Allah 'Azza wa lalla. Kata Az Zubri 'Urwah mengabarkan kepada ku dari 'Aisyah, "Setelah cukup dua puluh sembilan malam, Rasulullah saw. pulang ke rumah ku. Beliau mulai giliran dengan ku. Aku bertanya kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Anda telah bersumpah tidak akan pulang ke rumah kami selama sebulan. Sekarang baru tanggal 29, Anda telah pulang. Aku menghitung sendiri, ya Rasulullah!" Jawab beliau, "Sebulan itu kadang-kadang dua puluh sembilan hari." Kemudian beliau meneruskan sabdanya, "Ya, 'Aisyah! Aku hendak mengatakan kepada mu suatu yang penting; kerana itu hendaknya engkau jangan terburu-buru menjawabnya sekarang, sebelum engkau musyawarahkan dengan kedua orang tuamu. Lalu dibacakan beliau ayat: "Wahai Nabi! Katakanlah kepada para isteri mu hingga sampai pahala yang besar." (Al Ahzab : 28 - 29). Kata 'Aisyah, dia yakin bahawa ibu bapanya tidak mungkin akan menyuruhnya cerai dengan Nabi saw. Kerana itu dia menjawab kepada Rasulullah saw., "Apakah untuk masalah ini Anda menyuruh ku musyawarah dengan orang tua ku? Aku hanya menginginkan Allah dan Rasul-Nya serta kampung akhirat." Kata Ma'mar, Ayyub mengkhabarkan bahawa 'Aisyah berkata, "Ku mohon kepada Anda, sudilah kiranya putusan ku ini jangan Anda sampaikan kepada para isteri Anda yang lain." Jawab Nabi saw., "Allah mengutus ku untuk menyampaikan dan tidak mengutus ku untuk menyusahkan." |