Hadis Sahih Muslim No. 1428 Jilid 3 Topik adalah Cerai 1428. Dari 'Abdullah bin 'Abbas r.a., katanya: "Telah setahun lamanya aku hendak bertanya kepada 'Umar bin Khaththab tentang makna sebuah ayat, tetapi aku tak berani menanyakan kerana hormat ku kepadanya. Setelah musim haji tiba, beliau pergi haji dan aku pun pergi pula bersama-sama dengannya. Ketika kami dalam perjalanan pulang, beliau pernah menyimpang jalan untuk buang hajat dan aku menunggunya hingga beliau selesai. Kemudian aku berjalan pula kembali bersamanya. Ketika itulah aku bertanya kepada beliau, "Ya, Amirul Mukminan! Siapakah dua orang wanita di antara para isteri Rasulullah saw. yang bekerja sama menentang kebijaksanaan beliau?" Jawab beliau, "Mereka adalah Hafshah dan 'Aisyah." Lalu kata ku, "Demi Allah! Aku bermaksud menanyakan masalah ini kepada anda sejak setahun yang lalu. Tetapi aku tidak berani kerana menghormati kehebatan anda." Jawab Umar, "Jangan begitu! Apa yang engkau duga bahawa aku mengetahuinya, tanyalah langsung kepada ku; jika ternyata aku memang mengetahuinya, akan ku jelaskan padamu." Kata 'Umar selanjutnya, "Di masa jahiliyah, kami tidak pernah mengikut sertakan wanita dalam suatu urusan, sehingga tiba waktunya Allah menentukan kedudukan dan peranan mereka, seperti tersebut dalam firmanNya. Maka pada suatu waktu, ketika aku sedang memikirkan suatu urusan, tiba-tiba isteri ku berkata, "Bagaimana kalau anda buat begini dan begitu?" Lalu kata ku kepadanya, "Mana engkau tahu. Engkau tidak usah turut campur dan jangan susah-susah memikirkan urusan ku." Jawabnya, "Anda ini sangat aneh, hai anak Khaththab! Anda tidak mahu bertukar fikiran dengan ku, padahal puterimu (Hafshah) selalu bertukar fikiran dengan Rasulullah saw., sehingga pernah sehari semalam dia bermarahan." Mendengarkan hal itu, lalu ku kenakan pakaian ku, sesudah itu aku pergi ke rumah Hafshah. Sesampai di rumah Hafshah aku berkata kepadanya, "Hai, puteri ku! Betulkah engkau suka membantah Rasulullah saw. sehingga sehari semalam bermarahan?" Jawab Hafshah, "Demi Allah! Kami hanya bertukar fikiran." Lalu kata ku, "Ketahuilah hai anakku! Aku peringatkan kepada mu seksa Allah dan kemarahan Rasul-Nya. Sekali-kali janganlah engkau terpengaruh dengan kebanggaan seseorang kerana kecantikannya dan kerana cinta Rasulullah kepadanya." Kemudian aku pergi dan singgah di rumah Ummu Salamah, kerana Ummu Salamah itu kerabat ku. Kepadanya ku ceritakan kes tersebut di atas. Jawab Ummu Salamah, Anda amat anak hai anak Khaththab! Anda masuki segala urusan, sampai-sampai kepada urusan rumah tangga Rasulullah saw. dengan para isteri beliau." Ucapan Ummu Salamah itu menyinggung perasaan ku, sehingga sangat berkesan di hati ku. Kerana itu aku pergi meninggalkannya. Dan aku mempunyai seorang sahabat dari kalangan Ansar, yang selalu saling memberi informasi satu sama lain antara kami berdua. Saat itu kami sedang berjaga-jaga terhadap seorang raja di antara raja-raja Ghassan, yang bermaksud hendak menyerang kami. Hati dan fikiran kami ketika itu sesungguhnya banyak terpusat kepada masalah serangan Bani Ghassan ini. Tiba-tiba sahabat Ansar ku datang mengetuk pintu seraya katanya, "Buka pintu, buka!" Aku bertanya, "Apakah pasukan Bani Ghassan telah datang?" Jawabnya, "Lebih hebat dari serangan pasukan Ghassan. Rasulullah saw. menjauhkan diri dari para isteri beliau." "Celaka si Hafshah dan 'Aisyah," bisik ku. Kemudian ku kenakan baju ku, lalu aku pergi menemui Rasulullah saw. Kiranya beliau berada di gudang simpanan barang-barang yang dapat dinaiki dengan tangga. Seorang pelayan Nabi saw. berkulit hitam sedang berada di kepala tangga. Aku berkata kepadanya, "Aku ini 'Umar!" Lalu aku diizinkannya masuk, dan ku ceritakan kepada Rasulullah saw. kes yang baru ku dengar dan ku alami. Ketika aku menceritakan pertemuan ku dengan Ummu Salamah. Rasulullah saw. tersenyum. Beliau tidur di tikar tanpa alas, pakai bantal kulit berisi sabut. Dekat kaki beliau terletak selonggok biji qarazh dan di dekat kepalanya tergantung kulit yang baru disamak. Aku melihat bekas tikar berkesan di rusuk beliau. Kerana itu aku menangis sambil berkata, "Ya, Rasulullah Kisra Persia dan Kaisar Rumawi bermewah-mewah di istana mereka dengan apa yang dimilikinya. Anda adalah Rasulullah." Sabda Rasulullah saw., "Apakah engkau tidak rela keduanya memiliki dunia, sedangkan engkau memiliki akhirat?" |