Hadis Sahih Muslim No. 1426 Jilid 3 Topik adalah Cerai 1426. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Abu Bakar minta izin hendak masuk ke rumah Nabi saw. Didapatinya di depan pintu telah banyak orang duduk, tetapi tidak seorang jua pun yang diizinkan beliau masuk, kecuali bagi Abu Bakar dan 'Umar. Didapatinya Nabi saw. sedang duduk dikelilingi para isteri beliau dalam keadaan diam kerana marah. Kata Abu Bakar, "Aku sengaja mengatakan sesuatu untuk memancing ketawa beliau. Kata ku, "Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda, isteri ku Binti Kharijah minta belanja kepada ku, lalu ku tampar dia." Rasulullah tertawa mendengarnya dan berkata, "Inilah mereka mengelilingi ku minta wang belanja." Maka berdiri Abu Bakar mendatangi 'Aisyah, lalu dipukulnya tengkuk 'Aisyah. Begitu pula 'Umar, dia berdiri lalu dipukulnya pula tengkuk Hafshah, sambil kedua-duanya berkata: "Berani-beranian kamu meminta sesuatu yang tidak dipunyai Rasulullah." Jawab mereka, "Demi Allah! Kami tidak pernah meminta kepada Rasulullah saw. apa yang tidak ada pada beliau." Sesudah kejadian itu Rasulullah saw. mengasingkan diri dari para isteri beliau sebulan lamanya. Sesudah itu turun ayat: "Wahai, Nabi! Katakanlah kepada para isterimu...dst." (Al Ahzab: 28 - 29). Kata Jabir, Rasulullah saw. memulai pertanyaannya dengan 'Aisyah. Sabda beliau, "Aku hendak mengatakan sesuatu yang penting kepada mu, kerana itu aku lebih suka engkau jangan terburu -buru menjawabnya sebelum engkau musyawarahkan dengan kedua orang tua mu." Tanya 'Aisyah, "Masalah apa itu, ya Rasulullah?" Lalu beliau bacakan ayat tersebut di atas (surah Al Ahzab : 28 - 29). Tanya 'Aisyah, "Apakah mengenai masalah rumah tangga Anda aku harus musyawarah juga dengan kedua orang tua ku? Sudah tentu aku memilih Allah dan RasulNya serta hari akhirat. Ku mohon kepada anda supaya tidak mengkhabarkan putusan ku ini kepada para isteri anda yang lain." Jawab beliau, "Tidak satu pun yang ditanyakan mereka kepada ku, yang tidak ku jawab. Sesungguhnya Allah mengutus ku, bukanlah untuk mencari-cari kesulitan, tetapi Allah mengutus ku untuk mengajar dan memudahkan. " |