Hadis Sahih Bukhari No. 1412 Jilid 3 Topik adalah Yahudi 1412, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Setelah Khaibar diduduki, ada orang yang menghadiahkan daging kambing yang beracun kepada Nabi s.a.w. Lalu beliau bersabda: "Kumpulkanlah orang-orang Yahudi yang di sini!" Mereka lalu dikumpulkan. Beliau bersabda: "Saya hendak bertanya kepada mu tentang sesuatu hal! Adakah kamu mahu memberikan keterangan yang sebenarnya kepada saya!" Mereka menjawab: "Ya!" Nabi s.a.w. bertanya kepada mereka: "Siapa ayahmu?" Mereka itu menjawab: "Si Anu!" Lalu beliau bersabda: "Kamu dusta, akan tetapi ayah kamu si Anu". Mereka itu berkata: "Benar tuan!" Beliau bertanya: "Adakah kamu mahu menjawab dengan benar kepada saya tentang sesuatu yang saya tanyakan?" Jawab mereka: "Ya, hai Abu Qasim! Sekiranya kami berdusta, tuan ketahui dusta kami sebagaimana tuan ketahui tentang ayah kami". Beliau menanyakan kepada mereka: "Siapa ahli neraka?" Mereka itu menjawab: "Kami berada di dalamnya dalam masa yang singkat, kemudian kamu gantikan kami di dalamnya". Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Kamu akan tetap diseksa dalam neraka itu, demi Allah! Kami tidak akan pernah menggantikan kamu dalam neraka itu". Kemudian beliau bersabda lagi: "Adakah kamu mahu menjawab dengan benar kepada saya tentang sesuatu yang saya tanyakan?" Jawab mereka:"Ya, hai Abu Qasim!" Beliau bertanya: "Adakah kamu isikan racun dalam daging kambing ini?" Jawab mereka: "Ya!" Tanya beliau: "Apakah yang mendorong kamu berbuat demikian?" Jawab mereka: "Maksud kami ialah, kalau sekiranya tuan seorang pendusta, kami akan senang. Dan kalau sekiranya tuan seorang Nabi, racun itu tiada akan membahayakan tuan". |