Hadis Sahih Bukhari No. 1409 Jilid 3 Topik adalah Perang 1409, Dari Jubair bin Haiyah r.a., katanya: Umar mengutus orang banyak kepada beberapa negeri orang musyrik, dan Hurmuzan telah masuk Islam. Maka berkatalah Umar: "Saya minta petunjuk (pertimbangan) engkau dalam peperanganku ini". Kata Hurmuzan: "Baik! Perumpamaan negeri-negeri dan orang-orang yang berada di dalamnya di antara orang banyak yang menjadi musuh orang Islam, seumpama burung yang mempunyai kepala, dua sayap dan dua kaki. Jikalau salah satu di antara dua sayapnya dipotong, tegaklah dua kaki dengan satu sayap dan kepala. Kalau dipotong sayap yang satu lagi, tegaklah dua kaki dan kepala. Kalau dipecah kepalanya, matilah dua kaki, dua sayap , dan kepala. Kepala itu ialah Kisra, dan satu sayap ialah Kaisar dan sayap yang satu lagi ialah orang Parsi. Maka perintahkanlah kepada orang-orang Islam supaya mereka selekasnya berangkat melawan Kirsa!" Berkata Jubair bin Haiyah: Umar lalu mengirim kami dan dijadikannya Nu'man bin Muqarrin untuk memimpin kami. Ketika kami berada di negeri musuh, keluarlah kepada kami pasukan Kisra dengan empat puluh ribu orang. Maka berdirilah seorang jurubahasa, lalu berkata: "Hendaklah seseorang di antara kamu berbicara dengan saya!" Lalu Mughirah berkata: "Tanyakanlah apa yang engkau kehendaki!" Katanya: "Siapakah kamu?" Jawab Mughirah: "Kami orang-orang dari bangsa Arab. Pernah kami dalam kesengsaraan dan cubaan yang sangat pahit, pernah menghisap kulit dan biji kurma kerana lapar, memakai pakaian bulu dan rambut, menyembah kayu dan batu! Di kala kami dalam keadaan yang demikian, Tuhan Penguasa langit dan bumi, Maha Tinggi sebutanNya dan Maha Besar keagunganNya, mengutus kepada kami seorang Nabi di antara kami. Ayah bondanya kami kenal. Lalu kami disuruh oleh Nabi s.a.w. utusan Tuhan itu supaya kami memerangi kamu sehingga kamu menyembah Tuhan Yang Maha Esa atau kamu bayar jizyah (ufti). Dan dikhabarkan oleh Nabi kami, Pesuruh Tuhan itu, bahawa barangsiapa yang terbunuh di antara kami, ia masuk ke dalam syurga, dalam kesenangan yang belum pernah sama sekali dirasakan sebelumnya. Barangsiapa yang tinggal di antara kami, mereka akan berkuasa terhadap kamu". Kata Nukman: Kerap kali engkau dihadirkan Tuhan dalam peperangan yang serupa itu bersama Nabi s.a.w. sehingga engkau tiada menaruh kekecewaan dan penyesalan. Akan tetapi saya juga pernah turut menghadiri peperangan bersama Rasulullah s.a.w. beliau menanti hingga angin bertiup dan tiba waktu solat (condong matahari). |