Hadis Sahih Bukhari No. 1403 Jilid 3 Topik adalah Perang 1403, Dari Anas bin Malik r.a.: Beberapa orang di antara orang Ansar berkata kepada Rasulullah s.a.w. ketika Tuhan memberikan harta rampasan orang Hawazin kepada Rasulullah s.a.w. Beliau memberi orang-orang Quraisy seratus ekor unta. Orang Ansar berkata: "Diampuni Tuhan kiranya Rasulullah s.a.w.! Beliau beri orang Quraisy dan kami beliau tinggalkan, pada hal pedang kami turut menitiskan darah mereka (Hawazin)". Kata Anas: Lalu diceritakan orang kepada Rasulullah s.a.w. perkataan mereka itu. Beliau lalu mengirim utusan kepada orang Ansar, lalu beliau kumpulkan mereka di sebuah kemah kulit dan tiada beliau panggil bersama mereka seorang pun selain mereka. Setelah mereka berkumpul, Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka, lalu beliau bersabda: "Berita apakah yang telah sampai kepada ku dari kamu"?" Para cerdik-pandai mereka berkata kepada beliau: "Adapun orang-orang yang cerdas di antara kami, ya Rasulullah, tiada berkata suatu apa jua pun, hanya orang banyak diantara kami yang masih muda umurnya berkata: "Diampuni Tuhan kiranya Rasulullah s.a.w.! Beliau beri orang Quraisy dan beliau tinggalkan orang Ansar, pada hal pedang kami menitikkan darah mereka (musuh)".Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya saya beri orang-orang yang masih dekat dengan masa kekafiran. Adakah kamu suka, orang banyak itu pergi membawa harta dan kamu kembali kepada perlengkapan perjalanan kamu bersama Rasulullah s.a.w.? Demi Allah! Kamu kembali bersama Rasulullah itu lebih baik dari kembali dengan harta rampasan itu!" Mereka itu menjawab: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya kami suka!" Lalu beliau bersabda: "Kamu akan melihat sesudahku orang yang sangat mementingkan diri sendiri. Sebab itu hendaklah sabar, sehingga kamu menemui Tuhan dan RasulNya s.a.w. di telaga pada hari kiamat!" |