Hadis Sahih Bukhari No. 1401 Jilid 3 Topik adalah Perang 1401, Dari Abu Qatadah r.a., katanya: Kami ke luar bersama Rasulullah s.a.w. pada tahun peperangan Hunain. Ketika kami bertempur, maka adalah giliran kemenangan bagi orang Islam. Saya lihat seorang musyrik mengalahkan seorang Islam, lalu saya kelilingi sehingga saya datang dari belakangnya dan saya penggal lehernya dengan pedang. Lalu ia menghadapi saya dan terus memagut saya. Saya dapati padanya bau kematian (hampir mati). Kemudian ia pun mati, barulah saya dilepaskannya. Saya temui Umar bin Khattab, lalu saya bertanya: "Bagaimana keadaan orang banyak?" Katanya: "Urusan Tuhan!" Kemudian orang banyak kembali dan Nabi s.a.w. duduk, lalu beliau bersabda: "Barangsiapa yang membunuh, dan ia dapat mengemukakan saksi maka untuknya pakaian orang itu". Lantas saya berdiri lalu berkata: "Siapakah yang mahu jadi saksi bagi saya?" Kemudian saya duduk. Kemudian Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang membunuh, dan ia dapat mengemukakan saksi, maka untuknya pakaian orang itu!" Saya berdiri lalu berkata: Siapakah yang mahu jadi saksi untuk saya.". Kemudian beliau bersabda yang ketiga kalinya seperti itu juga. Seorang laki-laki lalu berkata: "Benar ia, hai Rasulullah! Dan pakaian itu pada saya. Maka sukalah kiranya ia merelakan untuk saya!" Lalu Abu Bakar Siddik r.a. berkata: "Tidak! Demi Allah! Ketika itu ia menghadapi singa (musuh) di antara musuh-musuh Allah. Ia berperang kerana Allah dan RasulNya s.a.w. masakan diberikannya pada engkau rampasannya?" Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Benar!" Lalu beliau berikan rampasan itu kepada orang yang memenggal leher musuh tadi. |