Hadis Sahih Bukhari No. 1369 Jilid 3 Topik adalah Uhud 1369, Dari Bara' bin 'Azib r.a., katanya: Nabi s.a.w. memerintahkan Abdullah bin Jubair masuk tentera berjalan kaki di hari peperangan Uhud. Mereka berjumlah lima puluh orang. Beliau bersabda: "Kalau kamu melihat kami diserang, hendaklah kamu tetap di tempatmu ini, sampai saya kirim utusan kepada mu. Dan kalau kamu melihat kami mengalahkan musuh dan telah kami duduki tempat mereka, kamu mesti tetap di sini sampai saya kirim utusan kepadamu! Tentera Islam mengalahkan pasukan kaum musyrik. Kata Bara': "Dan saya, demi Allah, saya lihat perempuan-perempuan musyrik itu lari, kelihatan gelang kaki dan betis mereka, kerana tersingsing kain mereka." Kawan-kawan Abdullah bin Jubair lalu berkata: "Rampasan, hai kaumku! Rampasan! Kawan-kawan kita telah menang, apakah lagi yang kita nanti?" Abdullah bin Jubair berkata: "Lupakah kamu apa yang disabdakan Rasulullah s.a.w. kepada kita?" Mereka berkata: "Sesungguhnya kita akan mengejar musuh dan kita akan mengambil rampasan!" Setelah mengejar musuh, mereka terpaksa undur dan berbalik dalam keadaan cerai-berai. Ketika itu, Rasul memanggil mereka dari belakang dan yang tinggal bersama Nabi s.a.w. hanyalah dua belas orang. Dalam pertempuran ini, gugur dari pihak kita tujuh puluh orang. Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat dapat membalas orang-orang musyrik dalam peperangan Badr seratus empat puluh orang, tujuh puluh orang ditawan dan tujuh puluh lagi terbunuh. Abu Sufyan lalu berteriak: "Adakah Muhammad di situ?" Diucapkannya tiga kali. Nabi s.a.w. melarang menjawabnya. Kemudian ia berkata: "Adakah Ibnu Abi Quhafah (Abu Bakar) di situ?" Diucapkannya sampai tiga kali. Kemudian dia berkata pula: "Adakah Ibnul Khaththab (Umar) di situ?" : Tiga kali pula. Kemudian ia kembali kepada kawan-kawannya, lalu berkata: "Mereka itu telah terbunuh". Umar tidak dapat menahan hati, lalu ia menjawab: "Engkau bohong, demi Allah, hai musuh Allah! Orang-orang yang engkau sebut itu, semuanya masih hidup dan tetap ada apa yang tidak menyenangkan engkau". Abu Sufyan berkata: "Hari ini seimbangan dengan hari Badr. Peperangan itu bergilir. Kamu akan mendapat bahaya dan kaum itu tiada akan saya perintahkan melakukannya dan tiada menyusahkan saya". Kemudian ia meragukan: "Muliakanlah Hubal, muliakanlah Hubal (nama berhala)!" Nabi s.a.w. bersabda: "Mengapa tidak kamu jawab?" Mereka berkata: "Hai Rasulullah! Apakah yang akan kami katakan untuk jawabnya?" Beliau menjawab: "Katakanlah: Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar!" Kata Abu Sufyan: "Kami mempunyai berhala 'Uzza dan kamu tidak". Nabi s.a.w. bersabda: "Mengapa tidak kamu jawab?" Mereka berkata: "Hai Rasulullah! Apakah jawabnya?" Beliau bersabda: "Katakanlah, Allah pelindung kami dan kamu tidak mempunyai pelindung". |