Hadis Sahih Muslim No. 1357 Jilid 3 Topik adalah Kahwin 1357. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Setelah Rasulullah saw. menikah dengan Zainab, dia pergi ke rumah para isterinya. Sementara itu ibu ku, Ummu Sulaim membuat kuih yang diletakkannya dalam mangkuk untuk hadiah bagi beliau. Ibu ku menyuruh ku, "Hai, Anas! Pergilah hantar kuih ini kepada Rasulullah saw. Katakan bahawa ini sedikit kiriman dari ibu untuk beliau, dan sampaikan salam ibu kepada beliau." Aku segera menghantar kuih itu kepada Rasulullah saw., dan berujar, "Ibu ku menyuruh hantar sedikit kuih yang dibuatnya sendiri untuk anda, dan mengirim salam kepada anda." Jawab beliau, "Letakkanlah di situ. Sesudah itu pergilah engkau mengundang orang datang ke sini, si Fulan, si Fulan, si Fulan - beliau menyebutkan beberapa nama dan siapa saja yang bertemu denganmu." Lalu aku pergi mengundang orang yang disebutkan beliau dan siapa saja yang bertemu dengan ku. Kata Abi 'Usman, "Aku bertanya kepada Anas, berapa kira-kira jumlah undangan itu?" Kata Anas, "Kira-kira tiga ratus orang." Kata Anas selanjutnya, Rasulullah saw. bersabda kepada ku, "Bawa kemari kuih tadi!" Sementara itu para tetamu telah banyak datang, sehingga memenuhi pelataran dan ruangan dalam. Rasulullah saw. bersabda: "Buatlah kelompok-kelompok sepuluh orang dan masing-masing kelompok menyantap hidangan yang di dekatnya." Para tetamu makan sampai kenyang. Kelompok yang telah selesai makan lalu keluar, digantikan oleh kelompok yang lain, sehingga semuanya tidak ada yang ketinggalan. Setelah selesai, Rasulullah saw. bersabda, "Hai, Anas! Angkatlah!" Lalu ku angkat sisa hidangan itu. Aku tidak tahu, apakah hidangan itu memang banyak ketika dihidangkan, atau mungkin bertambah ketika ku angkat. Kata Anas selanjutnya, "Beberapa orang di antara para tetamu ternyata masih ada yang duduk bercakap-cakap di rumah Rasulullah saw., sehingga Zainab isteri baru beliau memalingkan mukanya ke dinding. Hal itu sesungguhnya sangat menyusahkan Rasulullah saw. Lalu beliau keluar menuju ke rumah para isterinya yang lain. Kemudian, setelah beberapa ketika lamanya, beliau kembali. Ternyata para tetamu itu masih berada di sana. Tatkala mereka lihat Rasulullah saw. telah kembali, barulah mereka berasa bahawa mereka telah menyusahkan beliau. Lalu mereka segera keluar. Beliau masuk dan menutupkan tabir. Tidak lama kemudian, ketika aku masih duduk di mangan, Rasulullah saw. keluar menemui ku, dan ketika itu turun ayat ini: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali bila kamu telah disilakan masuk untuk makan, tanpa menunggu lama makanan terhidang. Tetapi jika kamu diundang, maka masuklah. Dan bila kamu telah selesai makan, keluarlah tanpa memperpanjang percakapan, kerana yang demikian itu sesungguhnya mengganggu Nabi hingga akhir ayat (Al Ahzab : 53). Setelah ayat itu selesai turun, Rasulullah saw. keluar, lalu membacakannya kepada orang ramai. |