Hadis Sahih Muslim No. 1354 Jilid 3 Topik adalah Kahwin 1354. Dari Anas r.a., hadis ini diriwayatkan pula oleh Bahzi r.a., katanya: "Ketika iddah Zainab (bekas isteri Zaid) telah habis, maka bersabda Rasulullah saw. kepada Zaid (anak angkat Nabi saw.), "Hai, Zaid! Pergilah engkau melamar Zainab untukku!" Maka pergilah zaid menemui Zainab; didapatinya Zainab sedang mengaduk adunan kuih. Kata Zaid, "Ketika aku melihat Zainab, hatiku berdebar, sehingga tak kuasalah aku rasanya hendak melihatnya, untuk menyampaikan pesan Rasulullah saw. kepadanya. Oleh kerana itu ku belakangi dia sambil mundur dan berkata kepadanya, "Ya, Zainab! Aku diutus Rasulullah saw. melamarmu untuk beliau. Bagaimana tanggapanmu?" Jawab Zainab, "Aku belum dapat membuat suatu putusan sebelum beroleh petunjuk dari Tuhan ku." Lalu dia pergi ke tempatnya solat, melakukan solat istikharah. Sementara itu Quran turun kepada Nabi saw. (memerintahkan beliau supaya mengahwini Zainab, surat Al Ahzab, ayat 37). Lalu beliau langsung masuk ke rumah Zainab tanpa izin lebih dahulu, (kerana beliau telah dikahwinkan Allah seperti dinyatakan dalam ayat 37 surat Al Ahzab ) Kata Anas, "Aku masih ingat, ketika itu kami dijamu dengan roti dan daging. Ketika hari telah agak tinggi, para tamu sudah banyak yang pulang, hanya tinggal beberapa orang bercakap-cakap dalam rumah sesudah makan. Rasulullah keluar menuju ke rumah para isterinya yang lain dan aku mengikuti beliau dari belakang. Beliau memberi salam kepada mereka dan mereka menjawab salam beliau sambil bertanya, "Bagaimana halnya isteri baru anda?" Kata Anas, "Aku tidak ingat, apakah aku yang mengkhabarkan kepada Nabi saw., atau barangkali beliau yang memberitahukan kepada ku, bahawa tetamu-tetamu telah pulang semuanya. Maka Rasulullah saw. pulang kembali ke rumah Zainab, dan aku masuk pula bersama-sama beliau. Sampai di rumah beliau tutupkan tirai antaraku dengan beliau. Maka turun ayat hijab memberi pelajaran kepada kaum muslimin. Ibnu Rati' menambahkan dalam hadisnya: "Janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali bila kamu telah diizinkan masuk untuk makan, tanpa menunggu lama makanan terhidang hingga firman-Nya Allah tidak malu mengatakan yang benar." (Al Ahzab : 53). |