Hadis Sahih Muslim No. 1352 Jilid 3 Topik adalah Kahwin 1352 Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. memerangi Khaibar, kami solat Subuh dekat negeri itu pagi-pagi sekali. Setelah selesai solat Nabi saw. mengenderai kenderaannya, lalu diikuti oleh Abu Thalhah, sedangkan aku membonceng kepada Abu Thalhah. Ketika melalui jalan-jalan sempit Khaibar, Rasulullah saw. memacu kenderaannya sehingga lutut ku bersentuhan dengan paha Nabi saw. dan kainnya tersingkap sehingga kelihatan olehku putih paha Nabi saw. Tatkala memasuki kampung, beliau membaca: "Allahu Akbar! Allahu Akbar! Takluklah Khaibar! Apabila kami menduduki suatu kampung, maka bertekuk lututlah penduduknya." Beliau mengulangi ucapannya itu sampai tiga kali. Kata Anas selanjutnya, "Penduduk mulai keluar ke tempat-tempat mereka bekerja. Lalu mereka berteriak: "Muhammad dan pasukannya!" Mereka kami taklukkan dengan kekerasan, dan seluruh tawanan telah kami kumpulkan. Maka datanglah Dihyah kepada Rasulullah saw., lalu katanya, "Ya, Rasulullah! Berilah aku seorang sahaya perempuan dari tawanan itu." Jawab Rasulullah saw., "Pergilah ambil!" Lalu di ambilnya Shafiyah binti Huyay. Kemudian datang seorang lelaki kepada Rasulullah saw., lalu katanya: "Ya, Nabiyallah! Kenapa Shafiyah yang anda berikan kepada Dihyah, padahal Shafiyah itu adalah puteri Huyay, pemimpin Bani Quraizhah dan Bani Nadhir. Shafiyah tidak patut bagi orang lain selain untuk anda sendiri." Sabda Nabi saw., "Panggil Dihyah, suruh bawa Shafiyah ke sini!" Dihyah datang ke hadapan Rasulullah saw. sambil membawa Shafiyah. Setelah Shafiyah nampak oleh Rasulullah saw. beliau bersabda kepada Dihyah, "Ambil olehmu sahaya yang lain di antara tawanan itu." Kemudian Rasulullah saw. memerdekakan Shafiyah, lalu beliau mengahwininya. Tsabit bertanya kepada Anas, "Ya, Abu Hamzah! Apakah mahar Rasulullah kepada Shafiyah?" Kata Anas, "Diri Shafiyah sendiri. Beliau memerdekakannya dan mengahwininya." Dalam perjalanan pulang, Ummu Sulaim mempersiapkan Shafiyah dan menyerahkannya malam itu kepada Rasulullah saw. Esok pagi Nabi saw. mengadakan jamuan perkahwinannya. Sabda beliau, "Siapa yang punya makanan bawalah ke sini!" Lalu beliau bentangkan tikar kulit. Ada orang yang membawa susu kering, ada yang membawa kurma, ada yang membawa minyak samin. Semuanya dikumpulkan jadi satu, dan itulah jamuan perkahwinan Rasulullah saw. dengan Shafiyah binti Huyay." |