Hadis Sahih Bukhari No. 1252 Jilid 3 Topik adalah Damai 1252. Dari Bara' bin Azib r.a., katanya: Nabi s.a.w. mengerjakan Umrah pada bulan Zulkaedah. Penduduk Mekah tiada mahu membiarkan beliau masuk ke Mekah, kecuali jika diputuskan untuk tetap di Mekah hanya selama tiga hari saja. Waktu menulis surat perjanjian dituliskan: "lnilah apa yang telah diputuskan oleh Muhammad Rasulullah s.a.w." Mereka (orang kafir) berkata: "Kami tiada mengakui tulisan itu, kalau sekiranya kami mengakui bahawa tuan Rasulullah, tentu kami tidak akan melarang tuan. Tuan hanya Muhammad anak Abdullah. Sabda beliau: "Saya Rasulullah dan saya juga Muhammad anak Abdullah". Kemudian bersabda pada Ali: "Hapuslah kata-kata: Rasulullah". Jawab Ali: "Tidak, demi Allah. Selamanya saya tiada akan menghapusnya". Rasulullah s.a.w. lalu mengambil surat itu, maka ditulis: "Inilah apa yang diputuskan oleh Muhammad anak Abdullah. Senjata tiada boleh dibawa ke Mekah melainkan dalam sarungnya. Seseorang di antara penduduk Mekah yang hendak mengikuti beliau tiada dibolehkan ke luar Mekah, dan bahawa beliau tidak akan melarang seseorang di antara sahabat-sahabat beliau yang hendak menetap di Mekah." Setelah beliau masuk Mekah dan telah berlalu masa perjanjian, mereka datang kepada Ali. Kata mereka: "Katakanlah kepada kawan engkau supaya ke luar dari negeri kami. Sesungguhnya telah berlalu masa perjanjian". Nabi s.a.w. lalu ke luar. Anak perempuan Hamzah turut mengikuti mereka, katanya: Hai pakcik ku!" Maka tangannya dipegang Ali. Ia berkata kepada Fatimah: "Bawalah anak saudara bapa engkau, bawalah dia!" Kemudian terjadi pertengkaran tentang anak itu antara Ali, Zaid, dan Jaafar. Kata Ali: "Saya lebih berhak dengan dia, kerana dia anak saudara bapa ku". Kata Jaafar: "Anak saudara bapa ku dan saudara ibunya jadi isteri ku." Kata Zaid: "Anak saudara ku." Maka diputuskan oleh Nabi s.a.w. untuk saudara ibunya (bibinya) dan beliau bersabda kepada Ali: "Engkau sama dengan saya." Sabda beliau pada Jaafar: "Bentuk dan pembawaan engkau serupa dengan saya." Sabda beliau pada Zaid: "Engkau saudara kami dan maula kami". |