Hadis Sahih Bukhari No. 1238 Jilid 3 Topik adalah Aisyah 1238. Dari Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. kalau hendak bepergian, beliau undi antara isteri-isteri beliau. Siapa di antaranya yang keluar undiannya, beliau membawanya berangkat. Beliau mengundi antara kami untuk pergi kepada suatu peperangan. Maka keluarlah undian saya. Lalu saya berangkat bersama beliau sesudah turun ayat hijab (perintah bertutup muka). Saya dibawa dan ditumpangkan di atas sekedup, lalu kami berjalan. Setelah Rasulullah s.a.w. selesai dari peperangan itu, beliau berangkat pulang. Setelah kami berhenti dekat Madinah, malam harinya diberitahukan untuk berangkat. Ketika pemberitahuan itu, saya pun berdiri lalu berjalan hingga saya melampaui tentera. Setelah saya menyiapkan keperluan, dan saya bersiap-siap untuk berangkat, saya raba dada saya, kebetulan kalung saya jaz'i azfar (sebangsa akik) telah putus. Segera saya kembali mencari kalung saya, sehingga saya terlambat kerana mencarinya. Mereka yang akan berangkat itu datang ke tempat saya tadi, lalu mereka angkat sekedup saya dan mereka letakkan di atas punggung unta kenderaan saya. Mereka mengira saya dalam sekedup itu, kerana perempuan waktu itu berbadan ringan tiada berat badannya dan tiada banyak dagingnya, kerana mereka makan hanya sedikit. Orang itu tiada curiga ketika mengangkatnya, lalu sekedup itu mereka bawa. Mereka menyuruh unta berdiri dan terus berjalan. Kalung saya dapat kembali sesudah tentang pergi. Saya datang ke tempat tentera tetapi tiada seorang juapun lagi di situ, maka saya tujulah tempat yang saya tempati semula, kerana menurut dugaan saya, tentu setelah mereka tahu bahawa saya hilang, mereka akan mencari saya. Ketika saya sedang duduk, mata saya mengantuk, lalu saya tertidur. Safwan bin Mu'aththal Assulami Zakwani berjalan di belakang tentera. Waktu subuh ia tiba dekat tempatku, maka dilihatnya bayangan manusia sedang tidur. Lalu ia datang menemui saya, dan ia pernah melihat saya sebelum bertutup, lalu saya terbangun kerana ia membaca: Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun, ketika ia menyimpuhkan untanya. Kemudian diinjaknya tangan unta itu, lalu saya kenderai, dan ia pun berjalan mengheret unta saya, sehingga kami sampai kepada tentera ketika mereka sedang beristirehat waktu mulai tengah hari. Maka curigalah orang yang curiga. Yang memelopori khabar dusta itu ialah Abdullah bin Ubayy bin Salul. Kemudian kami sampai di Madinah dan saya sakit selama sebulan. Mereka menyiarkan khabar bohong. Saya merasakan sewaktu saya sakit, saya tiada melihat kesayangan Nabi s.a.w. sebagaimana biasa saya lihat kalau saya sakit. Hanya waktu beliau masuk, beliau memberi salam, kemudian bertanya: "Bagaimana keadaanmu?" Saya tiada mengetahui hal yang demikian itu sampai saya sembuh. Waktu saya telah sembuh, saya ke luar bersama Ummu Misthah ke tempat buang air besar. Kami hanya keluar malam hari. Itu sebelum kami membuat bilik air dekat rumah kami. Dan keadaan kami sebagaimana keadaan orang Arab zaman dahulu, buang air di tengah padang. Lalu saya berjalan bersama Ummu Misthah binti Abu Ruhmin. Ia terbentur (tertarung) pada kainnya, lalu berkata: "Celaka Misthah!" Saya berkata kepadanya: "Alangkah jeleknya perkataanmu! Mengapa engkau caci laki-laki yang turut serta dalam peperangan Badar?" Jawabnya: "Hai! Tidakkah engkau tahu apa yang mereka perkatakan?" Lalu diceritakannya kepada saya berita bohong itu. Maka bertambah hebatlah penyakit saya di samping sakit yang telah ada. Setelah saya kembali ke rumah. Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat saya, lalu beliau memberi salam dan bertanya:"Bagaimana keadaanmu?" Kata saya: "Izinkan lah saya menemui ibu bapa saya". Kata Aisyah: Ketika itu saya hendak meyakinkan tentang pekhabaran itu dari keduanya. Rasulullah mengizinkan saya, lalu saya datang menjumpai ibu bapa saya. Saya bertanya kepada ibu: "Apakah yang ramai dibicarakan orang banyak?" Jawabnya: "Wahai anakku! Janganlah engkau perdulikan keadaan itu terhadap dirimu! Demi Allah, sesungguhnya jaranglah perempuan cantik di samping laki-laki yang mengasihinya dan ia bermadu, tentulah madunya akan memperbanyak cacian kepadanya." Kata saya: "Subhanallah! Benarlah orang banyak membicarakan hal ini!" Kata Aisyah: Malamnya saya tinggal di situ sampai pagi. Air mata ku mengalir tiada putus-putus, dan saya tidak boleh tidur. Pada paginya, Rasulullah s.a.w. memanggil Ali bin Abu Thalib dan Usamah bin Zaid, ketika wahyu lambat (terhenti) turunnya. Beliau bermusyawarat dengan keduanya mengenai perpisahan dengan isteri beliau. Adapun Usamah memberikan pandangannya kepada beliau dengan nama Tuhan yang mengetahui diri beliau tentang kasihnya terhadap mereka. Usamah berkata: "Dari hal isteri tuan hai Rasulullah! Demi Allah, tiada yang kami ketahui melainkan baik." Ali bin Abu Thalib berkata: "Hai Rasulullah! Tuhan tiada akan menyulitkan tuan. Perempuan yang lain masih banyak. Tuan tanyalah jariyah (hamba), dia akan berkata benar kepada tuan!" Rasulullah s.a.w. memanggil Barirah, lalu beliau bertanya: "Hai Barirah! Adakah engkau ketahui pada Aisyah sesuatu yang mencurigakan engkau?" Barirah menjawab: "Tidak, demi Tuhan yang mengutus tuan dengan hak. Tiada hamba ketahui padanya keadaan yang dapat hamba cela. Tapi ia hanya seorang perempuan yang muda usianya. Ia tidur meninggalkan tepung yang dibasahi untuk dibuat roti, dan binatang-binatang kecil datang memakannya." Hari itu Rasulullah s.a.w. berdiri berkhutbah. Beliau menyatakan keberatan terhadap Abdullah bin Ubayy bin Salul. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapakah yang akan menolong saya terhadap laki-laki yang saya dengar mengganggu isteri saya. Demi Allah! Saya hanya mengetahui isteri saya sebagai seorang yang baik. Dan mereka menyebut laki-laki yang menurut pengetahuan saya orang baik. Ia tiada pernah masuk ke rumah isteri saya selain dengan saya." Maka Saad bin Muaz berdiri lalu berkata: "Hai Rasulullah! Demi Allah, saya menolong tuan terhadapnya. Kalau ia dari golongan Aus, kami penggal lehernya. Kalau ia saudara kami dari golongan Khazraj perintahkan lah kepada kami. supaya kami lakukan perintah tuan. "Saad bin Ubadah lalu berdiri. Dia pemimpin Khazraj. Sebelum itu dia seorang laki-laki yang baik. Tetapi dia didorong oleh rasa kesukuan (kesombongan), katanya: "Demi Allah! Engkau bohong! Jangan engkau bunuh dia dan engkau tidak boleh membunuhnya." Usaid bin Hudair berdiri pula, katanya: "Demi Allah! Engkau bohong. sesungguhnya kami mesti membunuhnya. Sebenarnya engkau munafik, engkau membela orang-orang munafik." Maka ributlah dua golongan Aus dan Khazraj, sehingga terjadi keributan dan hampir berbunuh-bunuhan dan Rasulullah s.a.w. sedang di atas mimbar. Segera beliau turun, lalu beliau tenangkan mereka, sehingga mereka diam dan beliau diam pula. Kata Aisyah: Hari itu saya menangis, air mata ku tiada putus-putusnya dan saya tidak boleh tidur. Pagi harinya ibu bapa berada di sisi saya. Saya telah menangis sehari dua malam, hingga saya kira tangis itu membelah hatiku. Ketika keduanya sedang duduk di sisi saya dan saya menangis, tiba-tiba seorang perempuan Ansar minta izin masuk, lalu saya izinkan ia duduk menangis bersama saya.Kata Aisyah: Ketika kami dalam keadaan demikian, tiba-tiba Rasulullah s.a.w. masuk lalu beliau duduk. Beliau tiada duduk di sisi saya semenjak hari orang memperkatakan diri saya. Selama satu bulan beliau tiada menerima wahyu mengenai keadaan saya. Kata Aisyah: Nabi mengucapkan syahadat membaca: (Asyhadu an la ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah), kemudian beliau bersabda: "Hai Aisyah! Saya telah mendapat berita tentang diri mu begini dan begitu. Kalau engkau tiada bersalah (suci), maka Tuhan akan membebaskan engkau. Tetapi kalau engkau berbuat dosa, maka mohonlah ampunan kepada Allah dan taubatlah kepadaNya. Sesungguhnya seorang hamba kalau mengakui dosanya, kemudian ia taubat. Tuhan akan menerima taubatnya." Setelah Rasulullah s.a.w. selesai bersabda, keringlah air mata saya hingga tiada terasa setitis pun. Saya berkata kepada bapa saya: "Bapa, tolonglah jawabkan kepada Rasulullah." Saya berkata kepada ibu: "Ibu, tolonglah jawabkan kepada Rasulullah!" Jawabnya: "Saya tidak mengetahui apa yang akan saya katakan kepada Rasulullah!" Kata Aisyah selanjutnya: "Saya seorang perempuan yang masih muda, tiada banyak membaca Quran." Katanya: "Demi Allah! Sesunguhnya saya mengetahui bahawa tuan telah mendengar apa yang diperbincangkan manusia dan masuk ke dalam hati tuan dan tuan pun membenarkannya. Demi, jika saya katakan kepada tuan, bahawa saya tiada bersalah (dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya saya tiada bersalah) tuan tiada juga akan membenarkan saya tentang itu. Demi, jika saya mengaku bersalah (sedang Allah mengetahui bahawa saya tiada bersalah) tentulah tuan akan membenarkan. Demi Allah, tiada saya dapati perumpamaan antara saya dan tuan, melainkan ketika bapa Yusuf berkata: "Hanyalah sabar yang lebih elok! Dan Allah tempat minta tolong terhadap apa yang kamu terangkan." Kemudian saya pindah ke tikar tempat tidur saya, sambil mengharapkan dibebaskan (disucikan) Tuhan saya kiranya. Tetapi, demi Allah, tiada saya kira bahawa wahyu diturunkan mengenai keadaan saya. Saya sendiri merasa terlalu kecil untuk disebutkan keadaan saya di dalam Quran. Hanya saya mengharapkan bahawa Rasulullah s.a.w. akan melihat (bermimpi) waktu tidur suatu mimpi, bahawa Tuhan membebaskan saya (menyatakan tiada bersalah). Demi Allah sebelum beliau hendak pergi ke majlis beliau, dan belum seorang pun dari isi rumah yang ke luar, maka diturunkan lah wahyu kepada beliau. Beliau merasa payah, sehingga keringat beliau bercucuran seperti mutiara, pada hal waktu itu musim dingin. Setelah wahyu kepada Rasulullah s.a.w. selesai, beliau tertawa. Perkataan pertama yang beliau katakan dihadapkan kepada saya: "Hai Aisyah! Pujilah Allah! Sesungguhnya Tuhan telah membebaskan engkau (menyatakan tiada bersalah)." Ibu berkata kepada saya: "Berdirilah engkau menghadap Rasulullah s.a.w.!" Jawab saya: "Tidak, demi Allah! Saya tidak akan berdiri menghadap beliau, dan tiada yang akan saya puji melainkan Allah!" Tuhan yang Maha Tinggi telah menurunkan ayat yang ertinya: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah golongan kamu juga sampai akhir ayat. (Surat An Nur, 11 . 12). Setelah Tuhan menurunkan ayat tentang kesucian saya, Abu Bakar Siddik, yang membelanjai Misthah bin Asasah kerana kerabatnya, berkata: "Demi Allah, untuk selamanya saya tiada akan membelanjai Misthah sedikit pun, sesudah ia memperkatakan tentang hal Aisyah." Tuhan yang Maha Tinggi lalu menurunkan ayat yang ertinya: "Orang-orang yang mempunyai kekayaan dan kelapangan di antara kamu janganlah bersumpah bahawa mereka tiada akan memberi pertolongan kepada kerabat sampai Tuhan itu Pengampun dan Penyayang". (Surat An Nur, ayat 22). Kemudian Abu Bakar berkata: "Demi Allah, sesungguhnya saya suka bahawa Tuhan akan mengampuni saya." Lalu ia kembali membelanjai Misthah sebagai dahulu. Dan Rasulullah s.a.w.. menanyakan pada Zainab binti Jahsy dari hal keadaanku. Nabi bertanya: "Apakah yang engkau ketahui tentang apa yang engkau lihat?" Jawab Zainab: "Hai Rasulullah! Saya menjaga pendengaran dan penglihatan saya. Demi Allah, tiada saya ketahui tentang dirinya melainkan baik." Katanya Aisyah: "Dan dia (Zainab) yang menyamai saya, maka Tuhan memeliharanya dengan wara' (taqwa kepada Tuhan)." |