Hadis Sahih Bukhari No. 1180 Jilid 3 Topik adalah IsteriNb 1180. Dari Abdullah bin Abbas r.a., katanya: Saya selalu ingin bertanya kepada Umar r.a. tentang dua orang isteri Nabi s.a.w, yang Tuhan telah berfirman tentang mereka berdua: "Jikalau engkau berdua bertaubat kepada Tuhan, maka memang hati mu telah cenderung untuk melakukan hal itu" (At-Tahrim, 4), sampai pada suatu kali ia pergi naik haji dan saya juga ikut naik haji dengannya. Ketika kami sedang dalam perjalanan, Umar menyimpang dan saya pun ikut menyimpang sambil membawa sebuah tempat air. Lalu ia buang air. Kemudian ia datang kepada saya, lalu saya tuangkan air ke tangannya dan ia pun berwuduk'. Saya berkata: "Ya Amirul Mu'minin! Siapakah dua orang isteri Nabi s.a.w. yang disebutkan oleh Allah dalam ayat: "Jika engkau berdua bertaubat kepada Tuhan maka memang hati mu telah cenderung untuk melakukan hal itu?" Umar menjawab: "Anda sangat hairan tentang hal ini, hai Ibnu Abas! Mereka itu adalah Aisyah dan Hafsah." Kemudian Umar melanjutkan ceritanya: Dia berkata: "Saya tinggal di kampung Umayyah bin Zaid dipinggir tepi kota Madinah. saya mempunyai tetangga seorang Ansar kami berganti-ganti pergi kepada Rasulullah s.a.w. Suatu hari ia pergi dan hari berikutnya saya pergi. Kalau ia yang pergi ia menceritakan kepada saya tentang wahyu yang turun dan berita-berita lain. Demikian pula keadaannya kalau saya yang pergi."Kami orang Quraisy adalah golongan yang berkuasa atas wanita. Ketika kami datang ke Madinah kami dapati orang-orang di sana sangat dikuasai wanita. Maka mulailah para wanita kami belajar dari wanita mereka. Pada suatu hari saya marah kepada perempuan saya, Lalu ia mulai menjawab perkataan saya. Saya berkata bahawa tidak boleh wanita membantah perkataan suaminya, Isteri saya menjawab: "Apakah saya tidak boleh menjawab perkataan mu? Demi Allah, para Isteri Nabi saw. sendiri menjawab perkataan Nabi. Malah ada salah seorang daripadanya yang tidak mahu mendekat kepada beliau dari siang hari sampai malamnya." Saya terus ke luar rumah dan terus pergi ke rumah Hafsah. Saya berkata kepadanya: "Apakah kamu berani menjawab perkataan Rasul s.a.w"?" Ia menjawab: "Ya!" "Dan ada salah seorang dan kamu yang sampai tidak mengindahkan beliau dari siang hari sampai malamnya?" Jawabnya: "Ya!" "Siapa yang melakukan hal itu di antara kamu, sesungguhnya telah celaka dan merugi. Apakah di antara kamu ada yang merasa tenteram dimarahi Allah kerana Rasulullah s.a.w. marah kepadanya? Orang yang seperti itu sebenarnya telah hancur. Janganlah kamu menentang perkataan Rasulullah s.a.w. dan jangan kamu minta apa-apa kepadanya. Kalau engkau perlu apa-apa mintalah wang kepada ku. Janganlah engkau merasa sakit hati seandainya tetangga mu (maksudnya Aisyah r.a.) lebih cantik dari mu dan lebih dicintai oleh Rasulullah s.a.w." Di waktu itu kami berbincang-bincang bahawa orang Ghassan sedang mempersiapkan kuda-kudanya untuk menyerang kami. Maka pada suatu hari tetangga saya pergi kepada Rasulullah s.a.w. dan ia kembali pada waktu malam. Ia mengetuk pintu saya keras-keras dan memanggil nama saya. Saya pergi ke luar, untuk menemuinya. Ia berkata: "Ada suatu peristiwa penting terjadi." Saya bertanya: "Apakah yang telah terjadi? Apakah orang Ghassan telah menyerang?" Ia menjawab: "Jauh lebih penting dari itu. Rasulullah s.a.w. telah menceraikan isteri-isterinya." Saya berkata: "Hancur dan rugilah Hafsah! Saya telah menduga bahawa hal ini akan terjadi." Saya pun berpakaian dan berangkat. Saya solat Subuh bersama s.a.w. Setelah selesai solat beliau masuk ke kamar khusus dan menyendiri di sana. Saya pun masuk ke dalam rumah Hafsah dan saya dapati ia sedang menangis. Saya bertanya kepadanya: "Apakah kamu semua telah diceraikan Rasulullah s.a.w"?" Ia menjawab: "Saya tidak tahu. Ia sedang menyendiri di kamar makan." Lalu saya ke luar rumah dan pergi ke mimbar masjid. Saya dapati di dekat mimbar itu sejumlah orang sedang duduk-duduk dan sebahagiannya menangis. Saya duduk di tempat itu sebentar. Kemudian saya tidak dapat menahan perasaan saja, maka saya datang ke kamar makan di mana beliau berada. Saya datang kepada seorang pembantu berkulit hitam dan berkata kepadanya. "Tolong mintakan izin Umar hendak masuk," Pembantu itu masuk kemudian ke luar kembali. Ia berkata: "Saya telah menyebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." Kemudian saya bergegas pergi dan duduk bersama orang-orang yang di dekat mimbar. Saya tidak dapat menahan perasaan saya, lalu saya datang sekali lagi kepada pembantu laki-laki hitam itu dan berkata: "Tolong katakan Umar minta izin untuk masuk." Pembantu itu masuk ke dalam lalu ke luar kembali. "Saya telah menyebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." katanya. Lalu saya kembali ke luar dan pergi ke mimbar. Kemudian saya tidak dapat menahan perasaan saya dan pergi sekali lagi kepada pembantu berkulit hitam itu: "Tolong katakan bahawa Umar minta izin untuk masuk." Ia masuk ke dalam, lalu ke luar kembali. "Telah saya sebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." Saya pun bergegas pergi. Tetapi tiba-tiba pembantu itu memanggil saya: "Anda telah diberi izin untuk masuk!" Maka saya pun masuklah dan memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Saya dapati beliau tidur dengan tangan ditopangkan ke kepala diatas sehelai tikar kasar, sehingga kelihatan bekas tikar itu di sisi beliau. Saya berkata: "Ya Rasulullah s.a.w. Apakah anda telah menceraikan isteri-isteri anda?" Rasul mengangkat kepalanya ke arah saya dan menjawab: "Tidak!" Lalu saya berkata: "Tuhan Maha Besar! Bagaimanakah pendapat engkau, ya Rasulullah? Kita orang Quraisy ini adalah suatu golongan yang berkuasa atas wanita. Sewaktu kita datang ke Madinah, kita dapati mereka itu adalah golongan yang dikuasai oleh wanita." Umar meneruskan ceritanya. Nabi s.a.w, tersenyum. Kemudian saya berkata (Umar meneruskan ceritanya): "Bagaimanakah pendapat tuan ketika saya masuk ke tempat Hafsah dan saya berkata: "Janganlah engkau terpedaya oleh tetangga mu yang lebih cantik dari mu dan lebih dikasihi oleh Nabi (maksudnya Aisyah)?" Beliau tersenyum sekali lagi. Kemudian saya perhatikan keadaan dalam kamar beliau itu. Demi Allah, tidak ada yang menarik perhatian di dalam kamar itu selain dari tiga tempat simpanan air dari kulit. Saya berkata: "Berdoalah anda kepada Tuhan agar Ia memberikan kelapangan kepada ummat anda. Orang-orang Persia dan Romawi telah diberi kelapangan. Kepada mereka diberikan dunia, padahal mereka tiada Tuhan." Ketika itu beliau sedang bertelekan dan beliau bersabda: "Masih ragukah engkau hai anak Khattab? Mereka itu adalah golongan yang dicepatkan mendapatkan keberuntungan hidup di dunia." Saya berkata: "Ya Rasulullah! Tolonglah minta ampunkan saya!" Beliau merasa kesal kerana suatu kejadian, di mana Hafsah menceritakannya kepada Aisyah. Beliau bersabda: "Saya tidak akan masuk ke rumah mereka selama sebulan." Tuhan mencela beliau, kerana beliau terlalu marah kepada mereka. Setelah berlangsung selama dua puluh sembilan hari, beliau masuk ke rumah Aisyah. Aisyah berkata kepada beliau: "Tuan bersumpah tiada akan masuk ke rumah kami selama satu bulan. Menurut perhitungan saya, baru dua puluh sembilan hari." Nabi menjawab: "Bulan ini dua puluh sembilan hari!" Dan memang pada waktu itu bulan adalah dua puluh sembilan hari. Aisyah berkata: "Maka turunlah ayat pilihan (takhyir). Pertama-lama beliau mulai dengan saya. Beliau berkata: "Saya ingin mengingatkan kepada mu satu hal. Kamu tidak perlu menjawabnya sekarang juga. Kamu boleh bermusyawarat dahulu dengan kedua orang ibu-bapa mu." Aisyah menjawab: "Saya tahu bahawa kedua orang ibu-bapa saya belum pernah menyuruh saya agar bercerai atau berpisah dengan tuan. Kemudian beliau bersabda: "Sesungguhnya Tuhan telah berfirman: "Hai Nabi! Katakanlah kepada para isteri mu: Kalau kamu semuanya menghendaki kehidupan dunia dan kemewahannya, maka marilah saya akan memberikan kesenangan kepada kamu dan saya akan melepaskan atau menceraikan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Tetapi jikalau kamu menghendaki Allah dan RasulNya serta kampung akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan untuk wanita-wanita yang berbuat baik di antara kamu pahala yang amat besar (Surat al-Ahzab. 28 - 29). Saya menjawab: "Apakah dalam hal ini saya harus bermusyawarat dengan ibu-bapa saya? Saya menghendaki Tuhan, RasulNya dan kampung akhirat." Kemudian beliau memberikan kebebasan memilih ini kepada semua isteri beliau. Semuanya menjawab sama dengan jawaban Aisyah. |