Hadis Sahih Muslim No. 1128 Jilid 2 Topik adalah Puasa 1128. Dari Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a., katanya: "Aku puasa sepanjang masa dan menamatkan Quran setiap malam. Mungkin perbuatanku itu dilaporkan orang kepada Nabi saw. atau mungkin juga beliau menyuruh orang memanggil ku supaya aku datang kepada beliau." Setelah beliau ku datangi, maka beliau bertanya kepada ku, "Betulkah apa yang diceritakan orang kepada ku bahawa engkau puasa sepanjang masa dan menamatkan bacaan Quran sepanjang malam?" Jawab ku, "Benar, ya Nabiyallah. Tidak ada maksudku berbuat demikian melainkan hanya untuk kebaikan." Sabda Rasulullah saw., "Sesungguhnya sudah cukup jika engkau puasa tiga hari dalam sebulan." Jawab ku, "Ya, Nabiyallah! Sesungguhnya aku sanggup lebih dari itu." Sabda beliau, "Engkau punya kewajiban terhadap isteri mu, terhadap tetamu-tetamu mu, dan terhadap diri mu sendiri. Kerana itu puasalah seperti puasa Nabi Daud r.a., kerana beliau adalah orang yang paling taat beribadat." Jawab ku, "Ya, Nabiyallah! Bagaimanakah puasa Nabi Daud itu?" Jawab beliau, "Dia puasa sehari dan berbuka sehari." Dan sabda beliau selanjutnya, "Dan tamatkanlah Quran sekali sebulan." Jawab ku, "Ya, Nabiyallah! Aku sanggup lebih dari itu." Sabda beliau, "Tamatkanlah dua puluh hari sekali!" Jawab ku, "Ya, Nabiyallah! Aku sanggup lebih dari itu." Sabda beliau, "Tamatkanlah sepuluh hari sekali!" Jawab ku, "Aku sanggup lebih dari itu." Sabda beliau, "Tamatkanlah sekali seminggu dan jangan lebih dari itu kerana engkau punya kewajiban terhadap isteri mu, terhadap tetamu-tetamu mu, dan terhadap diri mu sendiri." Aku merasa keberatan. Lalu bersabda Nabi saw. kepada ku, "Engkau belum tahu mudah-mudahan engkau panjang umur!" Kata Abdullah, "Ketika aku telah mencapai usia lanjut seperti yang dikatakan Rasulullah saw., aku menyesal kenapa tidak ku amalkan kelapangan yang diberikan Nabiyallah saw." |